Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Annuar menyeru warga digital berilmu dan berintegriti hadapi ancaman siber

162

Kuala Lumpur, 8 Februari 2022 – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menggesa seluruh Keluarga Malaysia bersama-sama membulatkan tekad untuk menjadi warga digital yang beretika dan berintegriti dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks.

Beliau berkata sempena Hari Keselamatan Internet – Edisi Malaysia yang bertemakan ‘Kita Siber’. “Kita Siber” yang bermaksud K – Komunikasi; I – Inklusif: T – Tanggungjawab dan A – Akrab adalah tema kepada langkah-langkah membentuk sikap kawalan kendiri serta kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri serta orang lain bagi membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia yang sejahtera lagi progresif.

Annuar juga berkata evolusi teknologi digital sememangnya membantu serta memudahkan urusan, namun, masyarakat hendaklah sentiasa bersiap siaga dalam mendepani ancaman dan serangan siber yang semakin berleluasa. Keruntuhan moral, akhlak dan nilai murni dalam komuniti Keluarga Malaysia juga semakin meruncing akibat daripada kealpaan individu tersebut.

Hari Keselamatan Internet atau Safer Internet Day (SID) merupakan satu sambutan global yang diraikan pada bulan Februari setiap tahun. Bertemakan ‘Together for a Better Internet’ ia mendidik serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan Internet agar mereka menjadi lebih beretika dan bertanggungjawab sewaktu menggunakan teknologi, Internet dan aplikasinya serta peranti digital.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member