Politik @ My LNA

PN sepatutnya lebih berani berbelanja untuk memangkin pertumbuhan ekonomi

87
financial stock market graph illustration ,concept of business investment and stock future trading.

1 Jun 2021 – Pakatan Harapan (PH) berasa kecewa apabila mendapati hanya RM5 bilion adalah suntikan tunai baharu, dan bukannya RM45 bilion suntikan tunai yang diperlukan ekonomi negara untuk mengatasi kesan teruk Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 terhadap ekonomi keseluruhannya.

Menurut PH di dalam satu kenyataan media hari ini, Kerajaan Perikatan Nasional ini sepatutnya lebih berani berbelanja untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menyelamatkan negara dari kancah kemelesetan. Kata PH suntikan tunai RM5 bilion sahaja langsung tidak memadai apabila PKP 3.0 dijangka mendatangkan kerugian RM2.4 bilion sehari, serupa PKP 1.0 dahulu.

“Kesan kerugian kepada ekonomi dijangka berjumlah RM60 bilion bagi PKP 3.0 ini. Suntikan terus RM45 bilion ke dalam ekonomi, berbanding RM5 bilion yang dilakukan Kerajaan, akan benar-benar membantu mengurangkan kesan kerugian RM60 bilion tersebut.

Perdana Menteri juga nampaknya meneruskan langkah ekonomi dan kebajikan ortodoks yang sama dengan memberi bantuan one-off, walhal apa yang diperlukan sewaktu kita berada di dalam pandemik global ini adalah siri bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan ekonomi negara kita. Bantuan kewangan perlu bukan sahaja bagi kelompok B40, tetapi juga M40 untuk memastikan mereka tidak akhirnya tergolong ke dalam kelompok B40 nanti.” kata PH.

Maka PH mengulangi pendirian bahawa suntikan dana RM45 bilion ke dalam ekonomi mesti memberi kesan terus kepada pekerja dan perniagaan, termasuk:

  • Meningkatkan bantuan kebajikan bulanan ke RM1,000 termasuk bagi yang tidak bekerja, yang dijangka berjumlah RM7 bilion bagi 7 bulan ke depan sehingga lengkapnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjelang 31 Disember 2021 yang diharap mampu mencapai imunisasi kelompok meliputi 80% penduduk;
  • Pelanjutan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik, tanpa melibatkan kelompok T20, sehingga PICK lengkap pada hujung tahun ini. Ini akan membantu 8 juta rakyat dan syarikat di Malaysia. Kos ini semestinya ditanggung industri perbankan, yang telah merekodkan keuntungan selepas cukai yang sihat berjumlah hampir RM23 bilion bagi 2020 berbanding RM32.3 bilion pada 2019;
  • Memberi insentif pengambilan pekerja bagi jangka masa 2 tahun, melibatkan insentif gaji RM500 sebulan bagi pekerja warganegara dan insentif pengambilan kerja RM300 sebulan bagi majikan, yang dijangka mampu mewujudkan pekerjaan bagi 300,000 rakyat Malaysia dan menelan belanja RM6.5 bilion setahun. Pengangguran di kalangan belia kekal tinggi iaitu pada kadar 13.4% setakat Mac 2021;
  • RM3.5 bilion bagi Kementerian Kesihatan untuk mempercepat serta mempermudah PICK, serta meningkatkan usaha saringan, mengenal pasti kontak rapat, serta merawat kes positif COVID-19, meningkatkan kapasiti serta keupayaan hospital termasuk peralatan perubatan dan sumber manusia untuk mengelak runtuhnya sistem kesihatan awam kita; dan
  • RM28 bilion dalam bentuk geran; subsidi upah, sewa dan utiliti; jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pembinaan, peruncitan dan industri pelancongan yang terjejas teruk. Industri pelancongan kehilangan RM100 bilion tahun lalu, dan tanpa ‘talian hayat’ dari kerajaan sudah pasti industri ini akan hadapi masa depan yang amat kelam.

Tambah PH, pakej bantuan awal bernilai RM45 bilion ini, pada ketika penutupan penuh hampir semua sektor sewaktu
PKP 3.0, bukanlah jumlah yang besar apabila dibandingkan dengan RM340 bilion yang telah dibelanjakan sewaktu PKP 1.0 dan PKP 2.0. Pakej bantuan RM45 bilion ini diperlukan untuk menggerakkan seluruh masyarakat bukan sahaja untuk mengalahkan COVID-19, tetapi juga untuk mengurangkan kesan buruk ekonomi akibat penutupan penuh sekarang di samping mengelakkan kemelesetan ekonomi yang lebih teruk.

“Penyelesaian utama adalah vaksinasi. Kadar pemberian vaksin yang rendah, walaupun peruntukan RM5 bilion telah memakai dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa kelulusan Parlimen, serta proses pendaftaran atas talian bagi vaksin AstraZeneca yang begitu kelam-kabut walaupun disediakan peruntukan RM70 juta, hanya menunjukkan betapa gagalnya kerajaan yang ada sekarang dalam menangani krisis ini.

Kegagalan seluruh kerajaan ini juga telah menyebabkan krisis COVID-19 ini menjadi satu malapetaka sehingga kita menyaksikan jumlah kes dan kematian tertinggi hari ini. Maka pengumuman bahawa Jemaah Menteri tidak akan mengambil gaji selama 3 bulan tidak mampu mengimbangi kegagalan total kerajaan ini, atau meredakan rasa takut rakyat akibat COVID-19 mahupun betapa terdesaknya begitu ramai rakyat Malaysia yang mahu diberi vaksin sekarang.” kata PH.

Mengulas mengenai pengumuman bahawa Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji bermula Jun 2021 untuk selama 3 bulan, PH berkata bahawa mereka masih menerima elaun bulanan Ahli Parlimen, malah lebih penting dari itu mereka masih mempunyai peruntukan tahunan RM5 juta.

“Menteri-menteri tidak perlu menggunakan elaun Ahli Parlimen mereka untuk biaya staf dan pejabat atau untuk memberi bantuan kepada penduduk di kawasan mereka.” kata PH.

Tambah PH, sebagai langkah pertama menuju usaha menggarap seluruh masyarakat demi menangani wabak
COVID-19, Parlimen mesti bersidang secepat mungkin.

“Semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang perlu diberi peruntukan kawasan yang sama untuk membantu semua penduduk di kawasan mereka, sehingga pandemik COVID-19 ini tamat. COVID-19 memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira mereka penyokong PN mahupun PH.” ujar PH.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH desak Kerajaan laksana Reformasi Proses Pelantikan Pengerusi SPR & Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 segera

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...

BM @ MY LNAPendapat @ My LNAPolitik @ My LNAUTAMA

BERSIH Selar Pengumuman Peruntukan Terpilih Kerajaan di Kuala Kubu Bharu

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH mahu perbicaraan pengampunan Najib dibuat secara terbuka

KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan...

BM @ MY LNAPolitik @ My LNAUTAMA

Cara pengamalan politik lama harus diubah – Tiong King Sing

SARAWAK, 13 April 2024 – Presiden Parti Demokratik Progresif, Dato’ Seri Tiong...