AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Ianya tetap suatu kesalahan, walaupun dibenarkan syarak untuk tidak berpuasa

310
Walaupun dibenarkan syarak untuk tidak berpuasa, wanita tetap tidak boleh makan di khalayak ramai (Gambar oleh Playground AI)

Oleh: Dr. Siti Aisyah Samudin

Saban tahun, di bulan Ramadan penuh barakah ada sahaja paparan berita berkenaan sekumpulan individu ditangkap pihak berkuasa agama atas alasan makan di khalayak awam di siang hari ketika bulan puasa. Bahkan, fenomena tangkapan kerana tidak berpuasa seolah sudah menjadi norma setiap memasuki bulan Ramadan. Tidak kurang yang menjadikan situasi ini satu bahan jenaka apabila mereka ditangkap, dibawa masuk ke dalam van jenazah dengan plastik hitam berisi bukti juadah yang dimakan. Istilah Geng Plastik Hitam turut melekat kepada golongan ini.

Dr. Siti Aisyah Samudin

Ironinya, tindakan makan di khalayak ramai pada siang hari dalam bulan Ramadan sebenarnya merupakan satu bentuk istihanah penghinaan kepada syiar dan syariat agama Islam. Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] sebagai contoh memperuntukkan berkenaan kesalahan Tidak menghormati Ramadan.

Seksyen 15 Akta 559 ini memberi peruntukan yang agak luas bagi maksud kesalahan tidak berpuasa di bulan Ramadan. Terma tidak menghormati Ramadan boleh menyebabkan orang Islam yang sengaja makan di tempat awam pada bulan Ramadan, walaupun mempunyai alasan syarak untuk tidak berpuasa masih boleh didakwa atas kesalahan yang boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.

Pun begitu, peruntukan kesalahan ini hanya tertumpu kepada kesalahan tidak berpuasa dan aktiviti penjualan makanan pada waktu siang yang tidak sepatutnya. Aktiviti berhubung maksiat atau hiburan pada bulan Ramadan seperti berkhalwat atau melakukan perbuatan tidak sopan adalah tidak termasuk dalam skop peruntukan ini.

Tatacara tangkapan ke atas individu dibuat berdasarkan aduan orang ramai atau melalui operasi yang dilaksanakan oleh pihak pegawai penguatkuasa agama. Operasi ini pada kebiasaannya dilakukan selepas mengenal pasti lokasi tertentu yang dikenal pasti sering menjadi lokasi panas hasil aduan orang ramai.

Setelah tangkapan dibuat, saman untuk menghadirkan diri ke pejabat agama daerah pada tarikh tertentu akan dikeluarkan kepada Orang Yang Disyaki Salah bagi diambil dan dirakam keterangan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama yang bertanggungjawab.  Selepas diambil keterangan, mereka akan dibebaskan dan tidak akan ditahan. Namun, jika mereka didapati gagal hadir ke mahkamah pada waktu dan tarikh yang telah ditetapkan, waran tangkap akan dikeluarkan.

Seksyen 15 Akta 559 memperuntukkan kesalahan “Tidak menghormati Ramadan dengan penditilan bahawa mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan:

a)            Menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok, atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau

b)            Secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya,

Adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

Jelas di bawah seksyen ini yang memperuntukkan kesalahan itu sebagai tidak menghormati bulan Ramadan dan bukan sekadar tidak berpuasa di bulan Ramadan. Lantaran itu, mana-mana orang termasuklah individu yang memiliki alasan syarak, seperti wanita dalam tempoh haid yang didapati melakukan aktiviti berhubung menjual makanan dan seumpamanya atau makan dan seumpamanya di tempat awam adalah didapati melakukan kesalahan. Dengan itu, jika sabit dakwaan, boleh dihukum denda maksimum RM1,000 atau 6 bulan penjara bagi kesalahan kali pertama. Bagi kesalahan kali kedua, pesalah boleh dihukum denda maksimum RM2,000 atau 1 tahun penjara.

Dalam kata lain, individu yang tidak berpuasa atas alasan yang dibenarkan syarak dan makan secara sembunyi dan sorok-sorok tidaklah didapati melakukan kesalahan di bawah peruntukan seksyen ini kerana elemen keterbukaan dan makan di tempat awam tidak dapat dipenuhi sekaligus dianggap masih menghormati bulan Ramadan. Sebaliknya individu yang tidak berpuasa tanpa alasan yang dibenarkan syarak, namun makan secara sembunyi, maka perbuatan tersebut merupakan dosa individu ke atas agama dan Allah SWT.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di sitiaisyah.samudin@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...