Oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri
Kestabilan politik adalah perkara yang penting untuk perkembangan ekonomi sesebuah negara.
Sejak peristiwa Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan, kemudian pergolakan politik ditambah dengan pandemik COVID-19, menyebabkan perkembangan ekonomi Malaysia tergendala.
Selepas tertubuhnya kerajaan perpaduan dengan dua pertiga majoriti dalam Parlimen, kerajaan hari ini dapat distabilkan. Walaupun ada pihak yang masih lagi terus mencuba menangguk di air yang keroh namun hakikatnya ibarat mencurah air di daun keladi.
Justeru, tumpuan PM kepada memperkasa ekonomi sudah barang tentu dapat memperkukuh serta mengembangkan pendapatan negara dan rakyat.
Kita tidak boleh lagi terus ketinggalan di dalam keadaan jiran-jiran tetangga sedang mengorak langkah memikat para pelabur asing yang dilihat sedang memberikan tumpu di rantau ASEAN ini.
Kalau kita lihat debat Pemilihan Umum (Pemilu) calon calon naib presiden di Indonesia baru-baru ini, salah seorang calon muda berusia 36 tahun, Gibran Rakabuming Raka sudah mula memperkenalkan idea State of Global Islamic Economy (SGIE) untuk kerjasama negara-negara Islam dalam ekonomi.
Indonesia negara demokrasi kedua teramai di dunia selepas India, akan melaksanakan pilihanraya pada tahun hadapan, dan ketiga-tiga calon regu presiden dan naib presiden mereka lebih gemar menggunakan isu-isu ekonomi yang lebih menarik dan cerdik berbanding isu-isu perkauman dan agama yang sudah ketinggalan zaman.
Dalam situasi pelabur asing sedang memindahkan pelaburan mereka dari China ke Asia Tenggara ini, Malaysia tidak boleh ketinggalan dan sudah masanya untuk kita bersatu hati dan mengembangkan ekonomi.
Kita tidak boleh lagi terperangkap dalam isu perkauman, agama dan bangsa untuk mengembangkan ekonomi kerana kita perlukan kerjasama antara kaum untuk negara ini.
Kepelbagaian kaum, agama dan bangsa ini seharusnya menjadi kekuatan kita dalam memastikan cita-cita Malaysia untuk mencapai status negara maju akan berjaya. Justeru, bersekutu bertambah mutu.
Malaysia tidak boleh lagi terus menerus dengan politik perkauman melampau, kerana negara-negara jiran kita sedang merebut peluang dari kebangkitan ASEAN ini, jika berterusan, kita akan ketinggalan ke belakang.
Maka seluruh pemegang taruh negara ini wajar memberikan tumpuan kepada bagaimana membesarkan kek ekonomi agar Malaysia berjaya mencapai status negara pendapatan tinggi dan strategi menaikkan siling dan serta lantai akan berjaya.
Tambahan pula, Malaysia bakal menjadi tuan rumah mesyuarat ASEAN pada tahun 2025, di mana PMX akan diangkat menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun tersebut, maka persiapan perlu dilakukan pada tahun 2024 untuk memastikan negara ini memimpin rantau ini dengan penuh wibawa. Untuk rekod – PM DS
@anwaribrahim akan menjadi pemimpin politik dan negara yang paling senior di rantau ini bagi tujuan 2025.
Saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru 2024 buat semua. Harapan saya dan juga warga, agar perpaduan dalam negara dibajai dengan prinsip tasamuh (tolak ansur), ekonomi dipacu, kepentingan rakyat dibela – natijahnya akan terbangun Malaysia yang madani.
Leave a comment