NILAI – “Kami tetap hadir, biarlah sijil ini menjadi tanda sebuah kenangan dan cinta arwah kepada kami, ” kata Mohd Suhairy Hashim, 46.
Mohd Suhairy memberi reaksi itu ketika ditemui selepas menerima Skrol Sijil Servis Kenderaan Ringan mewakili arwah anaknya, Muhammad Danial yang meninggal dunia akibat kemalangan Januari lalu.
Skrol sijil berkenaan disampaikan oleh Profesor Teknologis Dr. Ali Selamat, Dekan Malaysia Japan International Institute Of Technology, Universiti Teknologi Malaysia merangkap Ahli Lembaga Peperiksaan Dan Penganugerahan Sijil / Diploma Politeknik pada Sidang ke-7 Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), disini, semalam.
Sementara itu, ibu arwah, Azlina Musa berkongsi arwah anaknya itu memang meminati bidang automatif dan bercita-cita untuk bekerja di syarikat automatif utama di negara ini setelah tamat pengajian di Kolej Komuniti Bandar Darulaman.
Katanya, setelah tamat pengajian, Muhammad Danial bekerja di sebuah bengkel berdekatan rumah mereka bagi menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam bidang terbabit.
“Arwah telah merancang untuk sambung pengajian di peringkat lebih tinggi, namun arwah pergi dahulu sebelum menerima skrol sijilnya ini.
Kami redha, skrol inilah peninggalan kejayaan terakhir arwah untuk kami jadikan kenangan,” jelasnya yang berasal dari Changlun, Kedah.
Menceritakan kemalangan yang menimpa anaknya, Azlina berkata, kejadian berlaku ketika arwah keluar bersama rakannya sebelum dilanggar lori berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun.
Menurutnya, motosikal yang ditunggang arwah merupakan hadiah yang diberikannya sempena hari jadi arwah.
“Tiada sebarang perkara pelik ditunjukkan arwah semasa kami berjumpa sehari sebelum kejadian terjadi. Mungkin ini takdir kami, kami redha”, tambahnya.
Seramai 916 graduan Kolej Komuniti dari Zon Kedah dan Perlis menerima Diploma dan Sijil masing-masing pada Sidang ke-7 majlis konvokesyen tersebut meliputi pelbagai bidang pengajian.
Leave a comment