Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

M&C Saatchi Malaysia dan Invictus Blue dipilih sebagai Agensi Rekod Pemasaran (AOR) MDEC bagi tempoh 12 bulan

74

CYBERJAYA, 10 FEBRUARI 2022 – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini mengumumkan bahawa M&C Saatchi Malaysia dan Invictus Blue telah dipilih sebagai Agensi Rekod Pemasaran (AOR) MDEC bagi tempoh 12 bulan.

Menurut MDEC dalam satu kenyataan yang diedarkan hari ini, pelantikan kedua-dua agensi berkenaan adalah hasil daripada proses tender terbuka untuk perkhidmatan periklanan (media dan kreatif) yang telah dilaksanakan oleh MDEC pada Jun 2021. Kata MDEC, semua permohonan telah melalui proses penilaian dan keputusan tender telah diselesaikan baru-baru ini, di mana M&C Saatchi Malaysia telah dianugerahkan AOR untuk segmen “rakyat dan perniagaan” manakala Invictus Blue untuk segmen “pelaburan digital” MDEC.

“Agensi berkenaan akan mengetuai pelaksanaan kreatif untuk semua kempen pemasaran yang dirancang serta menyediakan pelan strategik perancangan dan pembelian media untuk mempromosikan program dan inisiatif MDEC dalam kedua-dua segmen tersebut.

M&C Saatchi Malaysia akan membantu dalam pelaksanaan program MDEC di bawah kemahiran dan pekerjaan digital serta teras ekosistem penerimaan digital, yang secara khusus menyasarkan segmen rakyat dan perniagaan. Program ini menyasarkan untuk membangunkan kemahiran digital rakyat Malaysia, meningkatkan serta melatih semula bakat tempatan dan memacu penerimaan digital di kalangan rakyat serta perniagaan.

Sementara itu, Invictus Blue akan menjalankan kempen pemasaran secara menyeluruh untuk teras pelaburan digital MDEC, yang menyasarkan untuk meletakkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN serta menarik dan membangunkan keyakinan di kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa.” jelas MDEC.

Tambah MDEC, pihaknya gembira dengan pelantikan M&C Saatchi Malaysia dan Invictus Blue berikutan ini merupakan antara usaha ke arah ekonomi digital yang progresif dan dipacu digital.

“Kedua-dua agensi berkenaan akan memainkan peranan penting dalam memastikan program dan inisiatif MDEC berjaya dikomunikasikan kepada rakyat, perniagaan dan pelabur.

M&C Saatchi Malaysia adalah sebahagian daripada M&C Saatchi Group. Syarikat kreatif yang pernah memperoleh anugerah berkenaan telah ditubuhkan di Kuala Lumpur pada awal 2003 dan ketika ini memiliki 90 orang bakat terbaik dalam industri.

Invictus Blue (sebelum ini dikenali sebagai Zenith Malaysia, pejabat pertama Zenith di Asia) ialah syarikat media yang menawarkan penyelesaian pemasaran berintegrasi penuh. Syarikat berkenaan ketika ini berjaya memperoleh anugerah Media Agency of The Year 2021 dari Media Specialist Association dan APPIES Advertising Agency of the Year 2021, yang telah membuktikan kewibawaan mereka dalam mengintegrasikan digital, data, rekaan dan keputusan dalam operasi mereka.”katanya.

Agensi-agensi berkenaan telah dianugerahkan AOR menerusi proses tender terbuka dan ini menjadi bukti komitmen MDEC ke arah standard integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengendalian operasinya. MDEC akan sentiasa berusaha untuk memutuskan rantaian rasuah dan berharap untuk bekerjasama dengan lebih banyak entiti melalui proses yang adil dan terbuka.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member