Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Kerajaan Lancar 4IR, Fokus Kepada Teknologi Masa Hadapan

105

1 JULAI 2021 – Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dilancarkan hari ini sebagai dasar negara yang menyeluruh untuk memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi termaju 4IR.

Dasar 4IR Negara akan menyediakan prinsip panduan utama dan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi baru muncul yang akan memanfaatkan rakyat, sektor swasta dan awam.

Pelancaran Dasar 4IR disempurkan secara bersama oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Dasar ini menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Lima Tahun. Ia juga melengkapi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dalam mendorong pembangunan ekonomi digital. Strategi dan inisiatif di bawah Dasar 4IR Negara akan diurus tadbir oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara, yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri” ujar kenyataan media bersama oleh EPU dan MOSTI.

Menerusi dasar ini, kerajaan menggariskan 3 misi iaitu meningkatkan kualiti hidup dengan memanfaatkan kemajuan teknologi, mempertingkat keupayaan tempatan untuk menguasai 4IR dalam semua sektor dan menggunakan teknologi untuk mempertingkat pemeliharaan integriti ekologi

Rakyat, perniagaan dan kerajaan dijangka dapat memanfaatkan peluang pertumbuhan dan menangani risiko yang wujud daripada 4IR.

“Kemunculan teknologi baharu seperti robotik, Kecerdasan Buatan dan Internet Benda telah mengubah cara dunia beroperasi. Teknologi 4IR juga telah membantu usaha memerangi pandemik COVID-19 di seluruh dunia”, ujar kenyataan tersebut.

“Kadar pengunaan teknologi 4IR yang bersifat disruptif akan dipertingkatkan dengan pendekatan keseluruhan negara (whole of nation approach). Ekosistem yang kondusif dan inklusif yang merangkumi rantaian bekalan  dan nilai akan dibangunkan untuk membolehkan pihak industri mencipta produk-produk bernilai tinggi yang bersesuaian dengan kehendak pasaran tempatan dan global”,  ujar kenyataan media tersebut.

Menerusi Dasar 4IR Negara, 4 teras yang digariskan merangkumi mempersiapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR, membina negara yang mempunyai ketersambungan melalui pembangunan infrastruktur digital, menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya fleksibel mengikut perubahan teknologi dan mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR

Indeks Kesejahteran Rakyat Malaysia (MyWI) disasarkan meningkat kepada 136.5 pada tahun 2030, berbanding 124.4 pada tahun 2018.

Malaysia juga disasarkan untuk berada pada kedudukan 20 teratas dalam Global Innovation Index pada tahun 2030 serta mencapai peningkatan 30% produktiviti merentas semua sektor berbanding pada tahun 2020.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member