BM @ MY LNAPolitik @ My LNA

Proses Lantikan Ahli SPR Baharu Membelakangi Manifesto dan Semangat Reformasi

70

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyatakan kekesalan terhadap lantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terbaharu tanpa semakan Parlimen. SPR melalui kiriman di laman Facebook mereka mengalu-alukan Ahli SPR terbaharu iaitu Datuk Haji Sapdin bin Ibrahim yang telah memulakan tugas pada Isnin (6 Mei) yang lepas. Perkembangan lantikan terbaharu SPR ini adalah sangat mengecewakan dan menunjukkan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani tidak serius untuk mereformasi SPR.

Kedua-dua PH dan BN merupakan komponen terbesar di dalam Kerajaan Madani kini, namun kedua-dua gabungan tersebut tidak menghormati manifesto yang mereka sendiri rangka, sekaligus memperkukuhkan persepsi bahawa Kerajaan Madani tidak serius dalam usaha untuk mereformasikan institusi dan membawa budaya politik yang lebih progresif serta inklusif.

BERSIH ingin mengingatkan bahawa kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjanjikan untuk pelantikan jawatan-jawatan utama akan disemak melalui Jawatankuasa Khas Parlimen. Janji ke-15 bagi mengukuhkan integriti institusi di dalam buku Tawaran Harapan PRU15 menyatakan bahawa jawatan utama seperti SPR, SPRM dan Ketua Polis Negara perlu disemak oleh Parlimen terlebih dahulu. Janji yang sama juga dinyatakan di dalam dokumen Perancangan Amal dan Usaha (PADU) BN, yang merupakan tema manifesto BN PRU15 yang lepas. Dokumen tersebut menyatakan keperluan penubuhan jawatankuasa parlimen untuk mencadangkan dan menapis jawatan utama SPR, SPRM Dan Gabenor Bank Negara.

Kerajaan Madani hanya dapat menebus kegagalan ini dengan segera mengumumkan bahawa proses lantikan Pengerusi SPR baharu selepas persaraan Tan Sri Abdul Ghani Salleh akan dilakukan melalui penubuhan Jawatankuasa Tetap Parlimen Hal Ehwal Pilihan Raya. Jawatankuasa Tetap ini perlu merangkumi Ahli-Ahli Parlimen yang dwipartisan, serta menetapkan proses dan kriteria yang jelas pelantikan Pengerusi SPR yang baharu. Kriteria seperti adil, berintegriti, mempunyai minda serta keazaman melaksanakan reformasi, tidak mempunyai keahlian parti politik atau pernah memegang jawatan utama dalam parti politik, berpengetahuan dalam perkara berkaitan pilihan raya serta tidak mempunyai rekod jenayah atau kesalahan pilihan raya yang serius perlu menjadi kriteria utama untuk jawatan seorang Pengerusi SPR.

Sekiranya perkara tersebut tidak dilaksanakan, Kerajaan Madani dan Perdana Menteri tidak lagi wajar menjaja perkataan reformasi yang setakat ini hanya seperti menanam tebu di tepi bibir sahaja. Rakyat akan terus mempersoalkan sejauh manakah iltizam reformasi yang dilaungkan.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mengurus raksasa narsisisme di tempat kerja

Oleh: Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin Berhadapan dengan pelbagai jenis karakter individu adalah...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJenayahUTAMA

PDRM edar lakaran fotolit suspek kes simbah asid

KUALA LUMPUR. 19 Mei 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengedarkan...

AMBM @ MY LNAUTAMA

Menteri KKR turun padang tinjau projek naiktaraf jalan persekutuan di Hulu Langat

HULU LANGAT, SELANGOR 19 Mei 2024 – Menteri Kerja Raya, Dato Sri...