BM @ MY LNAHak Asasi @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Seruan Tindakan Malaysia seterusnya: Mencari Keadilan untuk Rakyat Palestin di ICJ di samping menyokong usaha lain di ICC

315

Saya menyeru kepimpinan Kerajaan Malaysia yang arif ini untuk bertindak sekarang memulakan prosiding mengheret Israel ke hadapan ICJ, pada masa yang sama menyokong usaha-usaha rakan kongsi kita berurusan dengan ICC, bukan hanya untuk orang-orang Palestin, tetapi juga atas nama integriti PBB dan nama kemanusiaan.

Howard Lee

________________

Setakat 13 Disember, lebih 18,400 orang Palestin telah dibunuh secara kejam, dengan lebih 8,000 antaranya terdiri daripada kanak-kanak; 10,000 lagi (45 peratusnya wanita dan kanak-kanak) masih lagi hilang tanpa jejak; 1.9 juta dipindahkan secara paksa; dan 306, 500 kediaman habis ranap: begitulah angka korban dan kerugian yang semakin meningkat setiap detik berlalu di Gaza.

Tidak kurang daripada 800 kilang-kilang dan lebih daripada 126 kemudahan kerajaan, 277 sekolah, 306 masjid, 7 gereja, 22 hospital, 110 klinik, dan 102 ambulans telah menjadi sasaran pemusnahan yang dikemudi oleh Rejim Zionis Israel.

Ini adalah pembunuhan beramai-ramai – Genosida- jenayah perang yang paling dianggap serius. Dan, ia dilaksanakan oleh sebuah Rejim yang entah bagaimana telah menerima sokongan moral, sokongan tindakan, sokongan kewangan, dan diperkukuh dengan kekuatan senjata daripada negara terkaya dan terhebat di dunia yang kononnya ‘terpaling’ bertamadun.

Konvensyen Genosida, yang diterima pakai pada tahun 1948, mendefinisikan pembunuhan beramai-ramai sebagai ‘tindakan untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagiannya, satu bangsa, etnik, keturunan atau kumpulan agama. Ia merangkumi membunuh ahli-ahli daripada kumpulan terbabit, menyebabkan kecederaan tubuh badan ataupun mental yang serius, secara sukarela mewujudkan keadaan untuk menyebabkan kemusnahan fizikal, mengenakan peraturan untuk menghalang kelahiran, dan pemindahan kanak-kanak secara paksa.’

Umum sedia maklum bahawa Malaysia tidak menerima Statut Rom, makanya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bukanlah satu pilihan bagi kita untuk pertanggungjawabkan Israel ke atas jenayah-jenayah perangnya. Jadi, Malaysia hanya ada satu ruang sahaja untuk menyokong usaha-usaha negara-negara yang telah menandatangani Status Rom dalam menghentikan kemusnahan Rejim Zionis Israel ini.

Walau bagaimanapun, situasi ini hakikatnya telah melampaui batasan Mahkamah Jenayah Antarabangsa itu. ICC diberi mandat untuk mendakwa individu-individu untuk jenayah perang yang serius seperti pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan, manakala Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pula merupakan cabang kehakiman utama di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan mengendalikan hal ehwal pertikaian antara negara.

Perkara IX Konvensyen Genosida menyatakan sebarang pertikaian antara negara berkenaan tafsiran, pemakaian, atau pemenuhan konvensyen tersebut, merangkumi kebertanggungjawaban sesebuah negara untuk genosid, perlu diserahkan kepada ICJ. Dalam konteks ini, Israel, sebagai Negara Ahli PBB, boleh dirujukkan ke ICJ oleh Malaysia, yang mana juga merupakan ahli bagi Konvensyen tersebut.

Satu-satunya halangan untuk melaksanakannya adalah kita telah menyatakan secara khusus ke atas Perkara IX tersebut, bahawa Malaysia tidak merasakan terikat dengan mekanisme resolusi pertikaian yang sebegitu.

Hal yang demikian bermakna, Malaysia tidak setuju untuk secara automatik tertakluk kepada bidang kuasa ICJ bagi hal ehwal pertikaian di bahawa Konvensyen Genosida.

Makna lainnya, demi mengheret Israel ke ICJ di bawah Konvensyen Genosida, kita memerlukan (1) perjanjian berasingan dengan pihak satu lagi (Israel) untuk tertakluk kepada bidang kuasa ICJ, atau (2) persetujuan negara tersebut untuk diletakkan di bawah bidang kuasa ICJ bagi pertikaian begitu. Kedua-duanya amatlah sukar untuk direalisasikan.

Walau bagaimanapun, untuk ketika ini, tiga langkah ini perlu digerakkan:

1. Penarikan semula pengecualian Perkara IX oleh Malaysia boleh memberi laluan untuk pemakaian bidang kuasa ICJ bagi kes khusus ini. Negara-negara biasanya boleh mengenakan apa-apa pengecualian ke atas mana-mana perjanjian.

2. Dengan pengaktifan Perkara IX, Malaysia boleh secara rasminya menuduh Israel melakukan genosid ke atas orang-orang Palestin dan seterusnya membawa kes ke hadapan ICJ. Ini adalah langkah yang paling diplomatik dan mengikut lunas undang-undang, memerlukan pembuktian yang mencukupi dan perbahasan yang sah.

3. Seterusnya, ICJ boleh mengeluarkan perintah supaya tindakan genosid ini dihalang bagi penghakiman kes ini dijalani. Hal ini selaras dengan perkara 73, 74, 75 dan 78 Peraturan Mahkamah ICJ, yang mana memberi kuasa kepada mahkamah tersebut untuk memerintahkan langkah-langkah pembendungan bagi pembunuhan tersebut.

Keupayaan Malaysia untuk mengheret Israel ke muka pengadilan melibatkan pelbagai pertimbangan yang kompleks dari segi undang-undangnya, politiknya dan diplomasinya. Ia memerlukan kerjasama semua pihak, berganding bahu mengangkat kekuatan undang-undang dan kemanusiaan masing-masing untuk menggesa pengadilan di bawah piawaian dan definisi Konvensyen Genosida, dan hasilnya pasti membawa impak yang lebih mapan kepada undang-undang antarabangsa, khususnya konflik Israel-Palestin ini.

Dalam banyak-banyak kemungkinan ini, yang utama sekali adalah di mana ICJ memerintahkan Israel untuk menghentikan segala tindakannya supaya keadilan dapat ditegakkan, supaya mudarat berlanjutan dapat dibendung. Kegagalan Israel untuk menuruti perintah itu akan menjadi suatu penghinaan kepada ICJ, dan PBB.

Kita masih perlu dan akan menggerakkan usahasama dengan negara-negara lain – sekiranya kerajaan Malaysia menerima tugasan murni ini.

Saya menyeru kepimpinan Kerajaan Malaysia yang arif ini untuk bertindak sekarang memulakan prosiding mengheret Israel ke hadapan ICJ, pada masa yang sama menyokong usaha-usaha rakan kongsi kita berurusan dengan ICC, bukan hanya untuk orang-orang Palestin, tetapi juga atas nama integriti PBB dan nama kemanusiaan.

Oleh

YB Howard Lee
Ahli Parlimen Ipoh Timor
Ahli Majlis Perundingan Hal Ehwal Luar Negeri kepada Menteri Luar
Ahli (JKPK) Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Isu keciciran dalam pelajaran perlu ditangani bersama

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya Wong...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...