4 Ogos 2020 – Menteri Pengajian Tinggi YBM Dato’ Dr. Noraini Ahmad mengumumkan bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan
tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam PTPTN untuk tempoh (3) bulan. Ini susulan kepada pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar pada 29 Julai 2020.
“Selaras dengan pengumuman tersebut, Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam PTPTN untuk tempoh (3) bulan lagi mulai 1 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020.
Penangguhan ini melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta. Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.” kata Dr. Noraini.
Mengulas lanjut, Dr. Noraini berkata bahawa semua peminjam PTPTN akan diberikan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan seperti pelaksanaan penangguhan sebelum ini.
“Sekiranya, terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan.
Kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh sebilangan peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran hidup disebabkan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19. Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN.” jelas Ahli Parlimen Parit Sulong tersebut.
Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my
Leave a comment