KUALA LUMPUR, 1 September 2023 – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, telah merasmikan Sambutan 60 Tahun Muzium Negara anjuran Jabatan Muzium Malaysia. Sambutan tersebut dilaksanakan bersempena dengan penubuhan Muzium Negara pada 31 Ogos 1963 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-III, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Aaron berkata bahawa penganjuran program tersebut membuktikan kesatuan dan kerjasama utuh di antara muzium serta institusi yang terlibat serta penglibatan masyarakat secara tidak langsung mampu menyumbang kepada pembangunan sosial yang berterusan, khususnya dalam pembentukan dan pengukuhan jati diri kebangsaan.
“Ia sejajar dengan matlamat utama Dasar Perpaduan Negara yang memperkasa usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Sewaktu berucap di majlis tersebut, Aaron turut mengumumkan pemberian tiket percuma selama tiga (3) hari mulai 1 September hingga 3 September 2023 kepada warganegara Malaysia yang ingin mengunjungi Muzium Negara dan boleh didapati di kaunter tiket Muzium Negara.
Ketika saat awal penubuhannya, Muzium Negara menjadi simbol keutuhan perpaduan dan semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan seluruh Malaysia. Tanpa mengira latar belakang kaum, budaya dan agama, ramai yang tampil menghulurkan derma dan sumbangan mereka sama ada dalam bentuk wang ringgit, penyerahan koleksi mahupun tenaga, idea dan kemahiran tertentu misalnya dalam bidang peragaan, lukisan, hiasan dan seni ukiran.
Sepanjang enam (6) dekad penubuhannya, Muzium Negara telah berjaya mengadakan pameran dengan kerjasama strategik pelbagai pihak sama ada dalam negara atau luar negara. Antara negara luar yang bekerjasama dengan Muzium Negara bagi mengadakan pameran adalah seperti negara-negara Asean, China, Kazakhstan, India, Republik Czech, United Kingdom, USA dan sebagainya. Sehingga Julai 2023, Muzium Negara telah menerima kehadiran lebih 80,759,578 orang pelawat.
Antara pameran ‘blockbuster’ dan mendapat sambutan hebat adalah Pameran Tamadun Islam, Pameran Mata Wang Dunia, Pameran Khazanah Dari Kubur, Pameran Kecantikan Bengkung Kaki, Pameran Keris Nusantara dan pameran yang melibatkan pelbagai kaum seperti Masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Cina, India, etnik Sabah, etnik Sarawak dan sebagainya.
Leave a comment