BM @ MY LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Isu Air di Universiti Malaysia Sabah: Menjernih Persepsi, Menuju Solusi

95

Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi, Majlis Belia Malaysia – MBM)

Masak menguning buah belimbing,

Ditanam lebat di tepi sungai;

Berat dipikul ringan dijinjing,

Segala yang kusut akan terlerai.

Air merupakan satu khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Kita perlukan air untuk menjalani rutin seharian kerana ia sumber penting dalam kehidupan kita. Januari lepas, beberapa penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakukan demonstrasi aman ketika lawatan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang diiringi timbalan beliau, YB Datuk Mustapha Sakmud berhubung masalah bekalan air yang dihadapi mereka. Berikutan itu, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim keesokan harinya meminta pihak berkenaan menyediakan laporan selepas beliau meluluskan RM3 juta kepada UMS untuk menyelesaikan masalah itu pada sekitar Mei tahun lalu.

Jadi, apa sebenarnya yang berlaku di sebalik krisis air di UMS ini? Benarkah terdapat salahguna dana dalam mencari penyelesaian bagi kemelut ini? Adakah terdapat penyelesaian kepada isu ini?

Bagi memahami isu yang membelenggu warga UMS ini, molek kiranya kita menelusuri latar belakang dan kronologinya. Realitinya, masalah gangguan air yang membelenggu UMS dan kawasan sekitar Sepanggar telah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya.

Punca utama masalah itu ialah kekurangan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran. Kawasan Parlimen Sepanggar, termasuk UMS paling terjejas akibat kekurangan bekalan air yang dihadapi di kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu berikutan kedudukannya di hujung sistem paip air yang bermula dari LRA Telibong.

Selain itu, turut menyumbang masalah itu ialah perbuatan mencuri air yang dipercayai dilakukan penghuni setinggan. Hal ini demikian kerana wujudnya koloni setinggan yang besar dengan kira-kira 12,000 rumah di sekitar kawasan Sepanggar. Kewujudan koloni setinggan yang besar dianggar mencecah 12,000 rumah di kawasan Sepanggar, dipercayai antara penyumbang masalah bekalan air di UMS. Koloni setinggan dilaporkan melakukan penyambungan haram yang mengakibatkan kira-kira 18 juta liter sehari (MLD) dicuri penghuni penempatan itu.

Hal yang demikian, JANS akan melaksanakan skim vendor bagi membekal air secara sah di kawasan setinggan yang dikenal pasti berlaku kes penyambungan paip secara haram. Kaedah itu dapat mengurangkan penyambungan paip haram, sekali gus mengelak kehilangan air tidak berhasil (NRW) dan dapat menstabilkan bekalan air, khususnya di sekitar Sepanggar, termasuk di UMS. Pelaksanaan skim vendor itu disasar dapat mengurangkan kehilangan NRW antara lapan hingga 10 juta liter sehari (MLD).

Pertumbuhan pesat taman perumahan antara Kota Kinabalu dan Tuaran serta pengoperasian kilang besar yang meningkat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) turut menyumbang kepada peningkatan permintaan air. Selain itu, pengubahan paip air utama di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo antara Kota Kinabalu dan Tuaran turut menyebabkan gangguan air.

UMS sangat terkesan dengan situasi itu memandangkan kira-kira 20,000 orang berada dalam kampus setiap hari sedangkan bekalan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan. UMS terpaksa menampung keperluan pelajar dan pensyarah yang bekerja di sana iaitu seramai 20,000 orang di mana memerlukan sebanyak 5 juta liter air setiap hari.

Sejak 2021, UMS telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mengurangkan gangguan air seperti membeli air, memperbaiki tangki dan pam serta pengambilan air bawah tanah. Terdahulu, projek telaga tiub dan sistem air graviti siap dibina pada 2023 menggunakan sumber dalaman UMS di Kolej Kediaman Tun Ahmad Raffae, UMS.

UMS juga sudah memulakan projek telaga tiub yang dijangka siap penghujung Mac 2024 ini. Timbalan Menteri KPT yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, YB Datuk Mustapha Sakmud dalam lawatannya ke UMS berkata, hasil pembentangan pihak geologi UMS telah mengenal pasti empat sumber air di sekitar universiti tersebut untuk dijalankan proses penggerudian.

Selepas sumber air dipastikan mencukupi, proses penggerudian akan dimulakan, disusuli pembinaan loji penapis dan sistem perpaipan kepada hostel-hostel pelajar.

Bagaimanapun, menurut YB Mustapha, sumber air yang bakal diperoleh itu hanya sebagai penyelesaian sementara bagi membantu JANS membekalkan air kepada UMS. Beliau menegaskan bahawa KPT akan memberi keutamaan kepada projek tersebut yang diklasifikasikan sebagai ‘quadrant urgent important’ dalam usaha penyelesaian jangka pendek di UMS.

YB Mustapha juga menyatakan bahawa perkara ini juga akan dijadikan laporan mingguan dalam mesyuarat KPT sebelum dibentang ke Kabinet, supaya projek ini dapat dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan. Jelasnya lagi, peruntukan sebanyak RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini digunakan untuk proses menggali telaga tersebut manakala RM2 juta lagi yang diumumkan oleh Menteri KPT adalah untuk sistem perpaipan.

Ahli Parlimen Sepanggar itu juga menerangkan bahawa peruntukan itu diurus oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), manakala UMS hanya sebagai pelaksana. Katanya, wang itu digunakan bagi membiayai pembinaan enam telaga tiub yang akan dilaksanakan dua syarikat kontraktor dengan pembayaran kerja dibuat oleh ICU dan bukannya melalui UMS. Hal ini sekaligus menjelaskan bahawa tiada unsur yang tidak memenuhi tatakelola dan isu bajet memang dibuat dan digunakan sebaiknya mengikut prosedur kewangan yang ditetapkan.

YB Mustapha berkata pihaknya juga berharap penyelesaian jangka masa panjang daripada JANS untuk menanggani masalah air di kawasan Sepanggar. Hal ini sangat signifikan kerana JANS perlu membantu untuk memberi solusi jangka masa panjang. Hal ini di bawah tanggungjawab jabatan air dan kerajaan Sabah juga perlu memantau perkara ini dan memastikan bahawa jabatan air akan dapat melaksanakan program projek tambahan untuk air.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, selepas kerja paip utama bagi menyalurkan air tambahan dari LRA Telibong 2 di Tuaran siap, dan memandangkan LRA Telibong 2 Fasa 2 (T2P2) yang ditunggu selama ini sudah siap dan memulakan operasi sejak awal Disember 2023 lalu, diharapkan ia dapat mengurangkan isu kekurangan bekalan air di UMS dan sekitarnya.

Dilaporkan bahawa selepas LRA Telibong 2 disiapkan, perkara ini akan dapat dikurangkan kerana 30 peratus air dari loji itu akan disalurkan ke paip asal di kawasan Sepanggar. Penyiapan LRA T2P2 dengan kapasiti tambahan hingga 30 juta liter sehari (MLD) itu disasar untuk memenuhi kekurangan bekalan air yang dialami pengguna khususnya di kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu yang merangkumi Parlimen Sepanggar, termasuk UMS, selain sebahagian kawasan di daerah Tuaran.

Namun, penting untuk dinyatakan di sini bahawa enam telaga tiub yang dibina di kampus UMS itu adalah sebagai sumber alternatif sahaja bagi menambah bekalan air di kolej kediaman pelajar. Ia adalah langkah penyelesaian jangka pendek dan hanya mampu menyalurkan tambahan satu juta liter bekalan air sehari. Sedangkan 20,000 pengguna air di UMS memerlukan sekurang-kurangnya lima juta liter bekalan air sehari.

YB Mustapha Sakmud sendiri menggerakkan inisiatif dengan menghantar 18,000 liter atau 1,000 karton air minuman ke kolej kediaman di UMS terutamanya memandangkan terdapat pelajar yang sedang menduduki peperiksaan.

Kepentingan air kepada kehidupan dan alam seluruhnya memang tidak dapat dinafikan. Sebagai sumber asli yang paling berharga, air diperlukan sebagai kegunaan asasi dan dapat dimanfaatkan bagi tujuan pelbagai aspek kehidupan. Dikhabarkan bahawa pelajar di kolej kediaman UMS sudah mula mendapat bekalan air yang ditampung menerusi penghantaran lori tangki dan keadaannya lebih baik sebelum lawatan YB Zambry dan YB Mustapha tempoh hari.

Difahamkan, bekalan air di kampus universiti itu semakin baik menerusi penghantaran bekalan air bagi memenuhi tangki sedia ada sebelum disalurkan ke kolej kediaman. YB Mustapha Sakmud sendiri merupakan graduan UMS, pastinya beliau mahukan yang terbaik buat alma maternya.

Awal Februari 2024, Datuk Mustapha mengumumkan bahawa projek untuk mengatasi kekurangan bekalan air di kampus universiti itu dijangka siap sepenuhnya mengikut tarikh ditetapkan pada hujung Mac ini. Katanya, berdasarkan perkembangan projek itu setakat ini, beliau yakin kemudahan itu dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual agar pelajar yang kembali memulakan sesi akademik selepas cuti semester tidak lagi berdepan masalah air.

Apa yang penting, buat masa sekarang ini kita tidak hanya melontar persepsi serta berita tanpa memastikan kesahihannya. Amalan tabayyun (menyelidik terlebih dahulu) itu amat dituntut syarak bagi memastikan setiap maklumat yang disebar tepat, diperoleh daripada sumber sahih serta boleh dipercayai. Jadilah penerima maklumat yang bijak dan buatlah sebaran sekiranya ia membawa manfaat, bukannya mudarat.

Semoga isu kekurangan bekalan air hingga menjejaskan rutin harian warga UMS, terutama pelajar yang tinggal di kolej kediaman, dapat dikurangkan menjelang April 2024 ini. Kita berikan ruang agar projek air ini dapat dijayakan dengan cemerlang, laksana cahaya yang menanti di hujung terowong. Semoga ada sinarnya!

Tupai tanah mencari makan,

Helang melihat tajamnya sakan;

Umpat fitnah usah dibiasakan,

Tegur nasihat agama ajarkan.

Kalau meniup seruling bambu,

Siapa yang ikut akan terbuai;

Kalau hidup saling membantu,

Mana yang kusut akan selesai.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Jangan Hidupkan Budaya Toksik Ketika Menjayakan Tradisi Berkumpul

Oleh : Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli, Pensyarah, Jabatan Fiqh dan...

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAUTAMA

MCMC buat laporan polis terhadap Chegubard, Salim Iskandar dan Papagomo

CYBERJAYA 20 April 2024 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah...

AMBM @ MY LNAPerikanan @My LNAPertanian @ My LNA

100 Induk Ikan Kelisa Emas dilepaskan bagi Usaha Konservasi

KERIAN 20 April 2024 – Sebanyak 100 ekor induk ikan kelisa emas...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Perindahkan hari raya dengan kesederhanaan

Oleh: Dr Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar Benar, Ramadan baru sahaja berlalu....