AMBM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNA

Wahai lelaki, periksalah awal

392
Masalah kesihatan kaum lelaki di Malaysia umumnya berada pada tahap yang membimbangkan. Gambar oleh Adam Harris - Unsplash

Oleh: Dr. Nur Adila Mokhtar

Masalah kesihatan kaum lelaki di Malaysia secara umumnya berada pada tahap yang membimbangkan. Jika keadaan ini berterusan, ia akan menjadi punca utama kepada peningkatan kadar kematian yang tinggi di Malaysia. Berdasarkan laporan statistik pada tahun 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, majoriti angka kematian adalah terdiri daripada kaum lelaki iaitu sebanyak 117,790 orang (57 peratus).

Dr. Nur Adila Mokhtar

Antara punca utama kematian yang dikenal pasti dalam kalangan lelaki adalah masalah-masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan kanser yang sering berkait rapat dengan cara pemakanan, gaya hidup, genetik dan juga psikologi individu itu sendiri. Tidak lupa juga tahap kesihatan mental dalam kalangan kaum lelaki yang semakin merundum yang perlu segera dibendung. Depresi dan tekanan perasaan yang berpunca daripada desakan dan tekanan dari tempat kerja dan norma budaya yang meletakkan stigma negatif terhadap penyakit mental sering menjadi penghalang bagi kaum lelaki untuk mendapatkan rawatan doktor. Lelaki lebih cenderung untuk merokok, minum arak, menyalahgunakan dadah dan melibatkan diri dalam gejala-gejala berisiko tinggi sebagai jalan penyelesaian yang mudah untuk mengawal stress.

Gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan makanan yang berlebihan, kurang bersenam, merokok, dan minum arak telah meningkatkan risiko kepada masalah-masalah kesihatan yang dihadapi oleh kaum lelaki. Kesalnya, kaum lelaki kurang cakna tentang risiko-risiko ini sehinggalah masalah kesihatan berada pada tahap kritikal.

Lebih membimbangkan apabila bilangan kes kanser prostat semakin meningkat bukan hanya di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Kajian telah mengenalpasti bahawa antara punca kanser prostat dalam kalangan lelaki adalah faktor umur yang meningkat, genetik, merokok, obesiti dan kurangnya kesedaran tentang pentingnya pemeriksaan kesihatan yang berkala.

Masyarakat perlu sedar bahawa kanser prostat mempunyai keberangkalian yang tinggi untuk sembuh jika ia dapat dikesan dan dirawat awal, terutama bagi yang sudah berumur 40 tahun ke atas. Bagi yang mempunyai sejarah ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kanser, adalah dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan kesihatan awal melalui pemeriksaan fizikal dan ujian darah seperti PSA bagi mendapatkan diagnosis awal. Melalui kaedah-kaedah ini, pelbagai bentuk rawatan yang efektif boleh ditawarkan seperti surgeri atau radioterapi yang menggunakan teknik yang maju dan mempunyai kesan sampingan yang rendah.

Kesedaran tentang pentingnya pemeriksaan kesihatan dalam kalangan lelaki perlu diberi penekanan dan perlu dinormalisasikan dalam masyrakat. Persepsi ini jauh berbeza dengan tahap kesedaran yang diberikan terhadap penyakit dalam kalangan kaum wanita seperti kanser rahim yang menawarkan rawatan pap smear, atau kanser payudara yang menawarkan pemeriksaan payudara. Usaha meningkatkan kesedaran akan berjaya jika insentif berskala besar dari semua pihak dapat diaplikasikan dan diketengahkan melalui program-program yang memberi kesedaran terhadap kanser prostat baik di dalam mahupun di luar bandar.

Tidak lupa juga peranan besar medium komunikasi media seperti iklan-iklan, wawancara, diskusi ilmiah dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan membendung penyakit kanser prostat di peringkat awal. Namun, bagi menggerakkan usahasama dari semua pihak, sokongan berbentuk kewangan dan polisi-polisi kerajaan daripada penaja korporat dan ahli-ahli politik menjadi tunjang dalam merealisasikan objektif ini. Kerajaan dan institusi persendirian perlu sedar akan pentingnya kemudahan untuk rakyat mengakses perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dimana rata-rata menganggap kos rawatan menjadi satu bebanan buat mereka.

Malangnya, secara realiti, topik kesihatan lelaki masih dipandang enteng oleh masyarakat. Kaum lelaki yang diangkat sebagai pemimpin dan ketua keluarga acapkali tidak mempunyai platfom kesedaran yang sama seperti yang diberikan kepada kaum wanita. Reben merah jambu yang menjadi lambang simbolik kaum wanita terhadap kanser payudara tidak memberi impak yang sama dalam masyarakat sepertimana reben biru yang menjadi lambang kesedaran terhadap kanser prostat.

Namun ingatlah, kesedaran dan pengetahuan terhadap masalah kesihatan kaum lelaki bermula dan datangnya daripada peranan ahli-ahli keluarga dalam memastikan bapa, suami atau anak lelaki peka tentang pentingnya menjaga kesihatan.

……

Penulis merupakan pakar onkologi klinikal di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Isu keciciran dalam pelajaran perlu ditangani bersama

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya Wong...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...