Pendidikan @ My LNA

UPSR

113

“Sekarang ini saya takut, pak cik. Habislah saya kalau tak dapat 6A”.

PENELITIAN MENDALAM KPM

Dalam sidang media semalam, saya telah mengumumkan bahawa UPSR dimansuhkan mulai tahun 2021. Keputusan yang kami buat ini telah diteliti secara mendalam dan terperinci termasuklah mengambilkira pandangan daripada pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang menyeluruh.

Apabila UPSR tahun lalu dibatalkan, kami mula mengkaji dan meneliti secara holistik tentang pelaksanaannya, termasuk mengambil kira amalan terbaik sistem pentaksiran sekolah rendah di pelbagai negera seperti Finland, Norway, New Zealand dan Scotland. Kami juga telah mengadakan perbincangan demi perbincangan untuk mencari pendekatan terbaik dalam menilai pembangunan murid secara menyeluruh bagi memastikan murid diberikan ruang dan peluang untuk mengoptimumkan potensi mereka.

PANDANGAN GURU, MURID DAN IBU BAPA

Bagi sesi libat urus, kami bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri untuk berbincang dan mendengar sendiri pandangan dan cadangan daripada guru, murid serta ibu bapa. Secara keseluruhannya, sesi ini melibatkan hampir 2,000 orang peserta daripada kalangan guru tahun 6, guru besar dan wakil PIBG yang mewakili suara ibu bapa. Mereka telah memberi input yang cukup bermakna buat kami. Lebih unik lagi, kami juga turun ke sekolah bertemu dengan murid tahun 6 dan mendengar sendiri luahan hati mereka tentang UPSR.

Ini adalah sesi perbincangan yang terbesar dan menyeluruh yang pernah dilaksanakan oleh KPM berkaitan pelaksanaan UPSR.

Kami dengar satu persatu pandangan dan luahan daripada pelbagai pihak tentang UPSR. Masih segar dalam ingatan saya, salah satu keluhan seorang murid tahun 6 semasa sesi libat urus, “Pakcik, sekolah dah sampai petang. Balik pula, tuisyen sampai ke malam. Kalau asyik begini, bila masa kami nak main?”. Ada dalam kalangan ibu bapa dan guru menceritakan bagaimana mereka sewaktu di sekolah rendah dahulu dilihat sebagai seorang murid yang gagal kerana tidak mempunyai sebarang A. Namun, akhirnya mereka mula cemerlang di peringkat sekolah menengah dan universiti.

Tidak kurang juga yang menceritakan bagaimana sahabat mereka yang dahulunya di sekolah rendah tidak cemerlang dan jauh terbelakang akhirnya cemerlang dalam karier masing-masing. Dalam menceritakan hal ini, seorang bapa berkata, “Waktu UPSR dulu saya jauh lebih cemerlang. Tapi sekarang, dia dah belajar sampai PhD dan amat berjaya dalam karier. Bila masanya dia pandai, saya pun tak tahu!”.

Seorang guru besar bercerita, “Saya akan pencen beberapa bulan lagi. Saya telah menjadi guru besar selama 16 tahun. Malam ini saya hendak buat pengakuan bahawa sepanjang 16 tahun ini saya banyak “mencuri” masa mata pelajaran lain kerana ingin memberi tumpuan kepada mata pelajaran UPSR semata-mata. Saya menyesal kerana tidak berlaku adil kepada anak-anak. Saya mohon janganlah diteruskan UPSR ini. Biarlah anak-anak menimba pelbagai ilmu dalam suasana yang menyeronokkan”.

Beberapa orang guru yang mengajar subjek Sains berkata mereka tidak sempat untuk membuat eksperimen bagi menjadikan subjek tersebut lebih menyeronokkan kerana ingin menghabiskan silibus secepat mungkin. Untuk apa? Kerana selepas itu akan dibuat latih tubi berterusan sehinggalah hari peperiksaan. Sentimen ini dikongsi oleh ramai guru. Ada yang menyatakan bahawa fokus kepada latih tubi UPSR menyebabkan murid tidak mempunyai ruang untuk mendalami ilmu dalam mata pelajaran lain.

Guru sukan dan kokurikulum juga ramai yang terasa hati. Kata mereka, murid Tahun 6 yang berpotensi dalam bidang kokurikulum dan sukan tidak dibenarkan diganggu dengan aktiviti sukan dan kokurikulum kerana tumpuan adalah kepada UPSR.

Banyak lagi perkongsian dalam sesi libat urus yang menyeluruh ini. Antara yang paling menusuk hati adalah apabila saya bertanya kepada seorang murid. “Pak cik nak tanya. Adik seronok tak ada UPSR?”. “Kalau boleh jangan ada UPSR pak cik”. “Mengapa dik?”, ujar saya. “Saya tak pandai pak cik. Tapi emak saya selalu tekan saya supaya dapat 6A. Katanya lagi, “keluarga saya semua cemerlang UPSR. Tapi nak buat macam mana, saya dah cuba. Cuma saya tak pandai. Sekarang ini saya takut, pak cik. Habislah saya kalau tak dapat 6A”. Allahu, tersentak saya. Bergenang air mata. Dalam hati kecil berkata, “Sesungguhnya anak ini tertekan”. Saya kata, “Sabar dik. Adik ikhtiarkan yang terbaik. Perjalanan hidup adik masih jauh”. Anak itu sambung, “Tapi saya takut pak cik!”.

Ini adalah sebahagian kecil perkongsian peserta sesi libat urus. Terlalu banyak input yang kami terima untuk dikongsi satu persatu di sini.

DEMI GENERASI MASA DEPAN

Secara keseluruhannya, mengambil kira pandangan pelbagai pihak, kami amat yakin bahawa keputusan ini adalah yang terbaik. Bukan untuk kami, tetapi untuk generasi pewaris negara!

Saya sentiasa ingatkan pasukan di KPM bahawa setiap keputusan tentunya tidak akan memuaskan hati semua pihak. Apa yang penting, setiap keputusan dibuat secara objektif dan bertunjangkan asas yang kukuh dengan analisis yang mendalam. 

DATUK DR. RADZI JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendidikan @ My LNA

SMK Kota Masai raikan bakal haji, tanam kebersamaan dalam ramadhan

Oleh : Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi PASIR GUDANG – Pengetua, Saridah Abdul...

AMBM @ MY LNAKomuniti @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

UM santuni komuniti muallaf dan asnaf di pedalaman Sabah

Program khidmat bakti yang diadakan oleh mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya...