AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

Permintaan Domestik Tunggak Pengembangan Ekonomi Pada Suku Kedua 2023 dalam Ketidaktentuan Ekonomi Global

364

Permintaan domestik yang kekal memberangsangkan pada suku kedua (S2) tahun 2023 telah menyokong ekonomi Malaysia, meskipun negara turut terkesan akibat kedinginan pasaran global. Keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Malaysia pada S2 2023 berkembang sebanyak 2.9%, dan menjadikan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama 2023 kepada 4.2%. Kadar pertumbuhan pada separuh pertama tahun ini adalah sejajar dengan unjuran Kerajaan sebanyak 4.0% hingga 5.0% untuk keseluruhan tahun 2023.

Permintaan domestik kekal ampuh pada S2 2023 dengan peningkatan sebanyak 4.5%, manakala jumlah perdagangan luar menguncup 11.3% kepada RM643.4 bilion pada S2 2023. Perbelanjaan awam dan swasta menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, dengan kedua-dua sektor tersebut masing-masing meningkat sebanyak 4.6% dan 4.5%. Dari sudut penawaran, perkembangan ekonomi Malaysia pada S2 2023 ini disokong oleh peningkatan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan. Sektor pembinaan mencatat kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.2% diikuti dengan sektor perkhidmatan (4.7%), dan sektor pembuatan (0.1%).

“Dalam keadaan pasaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia mampu berdayatahan dan menganjak pertumbuhan. Kadar inflasi menurun daripada 2.8% pada Mei 2023 kepada 2.4% pada Jun 2023. Pengangguran berjaya mencatat kadar terendah pascapandemik iaitu 3.4% pada Jun 2023 berbanding 3.5% pada Mei 2023,” ulas
Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Inflasi domestik Malaysia pada Jun 2023 adalah rendah berbanding sesetengah ekonomi maju dan serantau seperti UK (7.9%), Filipina (5.4%), Singapura (4.5%), Indonesia (3.5%), dan Amerika Syarikat (3%).

Kerajaan yakin kekal unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.0% – 5.0% untuk 2023

Bagi separuh kedua tahun 2023, permintaan luaran dijangka akan terus terkesan dengan ketidaktentuan global, iaitu ketegangan situasi politik, gangguan dalam rantai bekalan yang berterusan, dasar monetari yang ketat untuk meredakan inflasi global, serta prospek pertumbuhan ekonomi-ekonomi utama, kebanyakannya adalah rakan dagang
Malaysia.

“Namun begitu, Kerajaan berpegang teguh kepada unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4.0% hingga 5.0%. Landskap ekonomi dalam negeri kekal utuh berdasarkan statistik-statistik yang ada. Bagi memacu pertumbuhan dalam negeri, Kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal responsif dan meneruskan usaha untuk mempercepatkan pencapaian pelaburan yang telah diluluskan, serta menyegerakan pelaksanaan projek-projek Kerajaan,” ujar Dato’ Seri Anwar.

Sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, kertas-kertas dasar yakni Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, dan Belanjawan 2024 akan memperhalusi strategi-strategi dan langkah-langkah untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia, serta menjamin pembangunan inklusif untuk rakyat. Aspek-aspek tumpuan termasuklah menambah baik proses untuk mengendalikan perniagaan, membawa pelaburan-pelaburan berkualiti untuk menjana pekerjaan bergaji lebih tinggi, memastikan tatakelola baik, dan memperkukuh perkhidmatan awam yang berkualiti serta prasarana yang lebih baik bagi mempertingkatkan mutu hidup rakyat.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mengurus raksasa narsisisme di tempat kerja

Oleh: Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin Berhadapan dengan pelbagai jenis karakter individu adalah...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJenayahUTAMA

PDRM edar lakaran fotolit suspek kes simbah asid

KUALA LUMPUR. 19 Mei 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengedarkan...

AMBM @ MY LNAUTAMA

Menteri KKR turun padang tinjau projek naiktaraf jalan persekutuan di Hulu Langat

HULU LANGAT, SELANGOR 19 Mei 2024 – Menteri Kerja Raya, Dato Sri...