AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Hati-hati berkorban, jangan sampai terkorban

203
Melaksanakan ibadat korban adalah sangat dituntut, namun kita disarankan untuk berhati-hati memilih pakej korban agar tidak ditipu (Natthida Buatoom - Unsplash)

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Salah satu ibadah yang paling penting dalam sambutan ini adalah ibadah korban, yang berlangsung dari 10 hingga 13 Zulhijjah. Ibadah ini bukan sahaja merupakan pengorbanan haiwan atau pesta daging segar semata-mata tetapi juga satu amalan yang mendalam maknanya bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

Dalam perspektif hukum Islam, hukum asal dalam ibadat korban adalah sunat mu’akkad, iaitu sangat dituntut bagi orang yang berkemampuan, tetapi jika ditinggalkan tanpa sebarang uzur, hukumnya tidak berdosa. Dalam al-Quran, surah al-Kauthar ayat 2, Allah SWT telah berfirman: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).

Jika disorot dalam sejarah Islam yang panjang, amalan korban berlaku sejak awal lagi ketika menyelesaikan konflik pemilihan pasangan antara Habil dan Qabil dan kemudiannya dijadikan Syariat Nabi Ibrahim AS. Pada peringkat awalnya, Nabi Ibrahim diarahkan untuk mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail AS sebagai tanda ketaatan dan keikhlasan terhadap perintah Allah SWT. Kemudiannya, Nabi Ismail AS ditukarkan dengan seekor haiwan lain untuk dikorbankan. Dengan itu, amalan ini termasuk dalam kategori Syariat Nabi Terdahulu yang diterima dan diamalkan oleh umat Nabi Muhammad SAW.

Pada dasarnya, ibadah korban menjadi simbol penyucian jiwa dan keikhlasan umat Islam dalam memenuhi tuntutan agama. Ia secara langsung bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menunjukkan rasa syukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Walaupun ibadah korban dilakukan kerana Allah SWT, tetapi Allah SWT tidak berhajat kepada daging dan darah tersebut, sebaliknya daging itu untuk diagihkan kepada umat Islam. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Hajj, ayat 32: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.

Amalan yang bersifat tahunan ini sangat dituntut kerana ia dapat memberikan kegembiraan kepada komuniti setempat terutamanya golongan fakir miskin yang jarang menikmati daging haiwan yang segar. Selain komuniti setempat, ibadah korban yang dilakukan di luar negara juga dapat dinikmati oleh umat Islam di tempat lain dengan agihan daging korban yang dilakukan.

Namun begitu, dalam keghairahan untuk melaksanakan ibadah korban, terdapat pelbagai pihak berlumba-lumba menawarkan pakej korban di luar negara. Bahkan adakalanya harga yang ditawarkan tidak munasabah dengan harga daging semasa. Dengan pengiklanan yang menyeleweng, saban hari pakej ini diiklankan di media sosial. Gambar haiwan korban yang dipaparkan tidak selari dengan harga yang ditawarkan. Dengan harga RM180-250 untuk satu bahagian lembu, apakah kualiti dan kuantiti haiwan korban yang diharapkan. Justeru, berhati-hatilah dengan pakej korban yang ditawarkan dengan harga yang tidak munasabah. Pastikan haiwan yang dipilih mempunyai daging, sihat, tidak berpenyakit dan cukup umur untuk dikorbankan. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 92: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu infaqkan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu infaqkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Jadi berdasarkan ayat itu, pemilihan haiwan untuk dikorbankan memerlukan perhatian yang teliti. Haiwan yang dipilih perlulah yang terbaik, sihat, tidak berpenyakit, dan cukup umur. Ini adalah bentuk pengorbanan dan pengabdian kepada Allah, di samping menunjukkan bahawa umat Islam bersedia menawarkan haiwan korban yang terbaik dalam ibadah mereka. Oleh itu, berhati-hatilah dengan pakej yang menawarkan harga yang tidak munasabah, proses, akad dan prosedur korban yang tidak telus dan tidak jelas agar tidak menjadi mangsa para penipu. Utamakan berkorban di dalam negara dahulu sebelum melaksanakan korban di luar negara. Ini kerana masyarakat setempat juga ingin menikmati daging yang segar sekali setahun dan ramai yang tidak mendapat agihan daging kerana jumlah mereka yang berkorban dalam negara semakin berkurangan disebabkan kos haiwan korban yang semakin meningkat setiap tahun.

Bagi umat Islam yang berkemampuan, melaksanakan ibadah korban adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan. Bagi yang tidak mampu, berazamlah untuk berkorban. Adalah lebih baik untuk menabung sedikit demi sedikit agar wang untuk melaksanakan ibadah korban dapat dikumpulkan. Ini menunjukkan usaha dan niat yang tulus untuk melaksanakan ibadah ini, walaupun ia memerlukan masa lama untuk mengumpul dan mencukupkan dana korban. Jangan tunggu mampu untuk berkorban, sebaliknya mampukan diri dengan tabungan dan simpanan agar kita mampu melaksanakan ibadat korban. Kadangkala ada orang yang mampu tetapi tidak terbuka hati untuk melaksanakan ibadah korban.

Dengan cara ini, ibadah korban bukan sahaja memenuhi tuntutan agama tetapi juga mendidik hati dan jiwa umat Islam untuk lebih dekat kepada Allah, meningkatkan ketaatan, keikhlasan, dan ketakwaan dalam kehidupan. Di samping itu, ia adalah bentuk kepedulian sosial terhadap golongan fakir miskin, juga pelbagai golongan lain dalam masyarakat.

Oleh itu, janganlah melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah tahunan ini, kerana ia membawa berkat dan rahmat yang besar kepada pelakunya serta masyarakat sekeliling.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *