Alam Sekitar @ MY LNAAM

Isu Roadkill babitkan hidupan liar : Semua pengguna jalan raya diseru lebih berhati-hati – Menteri KeTSA

58

9 September 2020 – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah pada hari ini menyeru agar semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati apabila memandu di kawasan-kawasan lintasan hidupan liar berikutan kejadian seekor anak gajah jantan mati dilanggar di Batu 10, Jalan Kota-Tinggi-Mersing, Kota Tinggi, Johor pada 1 September 2020.

“Sebelum ini juga telah berlaku kejadian gajah mengamuk di Jalan Mawai Kota tinggi Johor pada 31 Julai 2020 dan serangan gajah ke atas orang awam di Jalan Raya Timur-Barat arah Gerik-Jeli pada 1 Ogos 2020” kata Dr. Shamsul Anuar melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan kepada rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, sebanyak 2,055 ekor pelbagai spesies hidupan liar telah direkodkan mati dilanggar di jalan-jalan persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya dalam kejadian road-kill sejak tahun 2015 hingga 2019.

“Senarai spesies hidupan liar yang mencatatkan jumlah kematian yang tertinggi adalah spesies Kucing Batu dan Kucing Tulap (103), Tapir (66), Memerang (7), Beruang (7), Gajah (5), Harimau Kumbang (5), Kambing Gurun (2), Harimau Malaya (1) dan Rusa (2).

Kes roadkill berlaku apabila hidupan liar cuba melintas jalan raya atau lebuh raya yang dibina melintasi kawasan berhutan untuk bergerak ke kawasan berhutan yang bertentangan bagi tujuan tertentu seperti mencari makanan, mencari pasangan untuk membiak atau mencari habitat yang lebih sesuai untuk berkeliaran.

Pihak kerajaan berusaha mengurangkan roadkill dengan menggunapakai konsep koridor ekologi sepertimana yang dinyatakan dalam Pelan Induk Central Forest Spine (CFS). Koridor ekologi bertujuan untuk menghubungkan kembali kawasan hutan yang terpisah oleh pembinaan lebuh raya, jalan raya dan perubahan guna tanah untuk aktiviti pembangunan. Pembinaan struktur lintasan hidupan luar di lokasi-lokasi terpilih mampu mengelak dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang membabitkan hidupan liar.” ujar Ahli Parlimen Lenggong tersebut.

Menurut beliau lagi, jajaran lebuh raya atau jalan raya yang melalui kawasan berhutan perlu dilengkapi dengan struktur lintasan hidupan liar seperti elevated road, wildlife viaduct, terowong dan sebagainya. Kerajaan telah membina tiga (3) lintasan hidupan liar di Semenanjung Malaysia seperti berikut:

i. koridor ekologi Sungai Deka, Terengganu dengan pembinaan 3 lintasan hidupan liar pada tahun 2009 yang melibatkan kos sebanyak RM24.9 juta;

ii. koridor ekologi Sungai Yu, Pahang dengan pembinaan 3 lintasan hidupan liar yang dibina pada tahun 2014 yang melibatkan kos sebanyak RM82.3 juta; dan

iii. koridor ekologi Gerik, Perak dengan pembinaan 2 lintasan hidupan liar yang dibina pada tahun 2015 yang melibatkan kos sebanyak RM25.1 juta.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan PERHILITAN telah menjalankan kajian keberkesanan lintasan hidupan liar melalui kaedah pemasangan perangkap kamera. Hasil kajian mendapati pelbagai hidupan liar seperti Gajah, Rusa, Kijang, Kambing Gurun, Beruang, Kucing Hutan, Babi dan spesies primat telah menggunakan koridor ekologi Sungai Deka dan Gerik.

Bagi mengurangkan kes roadkill hidupan liar di Kota Tinggi-Mersing Johor, KeTSA juga telah merancang untuk membina satu lagi koridor ekologi di kilometer 48 laluan Kluang-Mersing Johor yang melibatkan pembinaan jejambat sepanjang 200 meter. Projek pembinaan koridor ekologi ini telah dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan akan disambung dalam RMKe-12 dengan anggaran kos sejumlah RM28 juta.

Buat masa ini, pasukan khas di peringkat Kerajaan Negeri telah diwujudkan bagi menangani isu konflik manusia-hidupan liar. Bagi tujuan penambahbaikan, KeTSA akan menubuhkan pasukan khas di peringkat Kebangsaan yang dianggotai oleh Kerajaan-kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Kementerian/Agensi yang berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), syarikat konsesi lebuh raya dan syarikat perladangan yang besar bagi menangani konflik manusia-hidupan liar.” jelas Dr. Shamsul Anuar.

Beliau turut berkata bahawa Jabatan PERHILITAN akan mewajibkan pematuhan kepada Wildlife Management Plan (WMP) bagi sebarang projek di habitat hidupan liar. WMP ini juga akan dijadikan syarat dalam kelulusan laporan Environmental Impact Assessment (EIA) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Semua projek pembangunan yang memerlukan laporan EIA perlu menyediakan WMP yang akan mengenalpasti langkah-langkah mitigasi yang perlu dipatuhi oleh penggerak projek dan pelaksanaannya yang akan dipantau oleh Jabatan PERHILITAN bersama Jabatan Alam Sekitar.”ujar Dr. Shamsul Anuar.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Fahami pemaknaan sebenar beribadat untuk kekal komited pasca Ramadan

Oleh: Muhammad Izzat Aiman Ahmad Sokri, Dr. Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAUTAMA

Iktibar perpaduan dari anyaman ketupat

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Aidilfitri menjelang lagi. Perayaan ini disambut seluruh...