26 Mei 2021 – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia untuk membantu mangsa-mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang layak dengan faedah-faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan juga Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Kata Saravanan dalam satu kenyataan media hari ini, di bawah Akta 4, PERKESO menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan ketika sedang bekerja atau semasa perjalanan pergi dan balik dari kediaman dan tempat kerja mereka menerusi Skim Bencana Pekerjaan.
“Sehubungan itu, mangsa kemalangan tren LRT terbabit yang mencarum dengan PERKESO dan disahkan mengalami kes Bencana Kerja layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
Bagi mangsa kemalangan yang terdiri daripada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang berdaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789, mereka layak memohon faedah-faedah PERKESO jika kemalangan tersebut berlaku sewaktu mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah.” jelas Saravanan.
Tambah beliau, antara manfaat yang disediakan kepada mangsa-mangsa kemalangan yang layak di bawah kedua-dua akta tersebut adalah rawatan perubatan percuma di klinik panel PERKESO atau klinik dan hospital Kerajaan menerusi Faedah Perubatan.
“Selain itu, mereka yang diberi cuti sakit yang disahkan oleh doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka.
Jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan tersebut, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan Kemudahan Pemulihan Jasmani iaitu bekalan alat-alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat dan kasut khas.” kata Saravanan.
Saravanan turut menyeru supaya majikan ataupun ahli keluarga mangsa supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat PERKESO yang berdekatan. Kata Saravanan, KSM dan PERKESO komited untuk memproses tuntutan faedah daripada mangsa-mangsa kemalangan terbabit dan memastikan segala bantuan disalurkan dengan kadar segera.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa kemalangan ini dan berharap agar semua mangsa segera pulih daripada kecederaan yang dialami.” ujarnya.
- A Legacy Across Lingnan: Jao Tsung-I in the Greater Bay Area Student Competition Award Ceremony
- SDLG Shines at bauma CHINA 2024 While 2025 SDLG Global Dealer Summit Held Grandly
- Visa Partners with Base.vn for SaaS Day 2024 to Empower Vietnamese SMEs
- Expereo Reveals the Top Trends Transforming Asia Pacific Connectivity in 2025
- Looking beyond Gen Z’s resume
Leave a comment