AMEkonomi @ My LNA

Kadar pengangguran pada bulan Mei terus menurun

238

PUTRAJAYA 07 Julai 2022 – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa kadar pengangguran pada bulan Mei terus menurun kepada 637.7 ribu orang iaitu pada kadar 3.9 peratus.

“Pemulihan pasaran buruh pada Mei 2022 terus stabil seiring dengan pengoperasian penuh kesemua aktiviti ekonomi. Aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada bulan tersebut mendorong kepada lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan, justeru memberi lebih banyak peluang kepada perniagaan bagi menjana semula pendapatan mereka. Pasaran buruh juga dilihat semakin berkembang susulan lebih banyak permintaan dan penawaran buruh berlaku dalam pasaran bagi menampung keperluan aktiviti ekonomi yang semakin meningkat.

Justeru, kedudukan tenaga buruh pada bulan tersebut kekal kukuh dengan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan dalam bilangan tenaga buruh iaitu sebanyak 0.2 peratus kepada 16.54 juta orang (April 2022: 16.50 juta orang). Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh pada Mei 2022 meningkat sedikit kepada 69.5 peratus (April 2022: 69.4%). Situasi ini didorong oleh pertumbuhan guna tenaga yang stabil manakala pengangguran terus menurun.” kata Ketua Perangkawan Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, “Bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Mei 2022 iaitu sebanyak 0.3 peratus merekodkan 15.90 juta orang (April 2022: 15.85 juta orang). Sementara itu, bilangan penganggur pada bulan tersebut terus menurun dengan pengurangan sebanyak 1.8 peratus kepada 637.7 ribu orang (April 2022: 649.3 ribu orang). Oleh itu, kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 3.9 peratus.”

Mengulas berkenaan kedudukan guna tenaga Dr. Mohd Uzir berkata komposisi terbesar penduduk bekerja adalah kategori pekerja dengan 76.2 peratus.

Katanya kategori itu mencatatkan peningkatan 0.2 peratus kepada 12.11 juta orang berbanding bulan sebelumnya (April 2022: 12.09 juta orang).

“Sementara itu, penduduk bekerja sendiri yang sebahagian besarnya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit; penjaja; penjual di pasar dan gerai; serta pekebun kecil, juga semakin baik dengan pertambahan sebanyak 0.7 peratus merekodkan 2.74 juta orang (April 2022: 2.72 juta orang).” katanya.

Melihat kepada penduduk bekerja mengikut sektor ekonomi, sektor Perkhidmatan terus merekodkan pertumbuhan positif dalam guna tenaga terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Maklumat & komunikasi dan Perkhidmatan makanan & minuman. Begitu juga, sektor Pertanian, Pembuatan dan Pembinaan turut mengekalkan trend positif dalam bilangan penduduk bekerja kecuali bagi sektor Perlombongan & pengkuarian yang masih kekal dalam trend menurun.

“Daripada jumlah penganggur, 83.7 peratus adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif. Kategori ini menurun sebanyak 1.6 peratus mencatatkan 534.0 ribu orang (April 2022: 542.9 ribu orang). Mengikut tempoh menganggur bagi penganggur aktif, 58.6 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.9 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun. Sementara itu, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia terus berkurang dengan penurunan sebanyak 2.5 peratus kepada 103.8 ribu orang (April 2022: 106.4 ribu orang).” kata Dr. Mohd Uzir.

Pada bulan tersebut, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun terus merekodkan penurunan, dengan pengurangan sebanyak 0.3 mata peratus kepada 12.5 peratus. Sementara itu, bilangan penganggur belia menurun sebanyak 4.4 peratus kepada 341.4 ribu orang (April 2022: 357.2 ribu orang). Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun berkurang sebanyak 0.3 mata peratus kepada 7.4 peratus, merekodkan bilangan penganggur belia yang lebih rendah pada 475.7 ribu orang (April 2022: 7.7%; 501.2 ribu orang).

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan luar tenaga buruh pada Mei 2022 kekal dalam trend penurunan bagi sepuluh bulan berturut-turut dengan pengurangan sebanyak 0.1 peratus mencatatkan 7.26 ribu orang (April 2022: 7.27 juta orang). Kerja rumah/ tanggungjawab keluarga kekal sebagai sebab utama luar tenaga buruh dengan peratus sumbangan sebanyak 42.2 peratus dan diikuti oleh kategori bersekolah/latihan dengan 40.0 peratus.

“Krisis kenaikan harga barangan komoditi yang berlaku dalam pasaran, secara tidak langsung memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi Malaysia. Kenaikan harga barang akan membawa kepada inflasi yang akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara. Di samping itu, Dasar Sifar COVID yang dilaksanakan oleh China telah menyebabkan kekurangan dan kelewatan pembekalan bahan, lantas menjejaskan pasaran global, terutamanya dalam sektor pembuatan. Walau bagaimanapun, pengoperasian kesemua sektor ekonomi dan aktiviti sosial dilihat sebagai faktor penyumbang kepada peningkatan permintaan tenaga buruh. Di samping itu, kemasukan buruh asing ke dalam negara bagi menangani kekurangan tenaga buruh dalam industri tertentu juga diramal sebagai elemen positif dalam memastikan pasaran buruh kekal stabil walaupun ianya akan membawa kepada lebih banyak persaingan dan pasaran buruh yang lebih mencabar. Oleh itu, pasaran buruh dijangka berada dalam momentum pemulihan yang positif dalam beberapa bulan akan datang, namun ini tidak mengambil kira kesan jangka panjang daripada tekanan inflasi di seluruh dunia.” jelasnya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Beragamalah dengan ilmu

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli Pada masa kini, umat Islam...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Wasatiyyah kunci rumah terbuka Aidilfitri lestari

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Barangkali, Malaysia merupakan antara negara Islam paling...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Membawa Generasi Z kembali ke akar tradisi Aidilfitri

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria Tradisi hari...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...