BM @ MY LNAKomunikasi Digital @ My LNAParlimen @ My LNASains, Teknologi & Komunikasi @ My LNAUTAMA

Penubuhan JKSN di bawah RUU Keselamatan Siber 2024 adalah perlu

152
Menteri Digital, Gobind Singh Deo. Kredit Foto : Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR. 27 Mac 2024 – Malaysia mengunjurkan ekonomi digital Negara menyumbang 25.5 peratus menjelang 2025 kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 23.2 peratus pada masa ini. Ini menunjukkan bahawa ekonomi digital Negara adalah antara tonggak utama ekonomi Malaysia. Peningkatan prasarana teknologi dan digital ini akan membuka ruang yang lebih besar kepada ancaman siber yang mana rangkaian infrastruktur digital tersambung kepada semua pengguna sama ada Kerajaan, entiti infrastruktur maklumat kritikal negara, organisasi swasta, industri dan orang ramai.

Menurut Menurut Digital, Gobind Singh Deo ketika membaca teks pembukaan RUU Keselamatan Siber 2024 di Dewan Rakyat hari ini, Kerajaan telah memutuskan supaya mekanisme dan sistem pengurusan keselamatan siber Negara perlu diberi anjakan paradigma atau ditransformasikan supaya mampu menghadapi sebarang bentuk ancaman siber pada masa kini dan akan datang.

“Pengurusan Keselamatan Siber Negara yang proaktif, terselaras dan berkesan memerlukan sebuah institusi yang mempunyai mandat, keupayaan dan kuasa yang jelas. NACSA yang merupakan agensi peneraju dalam bidang keselamatan siber perlu diperkukuhkan untuk melaksanakan fungsinya terutamanya dalam aspek kawal selia serta penguatkuasaan dasar dan strategi pengurusan keselamatan siber negara. Pengukuhan kuasa serta fungsi yang jelas amat diperlukan oleh NACSA secara undang-undang spesifik dalam menjalankan peranannya secara lebih berkesan dan holistik bagi menangani ancaman keselamatan siber Negara.

Penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 memberi tumpuan kepada perlindungan keselamatan siber infrastruktur maklumat kritikal negara. Ini kerana apa-apa pencerobohan atau serangan ke atas infrastruktur kritikal ini boleh memberi impak yang besar kepada Negara dan rakyat khususnya dalam aspek keselamatan, ekonomi, kesihatan dan sosial.” kata Gobind.

Katanya lagi, melalui Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 ini, aspek keselamatan siber bagi infrastruktur maklumat kritikal negara akan dapat dipertingkatkan melalui rangka kerja yang telah diwujudkan dalam Rang Undang-Undang ini termasuklah :

(a) penetapan dasar dan strategi berkaitan keselamatan siber serta pemantauan pelaksanaannya oleh Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh wakil-wakil daripada pelbagai agensi awam dan swasta;

(b) pelaksanaan dan pematuhan kehendak yang diperuntukkan dalam Rang Undang-Undang ini dan tataamalan yang berkaitan dengan keselamatan siber oleh ketua sektor dan pemilik atau pengendali komputer dan sistem komputer yang merupakan infrastruktur maklumat kritikal negara;

(c) penyelarasan tindakan berkaitan keselamatan siber dan penguatkuasaan peruntukan Rang Undang-Undang ini oleh NACSA; dan

(d) pelesenan pemberi perkhidmatan keselamatan siber.

Kata Gobind lagi, penubuhan JKSN di bawah Rang Undang-Undang ini adalah perlu walaupun ia telah ditubuhkan di bawah Arahan MKN 26: Pengurusan Keselamatan Negara kerana Rang Undang-Undang tersebut merupakan undang-undang khusus bagi menangani isu keselamatan siber.

“Apabila Rang Undang-Undang ini dikuatkuasakan kelak, Arahan MKN 26 akan disemak semula untuk tujuan penyelarasan. Walau bagaimanapun, apa-apa ketetapan yang dibuat oleh JKSN di bawah Arahan MKN 26 berhubung dengan langkah-langkah, standard dan proses berhubung dengan keselamatan siber infrastruktur maklumat kritikal negara akan terus terpakai selagi mana ianya tidak bertentangan dengan Rang Undang-Undang ini.” ujar Gobind.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

AI Untuk Rakyat tepati konsep maqasid al-syari’ah

Oleh: Dr Ariyanti Mustapha Perkembangan teknologi yang berasaskan kecerdasan buatan atau AI...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Beragamalah dengan ilmu

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli Pada masa kini, umat Islam...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di KKB Boleh Jadi Satu Kesalahan Pilihan Raya

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada...