Parlimen @ My LNAPolitik @ My LNA

Ahli Parlimen Pembangkang yang sokong Belanjawan 2021, terima ‘gula-gula’ ? – Tun Dr Mahathir

81

27 November 2020 – Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad terus mengkritik keputusan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang tidak bersama beliau dan 12 Ahli Parlimen yang lain sokong undi belah bahagi di Parlimen semalam.

Menurut negarawan tersebut di dalam catatan terbaru di blognya hari ini, apabila belanjawan di lulus tanpa tentangan di peringkat bacaan kali ke-2 di Dewan Rakyat, ini bermakna Kerajaan sudah pun diiktiraf oleh pembangkang, kecuali 13 Ahli Parlimen termasuk dirinya sendiri yang berdiri menentang.

Tambah beliau, menentang di peringkat jawatankuasa, seperti yang diwar-warkan akan dilakukan, tidak akan membawa apa-apa kesan signifikan ke atas Kerajaan mahupun kepada belanjawan yang dikemuka.

“Ianya hanya usaha untuk mengalih pandangan kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang. Kerajaan pintu belakang pimpinan Tan Sri Muhyiddin bukan dipilih rakyat. Manipulasi dilakukan untuk merampas kuasa daripada Kerajaan pilihan rakyat.

Tidak cukup di peringkat Pusat, Kerajaan negeri Sabah yang jelas dipilih rakyat juga dirampas dengan memaksa pilihan raya negeri diadakan. Untuk kekal berkuasa, Kerajaan ini terpaksa sogok Ahli Parlimen untuk dapat sokongan.” tegas Ahli Parlimen Langkawi itu.

Tun Dr Mahathir turut berkata bahawa pada perbahasan Belanjawan 2021 semalam, didapati bukan sahaja parti Kerajaan yang sokong, tetapi sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang menyokong.

“Ini aneh. Selama Kerajaan Tan Sri Muhyiddin tertubuh, pihak pembangkang berusaha untuk menjatuhkannya dengan undi tak percaya di Parlimen.

Tidak kurang 25 usul undi tidak percaya dikemuka. Apabila belanjawan dibentang, pembangkang bersuara kononnya akan menolak. Ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum untuk nyatakan tentangan mereka.

Tetapi ini tidak berlaku. Bila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 ahli pembangkang yang berdiri, dua kurang daripada jumlah yang diperlukan. Maka belanjawan dilulus dengan lebihan suara.” ujarnya.

Katanya lagi, kemungkinan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang lain menerima pelbagai ‘gula-gula ditawar’ bagi menyokong Belanjawan 2021 semalam tidak dapat ditolak.

” Jika benar bermakna rasuah sudah sampai tahap yang amat merbahaya kepada negara. Segala-gala boleh dibeli dengan duit, termasuk Kerajaan.

Kerajaan pilihan rakyat boleh dibeli dan dijatuh kerana wakil yang dipilih oleh rakyat sanggup terima sogokan seperti yang kita lihat berlaku di Sabah. Kerajaan yang tidak dipilih rakyat boleh rampas kuasa dan terus memerintah negeri dan negara.

Pembangkang sanggup berkrompomi dan tolak prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri.” tegasnya lagi.

Justeru beliau dan kumpulan Pejuang akan terus menolak Belanjawan tersebut kerana mereka tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang kepada negara di dalam usaha tangani masalah ekonomi yang merudum akibat Covid-19. Tambah beliau, tiada apa-apa rancangan untuk pulih dan kembangkan ekonomi serta bantu perniagaan yang terjejas teruk.

“Yang ada hanya pemberian wang dan lebih banyak wang yang ditawar untuk menawan hati rakyat. Tidak dinyata di mana dan bagaimana Kerajaan akan dapat hasil untuk biayai semua ini.

Kerajaan yang menagih populariti dengan sogokan untuk kekal berkuasa tidak ada beza dengan Kerajaan kleptokrat yang kita jatuhkan. Mereka hanya akan hancurkan negara ini.” ujarnya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAPendapat @ My LNAPolitik @ My LNAUTAMA

BERSIH Selar Pengumuman Peruntukan Terpilih Kerajaan di Kuala Kubu Bharu

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH mahu perbicaraan pengampunan Najib dibuat secara terbuka

KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan...

BM @ MY LNAPolitik @ My LNAUTAMA

Cara pengamalan politik lama harus diubah – Tiong King Sing

SARAWAK, 13 April 2024 – Presiden Parti Demokratik Progresif, Dato’ Seri Tiong...

BM @ MY LNAPolitik @ My LNAUTAMA

Apa hala tuju UMNO Selangor?

Oleh : Tengku Zafrul Semasa Majlis Iftar Ramadhan & perasmian secara serentak...