Pelancongan @ My LNA

PEMERKASA+ adalah komitmen kerajaan atas keluhan rakyat dalam rantaian ekonomi sektor pelancongan dan kebudayaan

64
Old grey eco drawing paper kraft background texture in soft white light color concept for page wallpaper design, gray rice matte pattern for decorative wall.

PUTRAJAYA 1 Jun 2021 – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menyifatkan inisiatif PEMERKASA + yang idumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menunjukkan komitmen kerajaan atas setiap keluhan rakyat dalam rantaian ekonomi sektor pelancongan dan kebudayaan yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.

“Bagi pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), saya berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin yang memperuntukkan sejumlah dana sebagai inisiatif terkini dalam membantu meredakan cabaran yang dihadapi penggiat industri pelancongan dan kebudayaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini.

Melihat kepada keadaan semasa, MOTAC akan terus meningkatkan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan menerusi sesi libat urus dalam tempoh dua minggu ini, sebagai persiapan sekiranya PKP dilanjutkan. Ini bagi mengenal pasti bentuk bantuan lain yang diperlukan golongan sasar sekaligus meningkatkan keberkesanan penyaluran fiskal kerajaan secara ‘bottom to top’.” kata Nancy dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nancy, MOTAC akan memastikan penyelarasan dan pemantauan terhadap pelaksanaan PEMERKASA + akan berjalan dengan lancar agar semua penggiat industri dapat dibantu segera dan mendapat manfaat daripada bantuan tersebut.

PEMERKASA + untuk sektor pelancongan dan kebudayaan yang dapat dimanfaatkan oleh semua penggiat industri yang terlibat adalah seperti berikut:

  1. Bantuan khas secara one-off sebanyak RM500 ringgit kepada 17,000 ribu pemandu pelancong berdaftar, 4,000 bas persiaran berdaftar, pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, dan e-hailing melibatkan peruntukan berjumlah RM68 juta;
  2. Melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10% selama 3 bulan tambahan antara bulan Julai hingga September 2021 kepada pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli-belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan;
  3. Pemberian potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh 6 bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa semasa;
  4. Pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel masih berterusan dan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021;
  5. Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion. Melalui skim ini, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan;
  6. Melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah PERKESO selama 1 bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos RM1.5 bilion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan; dan
  7. Pembiayaan mikro kredit serendah 3% sebagai modal kerja dengan peruntukan berjumlah RM1.5 bilion.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program bantuan PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus sebagai inisiatif terbaharu Kerajaan untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi, terutamanya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini.

Nilai keseluruhan program PEMERKASA Plus adalah berjumlah 40 bilion ringgit, di mana suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak 5 bilion ringgit. PEMERKASA Plus akan dilaksanakan berlandaskan 3 matlamat utama iaitu Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam, Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles