Bagi memudahkan orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ secara digital, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) boleh dilaksanakan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Februari 2024.
Menurut Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi MyJPJ tersebut akan dilaksanakan secara berfasa di mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara).
“Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter JPJ.” katanya.
Dalam pada iatu, bermula hari ini orang awam boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau digital roadtax menggunakan fungsi baharu iaitu ‘Kongsi LKM’ di Aplikasi MyJPJ.
Kata Siew Fook, melalui fungsi baharu itu, pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM sesama ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.
“Pemilik kenderaan hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain. Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut untuk mengaktifkan perkongsian. Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam.
Sebagai contohnya, Encik Ahmad berhasrat menggunakan kenderaan milik ayahnya dalam tempoh satu (1) minggu, sebelum menggunakan kenderaan tersebut, ayahnya boleh membuat perkongsian e-LKM kepada anaknya melalui fungsi ‘Kongsi LKM’ di aplikasi MyJPJ.” katanya.
Leave a comment