AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Hikmah menerima jemputan dan menjadi tetamu Ilahi

273
erdapat banyak nilai pendidikan dalam pelaksanaan ibadat haji. Gambar hiasan oleh Ekrem Osmanoglu - Unsplash

Oleh: Prof. Madya Dr. Zawawi Ismail

Haji adalah ibadah yang menjadi rukun Islam. Rukun yang menjadi kewajipan ini disepakati oleh semua para ulama tanpa ada sebarang pertikaian dan berlakunya percanggahan pendapat bermula dari pensyariatan terakhir haji kepada baginda nabi Muhammad s.a.w sehingga sekarang. Hukum kewajipan haji diistinbat dari al-Quran, Sunnah dan ijma’ sekalian ulama tanpa dapat dinafikan lagi bahkan penafian kepada kefardhuan yang wajib menjadi salah satu asbab kepada kekufuran setelah beriman. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud, “dan sempurnakan ibadah haji dan umrah kerana Allah”.

Prof. Madya Dr. Zawawi Ismail

Pelaksanaan ibadah haji melibatkan penglibatan semua aspek bermula dari aspek agama, pengurusan, ekonomi, pembangunan infrastruktur, perancangan bandar, psikologi, sosiologi, sains pemakanan, pengangkutan, komunikasi dan lain-lain aspek yang saling bergantung antara satu sama lain. Ini menjelaskan bahawa pensyariatan ini adalah satu program besar agama yang melibatkan aspek yang dinyatakan dan pelbagai pihak dan negara dalam dunia moden ini. Oleh yang demikian perbincangan bersifat intelektual berkaitan haji perlu disuburkan bukan hanya pada aspek hukum semata-mata tetapi perlu melebarkan horizonnya secara melebar dan mendalam.

Pelaksanaan ibadah haji kalau dilihat pada sudut pandang pendidikan moden membuktikan keunikan dan penggabungan prinsip pendidikan model yang sangat menarik untuk dibincangkan. Ini bermakna pelaksanaan ibadah ini kalau dilihat dari sudut pandang pendidikan mengandung penerapan falsafah dan nilai serta menjadi program lengkap pembangunan manusia sebagai manusia. Dari aspek tiga domain utama dalam pendidikan moden, pelaksanaan haji membentuk cakupan lengkap dan komprehensif.

Dari aspek afektif yang sering dibincangkan berkaitan emosi dan perasaan atau disebut sebagai domain atifiyyah sebenarnya juga mencakupi nilai dan penghayatan kontruktif yang mengaitkan penerimaan sesuatu prinsip dan pegangan. Seorang yang diberikan peluang menunaikan haji di Mekah al-Mukarramah sering digelar dhuyufurrahman atau tetamu Allah atau tetamu yang dimuliakan Allah. Ia melibatkan penghayatan prinsip yang mendalam dan penerapan nilai mulia seseorang manusia. Ada tiga sentap yang perlukan perhatian iaitu (a) siapakah yang menjemputnya, (b) kedudukan tetamu dan (c) jemputan itu untuk apa?

Mungkin ada yang tersentap dan ramai pula yang tidak merasainya. Ini menjadi satu cabaran dan ujian besar kepada yang bergelar dhuyufurrahman dan bakal dhuyufurrahman. Sebagai individu yang dijemput kita perlu menghayati bahawa pemergian kita dan perjalanan kita menunaikan haji atas jemputan Allah semata-mata, bukan kerana berharta kerana ramai lagi yang berharta tidak dijemput, bukan kerana sihat kerana ramai lagi yang lebih sihat tidak dijemput, bukan kerana luang masa kerana ramai lagi yang lapang tetapi tidak dijemput dan bukan kerana sampai giliran kuota Tabung Haji kerana jelas ramai yang sampai giliran dan berada dalam senarai kuota tidak juga dapat hadir sebagai tetamu Allah. Secara jelas seorang yang kakinya pada saat ini memijak bumi Mekah dan bakal memijak bumi Mekah perlu menghayati bahawa Allah telah menjemputnya.

Jemputan itu berlaku dalam pelbagai cara dan kaedah sama ada dalam jangkaan atau di luar jangkauan kebijaksanaan manusia. Ada yang mendapat jemputan kerana menjadi mahram bagi kakaknya atau ibunya, ada yang menjadi mahram kepada isterinya, ada yang dijemput dalam kapasiti sebagai petugas haji, ada yang dijemput dengan jemputan atau peruntukan Raja Salman sebagai Penguasa Dua Tanah Haram (Khadimul Haramain) dan lain-lain yang barangkali kalau disenaraikan maka ianya semua menjuruskan kepada satu noktah utama iaitu ini adalah jemputan Allah. Cara bagaimana dan kenapa dijemput bukanlah menjadi fokus utama yang perlu disembangkan siang dan malam tetapi “siapa” yang menjemput perlu difikirkan secara realistik di bawah tema keimanan kepada Allah.

Kalau gelaran tetamu diberikan, maka tetamu pastinya akan terikat dengan tuan rumah atau yang menjemputnya. Tetamu perlu menjaga akhlaknya sebagai tetamu agar kemuliaan sebagai tetamu tidak dikotori. Jemaah haji adalah tetamu Allah, maka wahai para jemaah haji terimalah status kita sebagai tetamu dan jagalah tutur kata kita, perbuatan dan akhlak kita sebagai tetamu Allah.

Andainya kita menjadi tetamu pembesar, raja atau pemerintah sesebuah negara maka sudah pasti kita akan memastikan semua tingkah laku dan protokol dapat kita ikuti dengan terbaik. Sesungguhnya bergelar tetamu Allah adalah kebanggaan kita dan ianya juga adalah kemuliaan kepada kita maka jagalah dan berakhlaklah kita dengan akhlak yang layak bagi tetamu Allah di bumi permulaan syariat akhir zaman.

Adakah kita rela dilihat sebagai tetamu kurang bijak yang tidak menyedari kemuliaan yang diberikan kepada kita atau kita mahu memperlihatkan diri kita sebagai tetamu sombong yang dimuliakan tuan rumah, tetapi tanpa merasa segan dan malu melakukan perkara yang tidak disukai atau dimurkai. Atau kita ingin menjadi tetamu lupa diri yang merasa mulia kerana hanya bergelar tetamu! Mulia kita bukan kerana bertamu tetapi mulianya kita kerana kemuliaan dan keagongan yang menjemput.

Sebagai penjelasan lanjut, kalau kita menjadi tetamu perompak, adakah ianya memberikan kemuliaan kepada kita? Mulianya kita sebagai tetamu Allah (dhuyufurrahman) bukan kerana kita mulia tetapi yang menjemput itu Allah yang Mulia. Mulianya kita kerana Allah yang Maha Mulia yang menjemput kita. Mulianya kita kerana jemputan Allah bukan kerana kita terhormat maka Allah menjemput kita! Renungilah dengan hati yang luhur dan tulus serta merefleksikan diri agar kita
menghayati siapa kita dan apa yang kita ada.

Adakah kita dijemput untuk menjadi penderhaka yang tiap masa dan ketika melanggar Allah yang menjemput atau kita mendabik dada bahawa kita adalah termulia, lupa pada kekerdilan dan status hamba yang telah kita miliki sejak alam roh lagi.

Jemputan ini bermatlamatkan kepada penghayatan jiwa seorang hamba yang penuh kelemahan dan kekerdilan yang datang untuk membuktikan pengabdian diri kepada Rabbul Jalil dalam masa yang sama merasai kehebatan dan pemurahnya Allah kepada kita. Jemputan ini untuk membolehkan kita merasai pilihan dan kasih sayang Allah kepada kita semua.

……
Penulis merupakan Dekan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan sedang melaksanakan ibadah haji di bawah Program Jemputan Khaadimul Haramain Al-Syarefain tahun 2023. Beliau boleh dihubungi di zawawiismail@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAJenayahPengguna @ My LNA

KPDN serbu stor haram tempat simpan LPG

PUTRAJAYA, 9 Mei 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Salahkah tayang bahagia di media sosial?

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor Pada suatu ketika dahulu, ramai...

Biz @ My LNABM @ MY LNA

AGM Globetronics Ke-27 berjaya dengan Semua Resolusi Utama Diluluskan

PULAU PINANG, 8 Mei 2024 – Globetronics Technology Bhd  (“GTB” atau “Kumpulan”), pemain yang terkenal...