AMPendidikan @ My LNA

KPM sentiasa pantau keadaan fasiliti bangunan dan kemudahan sekolah

150

KUALA LUMPUR 16 Julai 2020 – Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau keadaan fasiliti bangunan dan kemudahan sekolah, melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di mana dalam hal ini, KPM mempunyai maklumat perincian mengenai fizikal komponen atau fasiliti bangunan di sekolah yang tidak sempurna, tidak berfungsi dan tidak selamat.

Menjawab pertanyaan lisan daripada YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Tuaran) di Dewan Rakyat hari ini, Dr Mohd Radzi berkata mulai tahun 2019, KPM melaksanakan analisis skor gred impak sebagai penambahbaikan bagi menentukan tahap keadaan fizikal komponen atau fasiliti bangunan sekolah daif.

“Skor ini mempunyai 7 tahap, di mana tahap 6 adalah bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada JPN dan PPD. Manakala, tahap 7 adalah bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). Melalui penilaian ini, KPM dapat menentukan keutamaan untuk melaksanakan projek pembangunan semula atau menaik taraf bangunan sekolah yang tidak selamat digunakan.

Khususnya untuk negeri Sabah, sehingga 31 Mei 2020, terdapat sebanyak 414 buah sekolah yang mempunyai bangunan pada tahap skala impak 6 dan 52 buah sekolah yang mempunyai bangunan pada tahap skala impak 7.

Bagi tujuan menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di sekolah seluruh negeri Sabah, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.252 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke -11 (RMKe-11), iaitu bagi tahun 2016 sehingga tahun 2020. Peruntukan ini adalah untuk membiayai kerja-kerja naik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di 237 buah sekolah di Sabah dalam RMKe-11. Baki bangunan daif lain akan dinaik taraf di bawah RMKe-12, tertakluk kepada keupayaan kewangan Kerajaan.” ujar Dr Mohd Radzi.

Tambah Menteri Pendidikan lagi, KPM juga menggunakan peruntukan daripada Program Khusus Penyelenggaraan Institusi Pendidikan untuk tujuan penyelenggaraan, berdasarkan keutamaan mengikut skala impak. Bagi tahun 2020, peruntukan penyelenggaraan bagi negeri Sabah adalah sebanyak RM39.5 juta.

Berhubung dengan isu keadaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens di Kiulu, Dr. Mohd Radzi menjelaskan bahawa asrama sekolah tersebut telah dikategorikan sebagai tidak selamat untuk diduduki berdasarkan laporan teknikal oleh Cawangan Kejuruteraan dan Struktur, Jabatan Kerja Raya Malaysia di mana laporan tersebut telah diterima oleh KPM pada 31 Januari 2020.

Kata Dr. Mohd Radzi lagi, KPM telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan di sekolah.

“Mengikut perancangan, kerja-kerja membaik pulih asrama dan fasiliti lain di sekolah tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh lapan (8) bulan selepas proses perolehan dibuat. Pada peringkat awal, pihak JKR bercadang untuk membuat pelawaan tender pada bulan Mac 2020. Walau bagaimanapun, pelawaan tender ini ditangguhkan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP). Terkini, pihak JKR Malaysia telah membuka iklan tender pada 30 Jun 2020 dan akan ditutup pada 3 Ogos 2020.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat 315 orang murid yang tinggal di asrama di SMK Tun Fuad Stephens. Memandangkan asrama tidak selamat digunakan, pihak sekolah telah mengubah suai dewan makan, rumah guru dan bilik darjah untuk dijadikan asrama sementara. Seramai 114 orang murid ditempatkan di asrama sementara ini. Selain daripada itu, pihak sekolah dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan.

(NGO) telah menyediakan penginapan untuk 58 orang murid di bangunan yang berdekatan dengan sekolah yang telah diubahsuai menjadi asrama. Baki 143 orang murid lagi pula berulang-alik dari rumah ke sekolah. Pihak sekolah sedang mengubah suai beberapa fasiliti sekolah dan mengenal pasti premis berhampiran sekolah yang bersesuaian untuk disewa sebagai tempat tinggal sementara bagi menampung baki murid ini.” jelas Menteri Kanan Pendidikan itu.

Tambah Dr. Mohd Radzi , KPM akan menampung tambang pengangkutan bagi murid yang berulang-alik dari rumah ke sekolah.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

Dua kertas pertimbangan dibentang dalam mesyuarat JKPS

PUTRAJAYA, 18 April 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Syawal ceria apabila adab dijaga

Oleh: Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin Syawal merupakan bulan kemenangan...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Shikoku, Jepun

Satu kejadian gempa bumi kuat telah berlaku di Shikoku, Jepun pada jam...

AMBM @ MY LNA

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI bersama PM di 7 buah negeri

PUTRAJAYA, 17 April 2024 – Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Bersama YAB Perdana...