Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

5% KDNK Global Terlibat Dalam Pengubahan Wang Haram – KSN

120

28 Ogos 2021 –  “Keupayaan pembangunan dan kemajuan sesebuah negara amat bergantung kepada keupayaan negara membangunkan prasarana dan mengaplikasikan digital dan siber secara dinamik dan holistik.

“Namun, dalam keadaan ini, ada pula sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan keupayaan teknologi maklumat dan siber secara salah dan bercanggah dengan undang-undang.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) Antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre – NFCC) dan CyberSecurity Malaysia secara maya semalam.

MOC tersebut merupakan komitmen kerjasama untuk membanteras jenayah kewangan dengan mengembleng pengetahuan, kepakaran dan perkongsian pengalaman kedua pihak.

Turut hadir ialah Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengerusi Lembaga Penasihat NFCC, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Dato’ Seri Haji Mustafar bin Haji Ali, Ketua Pengarah NFCC, dan Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab FASc, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia.

Mohd Zuki berkata pada anggaran global, kira-kira dua hingga lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK terlibat untuk pengubahan wang haram.

“Jenayah keji ini telah menyebabkan berlakunya ketirisan sumber negara kita secara haram, yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk inisiatif pembangunan negara yang lebih penting”, ujar beliau lagi.

Beliau mengalu-alukan inisiatif NFCC dan CyberSecurity Malaysia untuk menjalin kerjasama sekaligus dapat mencegah jenayah kewangan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menerusi penggunaan teknologi yang dilihat membimbangkan.

“Kerjasama NFCC dan CyberSecurity Malaysia ini merupakan sebahagian daripada pendekatan whole of government atau whole of nation approach untuk membanteras jenayah kewangan.

“Kerana itulah kerjasama bersepadu pelbagai entiti Kerajaan khususnya dalam penggunaan big data secara optimum, di samping memastikan keselamatan dan perlindungan data adalah amat penting serta kritikal.

Selain itu kerjasama ini untuk memastikan proses pengumpulan, pengurusan dan penganalisisan data dibuat dengan cekap dan secara automated”, ujar beliau lagi.

Mohd Zuki turut menggesa supaya ketua-ketua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan mengambil inisiatif sepertimana kerjasama antara NFCC dan CyberSecurity Malaysia ini dalam membentuk rangka kerja bersepadu, meneliti ruang dan peluang jenayah yang berlaku dan lebih penting, suatu gerakan pencegahan dan penguatkuasaan secara lebih holistik dan berterusan.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member