LIFE NEWS AGENCY

Malaysia Edition

Tahun 2020 dijangka lebih mencabar

8 Januari 2020 – Mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi atau Economic Action Council (EAC) bagi tahun 2020 telah diadakan di Putrajaya pada 6 Januari 2020 dan ia dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sumber Foto Facebook Rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Menurut kenyataan media oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) semalam, tahun 2020 dijangka lebih mencabar ketika keadaan ekonomi dunia masih belum meyakinkan berikutan kemelut perang dagang Amerika Syarikat dan China yang berterusan serta situasi geopolitik serantau yang berpanjangan.

“Ketegangan di Timur Tengah juga dilihat boleh menjejaskan harga minyak mentah dunia yang akan memberi kesan kepada pengeluaran sektor tenaga. Situasi ini mengurangkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara membangun, justeru memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

Dalam hubungan ini, Mesyuarat EAC ini telah membincangkan fokus utama yang perlu diberi perhatian bagi tahun 2020. Antara fokus utama tersebut melibatkan aspek peningkatan pelaburan, menangani isu pengangguran menerusi penambahbaikan kualiti graduan melalui program latihan upskilling dan reskilling, menangani isu kos sara hidup dan mengukuhkan produktiviti dan inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi. Di samping itu, bidang pertumbuhan ekonomi baharu seperti Revolusi Industri Ke-4 (4IR) dan teknologi kewangan (fintech) juga dibincangkan. ” kata MEA.

Tambah MEA, EAC juga telah memperhalusi cadangan berkaitan dengan pembangunan infrastruktur digital daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di mana antara isu yang dibincangkan adalah cadangan perkongsian infrastruktur yang bertujuan mengoptimumkan perbelanjaan sedia ada dan membolehkan perkhidmatan kesalinghubungan jalur lebar disediakan dalam masa yang lebih singkat.

“Bagi memastikan sasaran Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dapat dilaksanakan sepenuhnya, semua pihak termasuk syarikat pembekal perkhidmatan, kerajaan negeri, kementerian dan agensi yang berkaitan digesa untuk memberi kerjasama sepenuhnya. ” jelas MEA.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *