AMPendidikan @ My LNA

PPSMI : Abim sokong keputusan KPM

82

18 Julai 2020 – Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak akan melaksanakan semula Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin di Parlimen baru-baru ini disifatkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai satu keputusan yang tepat.

Menurut Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz, kajian terhadap dasar PPSMI yang dibuat oleh Jemaah Nazir Persekutuan KPM sendiri menerusi sampel ke atas 1942 murid tahun 5 kohort 2 (2004) dari 56 sekolah yang menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi.

“Kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) meliputi 90 sekolah rendah mendapati mata pelajaran Sains menyumbang peningkatan penguasaan bahasa Inggeris hanya 0.7 peratus manakala Matematik tiada langsung sumbangan untuk tujuan tersebut. Selain itu, hasil ujian antarabangsa iaitu TIMSS 2007 dan PISA 2012 ketika pelaksanaan PPSMI menunjukan kedudukan Malaysia menjunam kepada kumpulan satu pertiga terbawah berbanding TIMMS 1999 & 2003, Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara.

ABIM juga menggesa agar pihak kerajaan untuk memansuhkan Program Dwibahasa (Dual Language Program – DLP) dan kembali semula kepada landasan dasar bahasa kebangsaan dalam pendidikan kebangsaan yang semakin terpesong melalui DLP. Autonomi kepada pihak sekolah, ibu bapa dan guru dalam memilih sama ada DLP/PPSMI atau Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan sama sekali bertentangan dengan misi mendaulatkan bahasa Melayu.” ujar Faisal.

Tambah Faisal, perlaksanaan DLP seolah-olah menunjukkan kerajaan sengaja mewujudkan perlumbaan antara bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris. Walhal, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memelihara, memartabat dan memperkasa bahasa kebangsaan serta mencorak identiti pelajar sekolah kebangsaan berdasarkan asas pendidikan kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan.

“Pelaksanaan DLP tidak hanya akan menyambung kegagalan PPSMI yang terbukti secara kajian akademiknya, bahkan juga merupakan satu penganiayaan terhadap pelajar-pelajar, ibu bapa serta warga pendidik secara keseluruhannya. Program ini juga akan melahirkan kasta dalam pendidikan apabila para murid tidak dibentuk dalam satu acuan pendidikan kebangsaan yang sama.

Konflik bahasa dan perlembagaan yang berlaku di Hong Kong dan Belgium serta kegagalan negara-negara peminjam akut bahasa Inggeris di Afrika wajar dijadikan sempadan agar perkara yang sama tidak terjadi di negara ini. Komitmen China membuka pengajian bahasa Melayu, keteguhan Korea dan Jepun mempertahankan bahasa ibunda mereka perlu diteladani.

ABIM menggesa agar pihak Kementerian Pendidikan kembali fokus kepada usaha mengukuhkan bahasa Inggeris menerusi pemantapan dan pengemaskinian pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah dan bukan menerusi pengajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bahasa Inggeris.” tegas Faisal.

Faisal turut berpendapat bahawa pengukuhan kurikulum Bahasa Inggeris boleh dilaksanakan berdasarkan ‘Common European Framework of Reference for Languages’ (CEFR) yang mana dikatakan sesuai untuk penutur Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, manakala pengetahuan pedagogi kandungan atau ‘pedagogical content knowledge’ (PCK) disiplin bidang bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dalam kalangan guru-guru bahasa Inggeris.

“ABIM ingin mengulangi pendirian tegasnya menyokong usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran selari dengan usaha kerajaan memperkasa sistem pendidikan kebangsaan dan mendaulat Dasar Bahasa Kebangsaan.

ABIM menyokong penuh usaha memperkasa sistem pendidikan kebangsaan yang bertanggungjawab ke arah penerapan nilai dan semangat kebangsaan.” kata Faisal.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNACSR @ BM My LNA

Air Selangor Semarakkan Sambutan Bulan Ramadan MenerusiInisiatif CSR Sesama Mara

KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif...

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAKomunikasi Digital @ My LNAUTAMA

MCMC gesa hentikan hantaran provokasi

CYBERJAYA, 29 Mac 2024 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak...

AMBM @ MY LNACuaca @ My LNAUTAMA

NADMA laksanakan Operasi Pembenihan Awan di Sabah

SABAH, 28 Mac 2024 – Semalam Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Ramadan dan limpahan barakahnya

Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad Kedatangan bulan Ramadan sangat ditunggu-tunggu oleh...