Perpaduan SEMASA UTAMA Wanita

NGO Dan Aktivis Turut Terlibat Dalam Pembentukan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2025

KUALA LUMPUR 21 April 2021 – Sebanyak 36 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktivis terlibat dalam program libat urus anjuran bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Yayasan Perpaduan Malaysia bagi mendapatkan input dan maklum balas dalam pembangunan Pelan Pemerkasaan NGO Perpaduan oleh kementerian.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata hubungan antara pihak kerajaan dan NGO amat penting sebagai check and balance bagi kerajaan serta menjadi mata dan telinga kepada rakyat demi mewujudkan sebuah ekosistem masyarakat sivil yang sihat dan matang.

Jelas beliau lagi terdapat lima Pelan Pemerkasaan NGO Perpaduan yang berasaskan cita-cita Rukun Negara telah dibentangkan sebagai pengisian di bawah Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021- 2025 yang akan dilancarkan pada bulan Jun 2021.

Antara teras yang dibentangkan adalah membentuk masyarakat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan, memelihara sistem demokrasi raja berpelembagaan, memperkasa sosio-ekonomi yang adil dan saksama, menjamin keterbukaan dan toleransi terhadap perbezaan agama dan tradisi budaya serta membina masyarakat progresif melalui sains, teknologi dan inovasi.

Program libat urus yang diselaraskan oleh Tan Sri Lee Lam Thye selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia ini turut dihadiri oleh Professor Dr Suresh Govind, Pengerusi Yayasan Perpaduan Negara dan beberapa NGO lain termasuklah Persatuan Anak Borneo Semenanjung, Gabungan Bertindak Malaysia, Yayasan Strategik Sosial, Persatuan Belia-Belia Malaysia, Yayasan Sukarelawan Siswa dan Pasukan Muhibbah Rakyat.