AMBM @ MY LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Majlis Kewangan Negara setuju tambah baik pemberian serta sokongan kepada Kerajaan Negeri

107

PUTRAJAYA, 4 April 2024 – Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri pada hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kali ini bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik pemberian serta sokongan kepada Kerajaan Negeri bagi tahun 2024.

“Kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum. Berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi MADANI, penambahbaikan Pemberian kepada Kerajaan Negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi.

Peningkatan Pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia dan akan diberikan secara serentak. Walhasil, besarlah harapan saya agar Pemberian ini dapat digunakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan.” kata Anwar.

Antara persetujuan yang dicapai semasa Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kali ini adalah seperti berikut:

1. Menyediakan peruntukan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri negeri sekitar RM8.9 bilion ketimbang RM8.3 bilion pada tahun 2023 dan RM8.1 bilion tahun 2022. Antara peningkatan Pemberian sebagaimana yang diumum dalam Belanjawan 2024 termasuklah:

  • Peningkatan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri kepada RM5.4 bilion ketimbang RM5.2 bilion pada tahun 2023;
  • Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) sebanyak RM400 juta;
  • Kenaikan Pemberian Pindahan Fiskal Ekologi (‘Ecological Fiscal Transfer’; EFT) kepada RM200 juta ketimbang RM150 juta pada tahun 2023;
  • Penambahan Pemberian Khas Tahunan kepada Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta untuk Sarawak dan RM129.7 juta untuk Sabah pada tahun 2023; dan
  • Peningkatan Pemberian kepada Perpustakaan dan Muzium Negeri sebanyak 10% pada tahun 2024.

“Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM39.4 bilion disediakan bagi tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri ketimbang RM36.7 bilion pada tahun 2023 dan RM28.8 bilion tahun 2022.” kata MOF.

Di samping itu, kelulusan permohonan Kerajaan Negeri telah diberikan berhubung kesiapsagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti musibah banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.

Kata MOF, Majlis Kewangan Negara meluluskan supaya pembelian Jambatan Sementara Bailey (‘Bailey Bridge’) menggunakan peruntukan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri secara sekali beri (‘one-off’) bagi tahun 2024 dan kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyenggaraan jalan negeri sebanyak 10% atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah.

    Leave a comment

    Please Login to Comment.

    Member

    Related Articles

    AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

    Isu keciciran dalam pelajaran perlu ditangani bersama

    Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya Wong...

    Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

    Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

    71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...