BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mencari erti pengorbanan dalam mengurus kewangan

188
Erti pengorbanan itu luas dan meliputi kaedah kita menguruskan kewangan. Gambar hiasan oleh Ashraf Ali dari Unsplas

Oleh: Dr Mohd Zaidi Md Zabri

Beberapa hari lagi, umat Islam seantero dunia bakal menyambut Hari Raya Aidiladha yang juga merupakan antara perayaan terbesar dalam Islam.

Dr Mohd Zaidi Md Zabri

Aidiladha juga begitu sinonim dengan konsep pengorbanan rentetan kesediaan Nabi Ibrahim AS mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS, sebagai lambang ketaatan terunggul kepada Allah SWT.

Oleh yang demikian, konsep pengorbanan adalah penting dalam pembentukan identiti seseorang Muslim dan memupuk semangat pengabdian dalam sebenar-benar erti hamba Allah SWT (Abdullah).

Namun begitu, alangkah ruginya kita membiarkan makna korban di bulan Zulhijah ini terhenti setakat mengerjakan ibadah korban semata.

Sedangkan konsep pengorbanan juga harus dimaknai oleh setiap Muslim dalam segala aspek kehidupan—termasuklah pengurusan kewangan. Ini kerana pengorbanan merupakan tiang seri dalam menjayakan sesuatu pelan perancangan kewangan.

Berikut merupakan antara sebab musabab mengapa memaknai erti pengorbanan bakal menjayakan agenda perancangan kewangan yang lestari.

Pertama, umum mengetahui bahawa salah satu komponen penting dalam pengurusan kewangan berhemah ialah penangguhan kepuasan (delayed gratification).

Dalam erti kata lain, seorang Muslim perlu berkorban dalam mengutamakan keperluan dan menangguhkan kemahuan jangka pendek demi mencapai matlamat kewangan jangka panjang.

Malahan, seorang Muslim yang memaknai erti pengorbanan akan memilih untuk tidak berbelanja ke atas perkara memberikan kepuasan segera (instant gratification).

Sebaliknya, beliau akan melaburkan masa dan sumber untuk membina simpanan, mengurangkan perbelanjaan atau hutang tidak perlu, dan membuat keputusan-keputusan kewangan yang berhemah yang berpaksikan dimensi jangka panjang—termasuklah keputusan yang membawa untung di akhirat kelak.

Menangguhkan kepuasan segera membolehkan seorang Muslim menggapai kestabilan dan keselamatan kewangan. Alhasil, seorang Muslim yang mempunyai kestabilan kewangan mampu membuat keputusan berkaitan kewangan peribadi yang termaklum dan kekal teguh dalam menghadapi cabaran kewangan yang tidak dijangka.

Selain itu, keupayaan untuk menangguhkan kepuasan bakal memupuk disiplin, daya tahan dan kesabaran—kesemuanya juga merupakan sifat-sifat yang sangat dianjurkan dalam Islam. Daya tahan dan kesabaran ini merupakan faktor penting dalam mengemudi layar yang dibadai kerumitan kewangan peribadi.

Seorang Muslim yang mampu mendisiplinkan diri dengan mengelakkan perbelanjaan yang tidak perlu seperti mengurangkan kekerapan makan di restoran mewah atau membeli barangan mewah juga membolehkan beliau menyimpan wang dan memperuntukkannya untuk menambahkan simpanan dan sekali gus meningkatkan jaringan keselamatan kewangan di hari tua kelak.

Kedua, pengorbanan selalunya melibatkan membuat pilihan sukar demi mengutamakan kestabilan dan keselamatan kewangan di hari muka. Ini mungkin termasuk mengecilkan perbelanjaan hidup seseorang terutama sekali dalam aspek memuaskan kemahuan, mengurangkan perbelanjaan mengikut budi bicara, atau memilih jalan mujahadah dalam membuat kerja sampingan untuk meningkatkan pendapatan.

Asas kewangan yang kukuh juga memainkan peranan penting dalam mencapai dan mengekalkan kebebasan kewangan. Sebagai contoh, asas pengurusan kewangan yang mapan bakal memupuk tabiat kewangan yang baik seperti menyediakan (dan mematuhi) belanjawan peribadi, menyimpan dan melabur dalam instrumen simpanan dan pelaburan patuh Syariah.

Malahan, perbelanjaan, simpanan dan pelaburan yang berdisiplin (waima berdikit-dikit) bakal menjadi wahana bagi seorang Muslim untuk mengumpul kekayaan dari semasa ke semasa, membolehkan mereka menunaikan haji atau melakukan ibadah korban dengan lebih berstrategik.

Selain itu, asas kewangan yang kukuh membolehkan seorang Muslim membuat keputusan strategik yang bersandarkan tabung kecemasan yang mapan yang dilengkapi dengan perlindungan takaful dan portfolio pelaburan yang pelbagai.

Di samping itu, asas kewangan yang kukuh memberi kebebasan kepada individu untuk membuat pilihan berkaitan kewangan sejajar dengan nilai dan aspirasi sebagai seorang Muslim iaitu menggapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ketiga, melalui pengaplikasian konsep pengorbanan dalam pengurusan kewangan, seorang Muslim boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada aspek pembangunan peribadi dan profesional.

Pelaburan dalam aspek pembangunan peribadi dan profesional mampu menjadi pemangkin penting dalam mencapai kebebasan kewangan. Dengan terus meningkatkan pengetahuan, kemahiran, dan pembangunan peribadi seseorang, seseorang Muslim boleh memposisikan diri mereka untuk prospek dan peluang kerjaya yang lebih cerah.

Daya usaha untuk meningkatkan potensi diri juga memupuk minda pertumbuhan, membantu seorang Muslim menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran yang dinamik. Ia juga memupuk disiplin, kecekalan, dan kebolehan penetapan matlamat dalam mencapai matlamat kewangan.

Melabur secara istiqamah dalam pendidikan (secara formal mahupun tidak), memperoleh dan mengasah kemahiran baharu yang sentiasa dikemas kini dengan keperluan industri memperkasakan individu untuk mendapat gaji atau laba yang lebih tinggi.

Selain itu, peningkatan diri menggalakkan kemahiran pengurusan kewangan yang berkesan, seperti penetapan belanjawan, menyimpan dan melabur dengan bijak. Jalan untuk menggilap potensi diri bakal meningkatkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan keupayaan membuat keputusan berkaitan kewangan yang tuntas.

Jalan islah dalam pengurusan kewangan ini juga bertepatan dengan sabda Nabi SAW iaitu “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Akhir kalam, marilah kita sama-sama melakukan anjakan paradigma dengan mengambil iktibar dari kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dengan mengaplikasikan konsep pengorbanan dalam merancang kewangan demi masa depan yang lebih lestari dan yang terpenting sekali, beroleh sebaik-baik kejayaan iaitu kejayaan di akhirat kelak.

……
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan Setiausaha Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE). Beliau boleh dihubungi di zaidizabri@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Isu keciciran dalam pelajaran perlu ditangani bersama

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya Wong...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...