1 Mei 2021 – Kenyataan terbuka Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador bahawa wujudnya campur tangan keterlaluan Menteri Dalam Negeri dalam urusan perjawatan dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dipandang serius oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Justeru, ABIM merafak sembah merayu jasa baik Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah untuk campur tangan dalam isu ini demi mengangkat kembali maruah PDRM.
“ABIM menekankan bahawa insiden yang berlaku seperti dinyatakan telah mencemarkan nama baik PDRM sebagai institusi utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang dan pasti boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kredibiliti PDRM termasuk keyakinan pelabur luar terhadap prinsip kedaulatan undang-undang negara serta kesan-kesan besar lain yang bersifat jangka panjang.
Justeru, atas keperihatinan kita terhadap masa depan negara dan rakyat serta keutuhan kredibiliti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), ABIM merafak sembah merayu jasa baik Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah untuk campur tangan dalam isu ini demi mengangkat kembali maruah PDRM.” kata Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan media yang diedarkan hari ini.
Tambah Faisal, ABIM yakin hasrat tersebut turut dikongsi seluruh rakyat jelata yang meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara untuk mempertahankan maruah dan integriti PDRM.
“ABIM sentiasa berpendirian bahawa mana-mana institusi penguatkuasaan undang-undang negara seharusnya bersifat neutral dan bebas daripada campur tangan politik agar institusi tersebut dapat menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau memihak (without fear or favour) sepertimana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.” ujar Faisal.
Semalam Abdul Hamid mengakui tidak senang dengan tindakan campur tangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin lalu menyebabkan beliau mempunyai hubungan yang tidak baik dengannya. Tegas beliau Hamzah hanya diberikan kuasa untuk tetapkan dasar selari dengan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bukannya menentukan siapa CPO (Ketua Polis Negeri) dan sebagainya.
Abdul Hamid turut mencadangkan agar pada masa akan datang, SPP diterajui secara bebas, misalnya oleh bekas hakim atau ketua hakim negara.
- Join Pavilion Feast To Journey Through Pavilion KL’s Array Of Culinary Treasures
- Malaysia Truly Asia Festival Promotes Malaysia’s Tourism and Culture to Laotian Market
- Jumpaan Terkini Arkeologi Di Tapak Candi Bukit Choras, Daerah Yan, Kedah Darul Aman
- The Hong Kong Institute of Surveyors Property and Facility Management Division Conference 2023 “Explored the Next Generation of Smart Property & Facility Management in Greater Bay Area”
- ESG Achievement Awards 2022/2023 winners presented Practices in sustainable development highlighted and pioneers commended
Leave a comment