SEPANG 25 September 2019 – Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Haji Marzuki Yahya telah hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) bagi menyambut ketibaan kumpulan pertama seramai 47 orang pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Provinsi Riau melalui penerbangan dari Pekanbaru , Indonesia.
Meurut Kementerian Luar Negeri melalui kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, kumpulan pelajar kedua seramai 31 orang dijangka tiba pada pukul 6.10 petang hari ini.
” Kementerian Luar Negeri dengan kementerian/agensi berkaitan sedang menguruskan pemindahan 35 orang pelajar dari Pekanbaru ke Jakarta untuk ditempatkan sementara di Malaysia Hall, Jakarta. Pemindahan para pelajar tersebut dibantu oleh perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia di Indonesia iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsulat Malaysia di Pekanbaru bersama wakil-wakil agensi di kedua-dua perwakilan tersebut.
Mengikut perancangan pemindahan pelajar yang ditetapkan, setakat ini seramai 113 pelajar dapat dipindahkan dari Provinsi Riau.” terang Kementerian di kenyataan tersebut.
Proses evakuasi pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana jerebu di Provinsi Riau dan Jambi, Indonesia dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi-agensi lain yang berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ia susulan daripada pengisytiharan Darurat Pencemaran Udara oleh Kerajaan Republik Indonesia bermula pada 23 September 2019 sehingga 30 September 2019.
Leave a comment