Pengguna @ My LNA

17 unit alat teknologi penstriman dirampas

65

PUTRAJAYA 28 Jun 2022 – Serbuan ke atas tiga (3) premis berasingan yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, Selangor yang menjual alat teknologi penstriman (android box) telah dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 22 Jun.

Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman bin Adam dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam, serbuan yang bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan kekuatan seramai 12 anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDNHEP selama beberapa hari sebelum itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tiga (3) premis terbabit, pihak KPDNHEP telah merampas sebanyak 17 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta yang diadukan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 6,800.00.

Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan dua (2) individu lelaki, seorang daripadanya adalah warganegara tempatan manakala seorang lagi adalah bukan warganegara kedua-duanya berumur lingkungan 30-an untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM 10 000.00 dan tidak melebihi RM 200,000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.” kata Azman.

Tambah Azman, KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu. Katanya ia memberi penekanan dalam usaha pihak Kementerian untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan.

“Pihak Kementerian ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini. Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan dan tegas akan dilakukan oleh pihak Kementerian kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi.” kata Azman.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Ez ADU KPDNHEP.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member