AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNA

Pilihlah korban yang terbaik

562
Pemilihan haiwan korban perlu dibuat berdasarkan pelbagai aspek. Gambar hiasan oleh Nandhu Kumar dari Unsplash

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Ibadah korban disambut setiap tahun oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia melibatkan penyembelihan pelbagai jenis haiwan ternakan khususnya haiwan yang mempunyai empat kaki yang diternak. Bagi umat Islam di Malaysia, haiwan yang menjadi pilihan korban adalah lembu, kerbau dan kambing. Sebahagian besar haiwan ini diimport dari negara luar bagi memenuhi keperluan ibadah korban tempatan.

Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Dalam lipatan sejarah, peristiwa korban yang awal melibatkan kisah korban Habil dan Qabil bagi menentukan siapa yang layak untuk mengahwini Iqlima. Persembahan korban melibatkan hasil tanaman oleh Qabil dan haiwan oleh Habil, tetapi korban Habil telah diterima Allah. Ia disebut dalam al-Quran, surah al-Ma’idah, ayat 27. Dalam kisah berikutnya, yang menjadi asas kepada perlaksanaan ibadah korban hingga ke hari ini adalah kisah korban Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang kemudiannya ditukarkan dengan haiwan kibas yang terbaik. Ia dirakam dalam surah al-Saffat, ayat 102.

Pada dasarnya, ibadah korban ini adalah simbol pengorbanan terhadap rasa kecintaan terhadap harta benda, wang ringgit dan menimbulkan rasa empati kepada golongan fakir miskin juga ahli masyarakat yang kaya. Ini kerana selain daripada wang ringgit dibayar untuk mendapatkan haiwan korban, mereka yang terlibat turut mengagihkan daging korban kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada golongan yang miskin atau kaya.

Pengorbanan haiwan ini ini dirakam dalam al-Quran, ayat 32 surah al-Hajj: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Dalam surah al-Hajj, ayat 37, Allah SWT telah berfirman: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

Ibadah korban yang dilaksanakan melibatkan pemilihan haiwan korban yang terbaik kerana ia adalah pengorbanan sesuatu yang dicintai. Lantaran itu, dalam memilih haiwan korban perlulah dipilih haiwan korban yang terbaik. Ia meliputi aspek halalan tayyiban, perundangan dan keselamatan makanan (kebajikan haiwan dan ihsan). Sabda Nabi Muhammad SAW: Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya,
penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang. (HR al-Tirmizi).

Dalam aspek fiqh, pemilihan haiwan korban perlu berteraskan prinsip halalan tayyiban. Ia merujuk kepada status haiwan, jenis haiwan, umur, warna dan berat haiwan. Haiwan yang dipilih adalah haiwan yang sihat dan tidak berpenyakit, mempunyai isi daging, tidak kurus dan tidak cacat, tidak terlalu tua, bukan haiwan curi dan diseludup, dan haiwan yang tidak dilepas berkeliaran. Dari segi jenis haiwan, pertama adalah haiwan ternakan unta kerana dagingnya lebih banyak daripada lembu dan kambing, kedua, lembu atau kerbau kerana dagingnya lebih banyak daripada kambing, ketiga, biri-biri kerana dagingnya lebih banyak dari kambing dan berikutnya adalah kambing. Selain itu, dari segi warna haiwan korban disunatkan mengikut keutamaan seperti turutan berikut, iaitu putih, kuning, kelabu, merah, belang putih dan hitam dan hitam. Dari segi jantina, haiwan jantan lebih utama berbanding betina dan usia haiwan korban perlu cukup umur.

Selain itu, dari aspek perundangan, setiap haiwan korban yang ingin dikorbankan hendaklah mempunyai dokumen-dokumen, iaitu (1) Akuan Pemindahan Ternakan (2) Sijil Kesihatan Veterinar dan (3) Permit Penyembelihan Luar. Semua haiwan korban yang diimport dari luar negara seperti lembu, kerbau dan kambing yang diimport perlu melalui proses kuarantin 14 hari di negara asal dan 14 hari di negara Malaysia bagi memastikan bebas daripada penyakit berbahaya, umpamanya penyakit kuku dan mulut (FMD) dan penyakit kulit kental (LSD)

Di samping itu, dalam aspek keselamatan makanan, haiwan yang dipilih perlu bebas dari penyakit berbahaya agar tidak memudaratkan mereka yang menikmati dagingnya. Haiwan yang diseludup biasanya berisiko berpenyakit sebab tidak ia tidak dikuarantin dan disahkan bebas penyakit. Dalam situasi yang lain, kebajikan haiwan korban perlu dijaga agar haiwan tidak stress dan mengamuk, malah urusan penyembelihan perlu dilakukan dengan penuh rasa ihsan.

Sehubungan dengan itu, dalam melaksanakan ibadah korban, haiwan yang dipilih perlu memenuhi aspek halalan tayyiban, perundangan dan juga keselamatan makanan. Ini kerana ia merupakan simbol pengorbanan yang berteraskan asas takwa dan ikhlas. Pastinya haiwan yang dipilih adalah yang terbaik, berisi, berkualiti dan selamat untuk dinikmati orang ramai.

……
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAKomunikasi Digital @ My LNASains, Teknologi & Komunikasi @ My LNAUTAMA

Sistem CIPM MCMC raih anugerah

CYBERJAYA, 18 Mei 2024 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAUTAMA

MOTAC siasat insiden 300 jemaah haji terkandas di Mekah

PUTRAJAYA, 17 Mei 2024 – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri...

AMBM @ MY LNAJenayahUTAMA

Jabatan Imigresen Malaysia serbu kilang E-Waste didalangi warga asing

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan operasi penguatkuasaan di sebuah premis tidak...

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Wahai mahasiswa, sudah dimanfaatkankah kebebasan yang diberi oleh universiti?

Oleh: Dr. Abdul Muqit Muhammad Kebebasan akademik merupakan roh yang menghidupkan masyarakat...