Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

MOSTI lancar Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara

168

PUTRAJAYA 13 April 2022 – Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara yang merupakan dokumen sokongan utama bagi Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030 (DSNN 2021-2030) telah dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini.

Dalam satu kenyataan, MOSTI berkata bahawa pelan hala tuju tersebut bertujuan menyeragamkan pembangunan nanoteknologi negara dengan memperkukuh dan memantapkan lagi hubungan serta kerjasama antara industri dan akademia dalam memastikan teknologi yang dibangunkan memenuhi kehendak industri dan keperluan pasaran.

“Menurut data daripada Global Inc. pada tahun 2020, pasaran Asia Pasifik diunjurkan pada USD2.671 trilion pada tahun 2025. Bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi pemain industri nano di peringkat serantau, ia memerlukan satu bentuk kerjasama yang menyeluruh khususnya bersama agensi-agensi dan kementerian yang lain.” kata Menterinya, Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Tambah MOSTI, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) nanoteknologi dan industri nano dijajarkan dengan sektor lonjakan serta dasar dan hala tuju negara seperti Dasar Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR), Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN 2021-2030) dan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE 10-10).

“Menurut data daripada NanoVerify Sdn. Bhd., pada tahun 2020 lebih 80% daripada industri nano negara dilaporkan dipelopori oleh Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). Sehubungan itu, tumpuan turut diberikan kepada program-program intervensi bagi meningkatkan teknologi dan produk di kalangan PKS seperti bantuan kewangan dan fasiliti serta program pensijilan produk nano untuk meningkatkan jualan dan keyakinan pengguna bagi menembusi pasaran luar. Inisiatif ini dijajarkan dengan DSTIN 2021-2030 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 untuk mencapai sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 50%, jumlah nilai dagangan sebanyak 30%, seterusnya mencipta 80% peluang pekerjaan baharu.

Dalam tempoh 5 tahun, pelan hala tuju ini akan memberi faedah kepada negara dalam penciptaan peluang pekerjaan sebanyak 33,391 serta peningkatan KDNK sebanyak RM151.5 bilion. Di samping itu, industri PKS turut mendapat manfaat melalui pelaburan dan menaiktaraf fasiliti kepada 52 syarikat-syarikat nanoteknopreneur/ pemula (startup).” kata MOSTI.

Tambahnya, pelan hala tuju itu akan memacu ekonomi negara melalui teknologi dan produk nano tempatan sekali gus mencapai nilai pasaran di peringkat global dan Asia Pasifik dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk berasaskan teknologi tinggi di peringkat ASEAN.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *