BM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Susu ibu: Keajaiban alam yang tidak terbanding

385
Ritma sirkadian dalam susu ibu ialah bukti keajaiban Tuhan, dan ianya memenuhi semua keperluan bayi dengan tepat. Gambar oleh Nihal Karkala - Unsplash

Oleh: Dr. Wan Izlina Wan Ibrahim

Ibu-ibu berkerjaya sudah pasti mempunyai kekangan untuk menyusukan bayi secara langsung, atau ‘direct latching’, dan terpaksa memerah susu ketika di tempat kerja. Susu ini selalunya akan disejukbeku dan diberikan kepada bayi saat diperlukan. Ekoran ini, akan timbul situasi dimana ada kemungkinan susu yang diperah pada waktu siang, akan diberikan kepada bayi pada waktu petang atau malam, dan juga sebaliknya. Tahukah anda bahawa, sama seperti tubuh manusia, susu ibu juga mempamerkan sifat ritma sirkadian atau jam biologi?

Dr. Wan Izlina Wan Ibrahim

Ritma sirkadian ialah jam biologi atau satu aturan masa dalam tubuh manusia yang berjalan mengikut rutin kitaran siang dan malam selama 24 jam. Pengaturan secara dalaman ini melibatkan pelbagai peringkat biologi, termasuk molekular, selular, sistem dan juga tingkah laku manusia. Penetapan ritma sirkadian ini penting untuk fungsi optimum tubuh manusia. Perkembangan bayi dari segala aspek ialah amat unik, dan sudah tentunya bayi juga tertakluk kepada ritma sirkadian dalam keseluruhan peringkat tumbesarannya.

Susu ibu boleh dianggap sebagai eliksir ajaib kerana kajian saintifik bukan sahaja menunjukkan yang ianya berbeza dari seorang ibu ke ibu yang lain, komposisinya juga berubah-ubah mengikut peringkat laktasi dan waktu pemberian susu. Sifat dinamik luar biasa susu ibu mampu menyebabkan ianya direka dan diadaptasi dengan sempurna bagi seseorang bayi, mengikut kitaran 24 jam sehari ini. Oleh itu, kesemua nutrien dan komponen di dalam susu ibu, termasuk karbohidrat, lemak, protein, vitamin, hormon dan bahan biologi aktif yang diperlukan oleh bayi, adalah dalam kadar yang bersesuaian pada setiap masa. Lebih menarik lagi, sekiranya bayi disusukan secara langsung, air liur bayi akan menghantar isyarat kimia kepada ibu yang menyebabkan komposisi susu ibu berubah untuk memenuhi keperluan bayi secara tepat dan seimbang.

Beberapa hormon di dalam susu ibu telah dikaji dan diketahui mempunyai ritma sirkadian yang sangat signifikan. Contohnya, hormon kortisol dan melatonin. Antara fungsi hormon kortisol adalah untuk mempengaruhi peningkatan kadar gula di dalam darah. Oleh yang demikian, badan akan menjadi lebih cergas kerana mendapat tenaga dari mekanisme ini. Jika bayi mendapat kandungan melatonin yang sama sahaja pada sepanjang hari, bolehkah kita bayangkan yang bayi akan sentiasa cergas pada setiap masa, tanpa mempunyai waktu tidur yang secukupnya? Kita sedia maklum yang tumbesaran manusia berlaku secara majoritinya semasa tidur, dan ini tentunya akan membawa kesan negatif terhadap bayi. Oleh itu, susu ibu mempunyai kadar hormon kortisol yang tinggi pada waktu pagi, dan tiga kali lebih rendah di dalam susu yang dihasilkan pada waktu petang dan malam.

Berbeza dengan kortisol, hormon melatonin berfungsi untuk menggalakkan proses tidur dan penghadaman melalui sistem komunikasi antara otak dan usus. Hormon ini hadir dalam nilai yang amat rendah, hampir tidak dapat dikesan di dalam susu ibu yang dihasilkan pada waktu siang. Sebaliknya, kadar melatonin adalah amat tinggi dalam susu yang dihasilkan pada waktu malam, dimana puncaknya ialah pada waktu tengah malam. Ini dapat membantu bayi untuk tidur dengan lebih nyenyak dan selesa. Mengambil kesempatan ini, susu ibu pada waktu malam juga mengandungi jumlah nukleotida yang lebih tinggi, dimana komponen DNA ini terlibat didalam pelbagai fungsi selular dan metabolisme bayi yang amat penting untuk perkembangan dan tumbesaran bayi.

Selain hormon, beberapa komponen makronutrien dan mikronutrien dalam susu ibu turut mempunyai ritma sirkadian. Unsur-unsur mineral seperti magnesium, zink, potassium dan sodium

mempamerkan kadar tertinggi pada waktu pagi. Zat besi pula mempunyai kadar tertinggi pada waktu tengah hari dan vitamin E meningkat ke kadar tertinggi pada waktu malam. Susu pada waktu siang juga mempunyai lebih banyak komponen peningkatan imuniti dan asid amino yang menggalakkan aktiviti. Ini kerana secara dasarnya, bayi lebih aktif dan kerap terdedah kepada persekitaran luar pada waktu siang, maka dengan itu, memerlukan perlindungan yang lebih lagi berbanding di waktu malam.

Ritma sirkadian dalam susu ibu ialah bukti keajaiban alam oleh Sang Pencipta, dan ianya dapat memenuhi semua keperluan bayi dengan tepat, untuk memastikan bayi mempunyai perkembangan yang sihat dan sempurna. Oleh itu, diharap para ibu boleh memberikan susu ibu kepada bayi walaupun mempunyai kekangan untuk penyusuan secara langsung. Dengan mengambil kira sifat ritma sirkadian susu ibu ini, berilah susu perahan mengikut masa yang bersesuaian untuk bayi anda, dan cuba untuk elakkan pencampuran susu yang diperah pada waktu siang, dengan susu yang diperah pada waktu malam.

Bersempena tahun baru yang bakal menjelang tidak lama lagi, mungkin bakal-bakal ibu sudah boleh mula berazam untuk memberi keajaiban Tuhan yang terbaik ini kepada bayi masing-masing.

……

Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya dan merupakan salah seorang ahli penyelidik kumpulan Breast Milk Research Program Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di wizlina@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Isu keciciran dalam pelajaran perlu ditangani bersama

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya Wong...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...