LIFE NEWS AGENCY

Malaysia Edition

MENILAI NASIB BERSATU DI JOHOR

Johor ialah sebuah negeri yang mencipta keajaibannya yang tersendiri apabila setelah berpuluh tahun dikuasai UMNO, Johor akhirnya jatuh ke tangan Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya ke-14.

Walaupun Bersatu bukanlah pemenang terbesar kerusi-kerusi DUN yang dipertandingkan, namun Johor telah diserahkan kepada Bersatu untuk dianggap sebagai negeri Bersatu.

Ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kepada Bersatu oleh parti-parti komponen PH yang akhirnya dikhianati oleh Bersatu feksyen Tan Sri Muhyiddin Yassin. Akhirnya kerana pengkhianatan inilah, Bersatu diserah secara percuma kembali kepada UMNO selepas Langkah Sheraton.

Jika disorot kembali, pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Bersatu diberi amanah untuk bertanding di 17 kerusi di kawasan majoriti Melayu dan rata-ratanya untuk berlawan dengan UMNO.

Bersatu berjaya meraih kemenangan dengan 8 kerusi untuk Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Negeri dengan jumlah 36 kerusi, berbanding 20 untuk gabungan lawan (17 dari UMNO, 1 dari MIC dan 1 dari PAS).

Sejurus kemudian, 3 lagi ADUN UMNO yang menang di Endau, Johor Lama dan Sedili melompat ke Bersatu, menjadikan kerusi Bersatu 11 sekaligus meningkatkan jumlah kerusi PH menjadi 39, manakala kerusi BN (dan PAS) tinggal 17.

Kerusi yang ditandingi oleh Bersatu di Johor melibatkan 524,413 pengundi. Daripada 524,413 pengundi ini, kita boleh bahagikan komposisi etniknya seperti berikut:

Komposisi etnik Melayu ialah 63%.

Cina ialah 29%

India pula 8%.

Dari jumlah keluar mengundi iaitu seramai 434,473 (bersamaan dengan 82.8%), sokongan undi popular Bersatu berada berada di tahap 49.4% melalui undi yang diraih sebanyak 214,703.

Bersatu berjaya meraih undi sebesar itu kerana sumbangan undi bukan Melayu sebanyak 133,550. Ternyata di Johor, undi bukan Melayu lebih besar berbanding undi Melayu yang hanya sebanyak 81,150.

Kesimpulannya di Johor, tahap sokongan undi Melayu untuk Bersatu berada di tahap 29.6% sahaja.

Kini, sejurus Langkah Sheraton, Tan Sri Muhyiddin telah membawa keluar Bersatu dari PH dan bergabung dengan gabungan tidak berdaftar yang digelar sebagai Perikatan Nasional (PN). Hasilnya, Johor bukan lagi milik Bersatu seperti di dalam PH.

Bukan sekadar Menteri Besar Johor bukan dari Bersatu, malah Bersatu menjadi pasif dan tidak sedominan UMNO. Agak menarik, UMNO yang dahulunya kalah dan ditolak oleh rakyat Johor, kini kembali memerintah Johor dengan pengorbanan besar dari Bersatu yang telah memberikan segalanya kepada UMNO.

Sejarah akan merakamkan peristiwa yang paling ironik ini, dan anehnya ia boleh diterima oleh Bersatu feksyen Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rela hati.

Walau bagaimanapun, cabaran yang terbesar bukanlah di waktu sekarang ini. Jika Bersatu mampu untuk melihat ke hadapan dan berfikir sedikit panjang, cabarannya ialah pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri yang akan belangsung selari dengan PRU15 tersebut. Dalam menuju Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum ke-15, rundingan pembahagian kerusi dengan rakan-rakan dalam ‘PN’ tentunya tidak mudah.

Bersatu yang sangat bermurah hati menggadaikan negeri milik mereka kepada UMNO melalui pakatan tidak berdaftar, tentunya mengharapkan untuk diberi laluan oleh PAS dan UMNO di Johor tanpa diganggu untuk bertanding di sekurang-kurangnya 11 kerusi milik Bersatu kini.

Tanggapan mereka bahawa pertandingan satu lawan satu bertembung dengan PH, Bersatu feksyen Tan Sri Muhyiddin akan memperoleh kemenangan mudah.

Namun, ia tidak semudah itu.

Situasinya, dari 11 kerusi Bersatu kini, 3 kerusi daripadanya merupakan kerusi tradisi UMNO. Bersatu juga tewas kepada UMNO di ketiga-tiga kerusi ini pada PRU14. Kalaupun menang atas tiket Bersatu pada PRU15 nanti, kerusi ini pada dasarnya adalah kerusi UMNO.

Dari 8 kerusi asal yang dimenangi Bersatu, paling tidak pun cuma 1 kerusi (iaitu Bukit Kepong) yang agak selamat untuk Bersatu, manakala 7 kerusi lain, tidak akan selamat.

3 dari mereka sudah pasti kalah, terutamanya kerusi Puteri wangsa kerana ianya merupakan Kawasan campur yang mana Bersatu memenanginya adalah kerana pengundi bukan Melayu yang menyokong PH, manakala 4 lagi akan kalah ataupun menang tipis berdasarkan demografi bukan Melayu yang besar, termasuk kerusi Gambir milik Perdana Menteri.

Perlu diingat, sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini, Bersatu berjaya meraih undi di DUN-DUN yang mereka tandingi pada PRU14 kerana sumbangan undi bukan melayu (133,550) yang lebih besar berbanding undi melayu (81,150). Perlu diulang, tahap sokongan undi melayu untuk Bersatu di Johor berada pada tahap 29.6% sahaja.

Sekiranya Bersatu memilih untuk bersaing sendiri sebagai parti melayu semata mata dan tidak memanafaatkan asas pengundi bukan melayu dan pengundi Melayu bukan UMNO-PAS, segmen pasaran Bersatu cuma seramai 81,150.

Semua sedia maklum, hampir separuh dari undi melayu ini adalah bekas pengundi tradisi UMNO yang mengundi Bersatu pada PRU14 atas faktor menolak korupsi dan rasuah UMNO, begitu juga dengan faktor Tun Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir merupakan faktor penting sehingga ramai pengundi tradisional UMNO di Johor beralih kepada Bersatu atau PH sewaktu itu. Jika dipisahkan undi mereka ini, asas yang ada untuk Bersatu adalah di sekitar 9% undi popular sahaja. Bilangan ini tidak cukup untuk memenangkan Bersatu jika berhadapan tiga penjuru, hatta jika berhadapan dengan PH nanti pun sekiranya Tun tidak lagi bersama dengan Bersatu.

Dengan 9% undi popular, tak sukar untuk membayangkan senario semua calon Bersatu di Johor nanti. Semuanya akan hilang deposit pada PRU15 nanti.

Untuk menghadapi PRU15 nanti juga, Bersatu perlu membawa 11 kerusi ini sebagai bekal berunding berkenaan agihan kerusi sekiranya Bersatu akan bertanding di bawah payung PN yang masih tidak berdaftar.

Persoalannya, jika kerusi sedia ada pun Bersatu cuma mampu menang 1 kerusi, disamping 3 kerusi percuma dari UMNO, bagaimana mungkin Bersatu boleh membuat tuntutan untuk berebut lebih banyak kerusi? Apatah lagi untuk memenangkan kerusi tersebut dan menyumbang kepada koalisi PN.

Jika berterusan bersama PN, Bersatu akan termaktub dalam buku sejarah sebagai sebuah parti satu musim pilihanraya di Johor.

Yang jelas, Bersatu Johor dengan bermurah hati dan redha bahawa mereka tidak akan selamanya kembali dipilih sebagai Menteri Besar Johor. Mereka juga sangat bermurah hati untuk mewakafkan kerusi tersebut selamanya kepada UMNO.

Dan bersama PN juga bermaksud Bersatu rela melukut di tepi gantang dengan menobatkan UMNO selamanya sebagai pemerintah Johor.

Persoalan saya, apakah ini yang dimahukan oleh rakyat ketika mereka mengundi Bersatu dalam PRU 14 yang lalu?

Apakah ini juga harapan hali-ahli Bersatu di Johor ketika mereka meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu pada awal penubuhannya dahulu?

YB Dr Maszlee Malik
Ahli Parlimen Simpang Renggam

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *