AMBelia & My LNABM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Cabaran mengurus kewangan pelajar universiti

500
Pelajar universiti perlukan ilmu mengurus kewangan agar tidak membebankan kesejahteraan fizikal dan emosi. Gambar oleh Element5 Digital - Unsplash

Oleh: Dr. Mas Nordiana Rusli

Tidak semua pelajar yang melanjutkan pengajian di menara gading mampu membiayai sepenuhnya kos perbelanjaan pengajian dan sara hidupnya, terutamanya jika mereka berada di tengah bandar. Berbanding golongan T20, pelajar daripada golongan B40 tentunya lebih terkesan, khususnya dalam menguruskan pelbagai bebanan kewangan setiap semester.

Dr. Mas Nordiana Rusli

Dana penaja yang diterima pada permulaan setiap semester digunakan untuk menampung yuran pengajian, penginapan, dan keperluan lain, sering menjadi beban yang besar, terutamanya jika pelajar tersebut tidak mempunyai pembiayaan yang mencukupi. Lebih buruk lagi, para pelajar seringkali keliru dalam membezakan “perbelanjaan keperluan” dan “kehendak” dalam menguruskan bantuan kewangan yang mereka terima. Ini boleh mencipta tekanan kewangan yang lebih besar, dan dalam beberapa kes, pelajar terpaksa bekerja sambilan atau mengambil pinjaman tambahan yang pastinya akan memberatkan mereka selepas tamat pengajian.

Baru-baru ini, kisah pelajar universiti awam yang mendakwa universiti tidak bersikap adil dalam membantu pelajar menguruskan hal pengajian muncul, terutamanya berkaitan dengan pembayaran yuran pengajian sebelum pendaftaran pengajian dapat dibuat. Proses pendaftaran seperti ini bukanlah sesuatu yang baru dalam kebanyakan universiti atau institusi pengajian tinggi, sama ada awam atau swasta.

Apabila kita mengambil kira masalah peningkatan tunggakan yuran pengajian yang perlu ditanggung oleh institusi pengajian, adalah wajar jika pembayaran yuran ini dibuat pada permulaan semester. Ini juga dapat membantu melatih pelajar agar lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam pengurusan kewangan mereka, dengan memberi keutamaan kepada pembayaran yuran pengajian berbanding perbelanjaan lain.

Namun begitu, tahap bantuan kewangan dan pembiayaan adalah berbeza mengikut lokasi institusi pengajian, sama ada di bandar atau di luar bandar. Mengikut tinjauan yang dilakukan oleh Pegawai Seksyen Kebajikan Pelajar, Universiti Malaya, Mizra Hilmi Abu Bakar, purata perbelanjaan bagi setiap pelajar adalah sebanyak RM4,900 setiap semester untuk menampung kos standard kehidupan seorang pelajar termasuk yuran pengajian, penginapan, makanan, buku, pengangkutan, dan lain-lain. “Walaupun pelajar tersebut menyewa di dalam atau di luar kampus, jumlah ini dianggap mencukupi bagi mereka untuk menjalani kehidupan yang selesa di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mizra Hilmi juga menyatakan bahawa semua institusi pengajian telah menyediakan pelbagai jenis bantuan, baik dari segi kewangan mahupun bukan kewangan, dalam usaha membantu pelajar menampung kos kehidupan mereka setiap semester. Contohnya, di Universiti Malaya, terdapat bantuan makanan (foodbank) khas untuk pelajar B40, serta bantuan komputer riba sekali gus kepada pelajar yang layak. Tambahan pula, terdapat bantuan-bantuan lain yang disediakan kepada pelajar dalam situasi kecemasan seperti kematian ahli keluarga, bencana, dan lain-lain, untuk memastikan kesejahteraan pelajar sentiasa dijaga dan dilindungi.

Apabila peruntukan ini disediakan oleh pihak institusi pengajian, pelajar perlu sentiasa peka dan berwaspada terhadap maklumat yang disampaikan melalui laman sesawang rasmi, e-mel, media sosial rasmi institusi seperti Facebook, Instagram, dan juga kumpulan WhatsApp. Bilangan permohonan bantuan daripada pelajar juga kerap kali tidak mencukupi, dan pelajar sering menghantar borang permohonan lewat selepas tarikh tutup. Sikap pelajar yang sering mengambil mudah dan tidak bertanggungjawab telah menyulitkan pihak institusi pengajian dalam mengagihkan peruntukan kepada yang layak dengan cekap.

Selain itu, terdapat juga golongan pelajar yang berasa malu untuk memohon bantuan kewangan. “Ada juga pelajar yang berasa malu jika rakan-rakan mereka mengetahui bahawa mereka juga memohon bantuan kewangan. Padahal, mereka sebenarnya layak untuk menerima zakat,” ujar Encik Mizra semasa sesi perbincangan.

Di sinilah terletaknya kepentingan ilmu merancang kewangan. Walaupun terdapat bantuan kewangan, bersama dengan bantuan dari universiti, namun semuanya ini masih tidak mencukupi tanpa ilmu ini. Benar, seseorang pelajar boleh mencari sumber kewangan alternatif melalui pekerjaan sambilan, tetapi mereka tetap perlu memberi keutamaan sebagai pelajar. Jika mereka tidak memberi keutamaan yang sewajarnya pada tempatnya, ia juga boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan emosi.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi seseorang pelajar untuk merancang kewangan mereka dengan bijak dan mencari sumber kewangan alternatif, seperti biasiswa atau pekerjaan separuh masa, sambil memastikan mereka mempunyai perancangan kewangan yang kukuh untuk mengelakkan berhutang tanpa sebab yang munasabah. Isu kewangan juga boleh menimbulkan tekanan terhadap kesihatan mental pelajar, oleh itu, mereka perlu menjaga kesejahteraan emosi mereka dan mencari nasihat jika perlu.

Dengan pendidikan pengurusan kewangan yang baik dan sokongan yang mencukupi, pelajar institusi pengajian tinggi seharusnya mampu menghadapi cabaran kewangan dengan lebih yakin dan seterusnya mencapai komitmen mereka sebagai pelajar.

……

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di annarusli@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mencari kepuasan kerja dalam Islam

Oleh: Prof Madya Dr Ilhaamie Abdul Ghani Azmi Pekerja merupakan aset bagi...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mengurus raksasa narsisisme di tempat kerja

Oleh: Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin Berhadapan dengan pelbagai jenis karakter individu adalah...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJenayahUTAMA

PDRM edar lakaran fotolit suspek kes simbah asid

KUALA LUMPUR. 19 Mei 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengedarkan...