AM

MOTAC harap inisiatif PEMULIH segera disalurkan bagi pastikan sektor pelancongan, seni dan budaya terus berdaya tahan

90

29 JUN 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berharap agar inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam. dapat segera disalurkan bagi memberi suntikan semangat kepada mereka untuk bangkit semula dan berganding bahu bersama-sama kerajaan, memulihkan industri pelancongan dan kebudayaan negara.

Menurut Menterinya Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MOTAC akan terus memastikan penyelarasan dan pemantauan terhadap pelaksanaan PEMULIH berjalan lancar agar semua penggiat industri mendapat manfaat daripada bantuan ini.

“MOTAC bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang sentiasa memastikan semua pihak yang berada dalam rantaian ekonomi terutama berkaitan dengan sektor pelancongan, seni dan kebudayaan diberi perhatian sewajarnya.” katanya.

Bantuan secara langsung yang boleh dimanfaatkan oleh sektor pelancongan dan kebudayaan melalui PEMULIH adalah seperti berikut:

i. Pelanjutan diskaun bil elektrik sebanyak 10% bagi bulan Oktober hingga Disember 2021 kepada pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan;

ii. Pemberian bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC;

iii. Penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini;

iv. Meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan GoeCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai;

v. Peruntukan sebanyak RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan kepada penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu, yang melibatkan lebih 8,000 penggiat seni;

vi. Pemberian Program Subsidi Upah sebanyak RM600 kepada 500 pekerja bagi setiap majikan selama tempoh empat bulan iaitu, dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti, di mana tiada lagi syarat had gaji ditetapkan; dan

vii. Pemberian moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

Tambah Nancy, MOTAC bersedia membantu pihak kerajaan menawarkan fasiliti atau bantuan daripada aspek tenaga kerja untuk meningkatkan kapasiti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) supaya lebih ramai lagi rakyat dapat divaksin dengan segera. Kata MOTAC, ia selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang melibatkan tiga (3) fasa seperti yang telah diumumkan ke arah menjayakan Program COVID-19 Free Destination.

“Sesungguhnya, inisiatif PEMULIH ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya yang terkesan terutamanya dalam keadaan negara perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini dapat terus dibantu.” ujar MOTAC.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNA

Pusat Asean-Jepun Melancarkan Semula Laman Web Rasmi: Pangkalan Data Baharu Dan Kandungan Temu Bual Ditambah

TOKYO, 7 Mei 2024 (Bernama) — Pusat ASEAN-Jepun (AJC) memperbaharui laman web rasminya...

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tidak mendapat pendidikan secukupnya?

Oleh: Dr Abd Razak Zakaria Laporan daripada Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran...

AMBM @ MY LNAPerladangan & Komoditi @ My LNAUTAMA

KitKat® Dark 52% guna 100% biji koko Malaysia

NILAI. 6 Mei 2024 – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari...

AMBM @ MY LNA

“DIA”, dokumentari biografi terbaharu terbitan RTM

KUALA LUMPUR, 6 Mei 2024 – Dinamika gabungan 5 penerbit berpengalaman daripada...