AM

Presiden ABIM kupas isu Taski dan Pasti

242

12 Julai 2020 – Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata dakwaan bahawa Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) yang diasaskan ABIM sejak tahun 1975 adalah sebenarnya Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah inisiatif Parti Islam Se-Malaysia (PAS), adalah dakwaan yang songsang.

“Pertama, pada tahun 1970-an termasuk pada tahun ABIM mula-mula menubuhkan TASKI, ABIM adalah gerakan Islam yang kuat mengkritik kerajaan hingga Presiden ABIM waktu itu, Sdr. Anwar Ibrahim (Dato’ Seri – DSAI) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akan tetapi berbeza dengan PAS, pada waktu itu mereka bergabung bersama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dalam kerajaan Perikatan (kemudian dikenali sebagai Barisan Nasional – BN) dari tahun 1973 sehingga tahun 1977.

ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti-establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran tersebut.

Justeru, PAS dan ABIM adalah dua entiti berbeza kerana ideologi politik ABIM dan PAS sewaktu awal 1970-an ketika TASKI ditubuhkan adalah secara nyata – berbeza. Dakwaan mengatakan ABIM adalah PAS pada tahun 1970-an juga amat menyalahi fakta sejarah.” jelas Faisal melalui posting di Facebook beliau.

Menurut Faisal lagi, ABIM kuat mengkritik kerajaan waktu itu kerana kerajaan tidak membawa agenda Islam yang kemas dan tersusun, walaupun PAS berada dalam kerajaan. Maka, ABIM tampil dengan pelbagai gagasan termasuk menerusi Memorandum Pelajaran 1974 yang diketuai Prof. Dr. Osman Bakar (Ketua Biro Pendidikan ABIM waktu itu), gagasan penubuhan universiti Islam dan lain-lain yang dipelopori ABIM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

“Pada tahun 1980-an, ABIM dan PAS memasuki episod berbeza. PAS apabila dibuang UMNO sejak 1977 telah menjadi pembangkang yang banyak mengkritik kerajaan kerana tidak Islamik, sedangkan sebelum ini mereka sendiri menjadi sebahagian daripada kerajaan.

ABIM pula dengan kemasukan Presidennya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO / Kerajaan Persekutuan mula menyusun agenda Islam secara kemas dan tersusun dalam kerajaan hingga berjaya mengarusperdanakan Islam sebagai agenda rasmi kerajaan.

Perlu dinyatakan di sini bahawa meskipun Anwar menyertai UMNO dan ramai pimpinannya menyertai PAS, ABIM kekal sebagai sebuah Gerakan Ilmu dan Bakti bergerak sebagai sebuah Badan Masyarakat Madani (CSO/NGO) sehingga ke hari ini, meskipun boleh memilih untuk menyertai Kerajaan Persekutuan ataupun menjadi sebuah parti politik pembangkang.” ujar Faisal.

Tambah beliau, dasar penerapan nilai-nilai Islam tidak hanya dilihat sebagai retorik, sebaliknya dizahirkan menerusi perlaksanaan dasar dan akta. Segala gagasan yang dibincang serta dibahaskan secara serius dalam siri Usrah, Tamrin serta Muktamar ABIM, kemudiannya diangkat untuk dilaksanakan pada peringkat Persekutuan.

“Maka, idea gagasan besar ABIM berjaya dilaksanakan termasuk dengan penubuhan Universiti Islam, pengemaskinian subjek pendidikan Islam di sekolah, penubuhan koperasi Islam, penubuhan institusi kewangan Islam (patuh syariah), dan lain-lain.” katanya.

Mengulas mengenai hubungan ABIM dan PAS pasca tahun 1980, ABIM sentiasa mendapat nasihat dari bekas pimpinan ABIM yang memimpin PAS khususnya Ustaz Fadzil Mohd Noor (Dato’ Haji – Almarhum) serta deretan pimpinan utama, ulama’ serta ustaz daripada ABIM yang menyertai PAS hasil keputusan Majlis Syura Tertinggi ABIM. Menurut Faisal, Ustaz Fadzil Noor yang juga antara ikon ABIM pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).

“Sewaktu Presiden Kedua ABIM, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendekam di bawah ISA, jawatan Presiden ABIM dipangku oleh Ustaz Fadzil sendiri.

ABIM sentiasa menghargai PAS sebagai gerakan Islam yang ada peranan besar waktu itu. Kerana itulah dalam Majlis Syura Tertinggi ABIM, telah diputuskan bahawa ABIM bertanggungjawab untuk memperkuatkan PAS yang ditendang daripada Perikatan pada 1977. Maka Ustaz Fadzil Noor dan pimpinan utama ABIM telah diputuskan dalam Syura ABIM untuk menyertai PAS secara rasmi.

Selain itu, hubungan antara bekas pimpinan ABIM tetap terjalin mesra di luar lingkungan politik. Ini dibuktikan dengan hubungan erat Ustaz Fadzil Noor (ketika itu Presiden PAS) yang tetap menjaga ukhwah persaudaraan dan persahabatan dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, meskipun berbeza wadah politik. Sebagai contoh, beliau bersama ramai bekas pimpinan ABIM yang telah menyertai UMNO dan PAS (termasuk DSAI – Ketika itu Timbalan Perdana Menteri) tidak kekok duduk semeja dalam Sambutan 25 Tahun Penubuhan ABIM pada 1996.” jelas Faisal.

Jesteru, bagi Faisal  sama ada ABIM atau pun PAS, masing-masing mempunyai peranan besar dalam masyarakat. 

“Namun, perbahasan mengenai peranan masing-masing harus adil berasaskan sejarah yang tepat dan benar – bukan sebaliknya” tegas Faisal.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

Dua kertas pertimbangan dibentang dalam mesyuarat JKPS

PUTRAJAYA, 18 April 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Syawal ceria apabila adab dijaga

Oleh: Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin Syawal merupakan bulan kemenangan...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Shikoku, Jepun

Satu kejadian gempa bumi kuat telah berlaku di Shikoku, Jepun pada jam...

AMBM @ MY LNA

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI bersama PM di 7 buah negeri

PUTRAJAYA, 17 April 2024 – Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Bersama YAB Perdana...