LIFE NEWS AGENCY

Malaysia Edition

Kepelbagaian budaya sumber kekuatan Malaysia

Oleh Quratulain Atiqah (Ketua Biro Undang-undang DAPSY Selangor)

Sumber Foto Roketkini

Kebelakangan ini, isu perkauman dan agama semakin rancak dimainkan. Mungkin kerana dua sentimen ini adalah yang paling dekat dengan jiwa orang ramai, yang paling mudah dicucuk, paling mudah dihembus rasa kebencian dan ‘minyak’ paling berkesan untuk memarakkan api kemarahan. Mungkin. Belum reda satu isu, akan timbul pula isu-isu lain, dan yang terbaru, aduan kepada Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (PUTRA) mengenai hiasan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1. 

Pertama, bagaimana dengan mudah PUTRA mengelirukan fahaman orang awam berkenaan Perkara 3(1) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan, tanpa terlebih dahulu memahami apakah sebenarnya perayaan Tahun Baru Cina ini? 

Dua, bagaimana pemahaman PUTRA terhadap perayaan Tahun Baru Cina sehingga ianya boleh dianggap sebagai dakyah penyebaran agama lain? 

Tiga, apa yang cuba disampaikan oleh PUTRA, selain menanam rasa kebencian dan salah faham dalam kalangan orang awam berkenaan isu ini? 

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan mengenai amalan beragama di negara Malaysia dengan menggariskan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi tidak menghalang amalan agama-agama lain bagi penganutnya. 

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menggariskan amalan kebebasan beragama di Malaysia, tetapi undang-undang negeri atau persekutuan (bagi negeri-negeri persekutuan), boleh mengawal atau menyekat pengembangan fahaman agama lain kepada penganut Islam. Yang tidak dibenarkan adalah penyebaran ajaran fahaman agama lain dengan bertujuan untuk mengajak seseorang meninggalkan Islam dan menganuti agama tersebut. 

Manakala Perkara 12(3) menjelaskan, dalam mengamalkan hak mendapatkan pendidikan, tiada sesiapa pun boleh dipaksa menerima ajaran atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama selain daripada agamanya sendiri. 

Jadi persoalannya, adakah perhiasan atau sambutan Tahun Baru Cina di sekolah ini melibatkan paksaan amalan dan upacara keagamaan sehingga menggugat iman dan pegangan agama seseorang individu? 

Perlu untuk kita fahami bahawa Tahun Baru Cina ini bukanlah satu amalan keagamaan, sebaliknya adalah satu perayaan meraikan dan menyambut kedatangan tahun baharu dengan semangat dan suasana positif, penuh kasih-sayang serta merapatkan hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan. Ianya bukanlah satu perayaan yang berdasarkan upacara keagamaan, malah tidak sedikitpun menggugat status agama Islam yang diperincikan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. 

Apa yang dikesalkan adalah tindakan PUTRA yang mencampuri urusan pentadbiran sekolah sehingga dengan angkuh memberi kata dua kepada pihak sekolah untuk menurunkan perhiasan di sekolah tersebut. Malah, tanpa merujuk kepada mana-mana rujukan yang jelas, PUTRA dengan mudah menyatakan perhiasan ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ya, perhiasan yang tiada kena mengena dengan urusan dan amalan keagamaan, perhiasan yang bertujuan meraikan kepelbagaian budaya dalam Malaysia ini. Warna merah dan tanglung sememangnya sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina dan tiada kaitan dengan unsur keagamaan. 

Sudah menginjak tahun 2020, sudah-sudahlah dengan isu berbaur perkauman dan agama sebegini. Cukup-cukuplah dengan hasutan api kebencian sebegini, janganlah kita turunkan dan hembuskan rasa kebencian dan prasangka sebegini kepada generasi akan datang. Anak-anak generasi akan datang, mereka ini tidak berdosa untuk menerima tempias api kebencian ini. 

Hanya kerana saya makan menggunakan chopsticks, tidak menjadikan saya Cina.

Hanya kerana saya mempelajari seni kolam, tidak menjadikan saya seorang Hindu. 

Hanya kerana saya sukakan tarian tradisi etnik Sabah dan Sarawak, tidak menjadikan keimanan saya terhadap Islam tergugat. 

Dan hanya kerana rakan-rakan bukan Islam memakai baju kurung, tidak menjadikan mereka Islam dan Melayu. 

Kerana ini semua adalah kepelbagaian budaya yang ada dalam negara kita yang seharusnya difahami dan diraikan bersama. Selama berpuluh-puluh tahun kita bersama, kita sentiasa gembira mengharmonikan pelbagai perayaan yang ada di Malaysia, mengapa hari ini dengan mudah api kebencian ini dimarakkan?

Kepelbagaian budaya ini adalah kekuatan kita, dan kekuatan ini hanya akan terus kuat sekiranya kita bersatu dan tidak mudah melatah dengan api kebencian sebegini. Setiap kebudayaan, perayaan dan perbezaan adat adalah keunikan yang membentuk kita, dan kita adalah Malaysia. – Roketkini.com

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *