Alam Sekitar @ MY LNAAM

JAS kesan 110 kontena berisi buangan debu EAF

85

GELANG PATAH 19 Julai 2020 – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah berjaya mengesan 110 unit kontena berstatus transhipment di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor yang didapati mengandungi bahan buangan debu electric arc furnace (EAF) yang berasal dari Romania sebelum dihantar ke negara pengimport iaitu Indonesia. Buangan EAF dust diklasifikasikan sebagai buangan toksik dan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 104, di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Sumber Foto Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air YB Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man, debu EAF mengandungi logam berat yang amat berbahaya seperti zinc (Zn), ferum (Fe), chromium (Cr), cadmium (Cd) dan plumbum (Pb) dan sekiranya tidak diuruskan dan dikendalikan mengikut prosedur tertentu, akan menyebabkan kesan buruk bukan sahaja kepada alam sekitar, malah boleh menjejaskan kesihatan manusia. Beliau turut menegaskan bahawa JAS selaku Pihak Berkuasa Konvensyen Basel, tidak pernah memberikan sebarang kelulusan dan menerima sebarang notifikasi daripada pihak pengeksport untuk buangan tersebut transit di Malaysia.

“Susulan penemuan kontena-kontena ini, pada 15 Jun 2020, JAS telah memaklumkan Focal Point dan Pihak Berkuasa Konvensyen Basel bagi Negara Romania bagi urusan penghantaran balik 110 unit kontena ke negara asal.

Saya ingin menegaskan bahawa sebagai ahli kepada Konvensyen Basel, Malaysia adalah komited untuk memenuhi sepenuhnya obligasi dibawah Konvensyen ini. Melalui Konvensyen ini, sebarang pergerakan merentasi sempadan buangan berbahaya hendaklah memenuhi prinsip Prior Informed Consent (PIC) yang mana negara pengeksport hendaklah mengemukakan notifikasi kepada negara pengimport dan negara transit. Sebarang pergerakan merentasi sempadan buangan toksik dan berbahaya hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport dan negara transit.” tegas Tuan Ibrahim.

Sumber Foto Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)

Tambah beliau, Kementerian yang diterajuinya iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menghargai kerjasama pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dalam membantu menahan kontena-kontena tersebut untuk menjalani pemeriksaan komprehensif bagi memastikan tiada sebarang cubaan untuk membawa keluar atau masuk ke Malaysia tanpa kelulusan JAS.

“KASA juga berterima kasih atas pemakluman oleh Syarikat ABC Tradex (servis cargo salvage), Syarikat Maersk (pemilik kargo) serta bantuan dan kerjasama pihak PTP dan pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dalam mengendalikan kes ini. Siasatan masih diteruskan terhadap kes ini dan JAS akan memastikan 110 unit kontena tersebut akan dibawa keluar dari Malaysia secepat mungkin.

Kerjasama di peringkat antarabangsa dalam menangani dan membanteras penghantaran buangan toksik dan berbahaya secara haram ke dalam negara akan tetap diteruskan oleh JAS. Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020, terdapat 28 kes pengimportan haram buangan terjadual yang berjaya dikesan dan dipatahkan oleh JAS dengan kerjasama JKDM dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.” kata beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa semua industri dan punca yang menghasilkan buangan terjadual hendaklah menguruskan buangan berkenaan dengan sempurna iaitu dari segi notifikasi, maklumat ciri buangan, penstoran, pelabelan, inventori dan maklumat pergerakan buangan terjadual.

“Semua ini perlu direkodkan melalui sistem atas talian iaitu eSWIS (Electronic Scheduled Waste Information System) selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Saya ingin menggesa semua industri dan punca yang menghasilkan buangan terjadual untuk menggunapakai eSWIS sepenuhnya. Tindakan tegas akan diambil oleh JAS ke atas pihak industri yang gagal berbuat demikian. KASA tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan ingin ditegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan KASA akan terus diperhebatkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat. Akhir kata, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia mengambil pendekatan zero tolerance kepada sebarang kemasukan haram sisa toksik ke negara ini.” tegas Menteri.

Tuan Ibrahim juga menyeru orang ramai untuk menjadi mata dan telinga JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Perindahkan hari raya dengan kesederhanaan

Oleh: Dr Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar Benar, Ramadan baru sahaja berlalu....

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Palestin dan hakikat kemenangan Aidilfitri

Dr. Mohd Istajib Mokhtar Dalam pada kita bergembira menyambut hari raya di...

AMBM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

Dua kertas pertimbangan dibentang dalam mesyuarat JKPS

PUTRAJAYA, 18 April 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad...