BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPendapat @ My LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Menyemai inisiatif keterjaminan makanan yang lebih dinamik

358
Dasar keterjaminan makanan yang dinamik menjamin kemakmuran negara. Gambar oleh Jimmy Dean

Oleh: Dr. Adilah A. Wahab

Keterjaminan makanan merupakan satu kebimbangan di peringkat nasional dan global. Menurut Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada tahun 2022, antara 691 dan 783 juta orang di seluruh dunia mengalami kelaparan, dan majoritinya merupakan penduduk Asia. Manakala 425 juta orang di Asia dianggarkan mengalami kekurangan zat makanan.

Dr. Adilah A. Wahab

Meskipun Malaysia merupakan antara negara pengeluar minyak sawit dan beras tertinggi di Asia, negara kita masih menunjukkan arah aliran yang tidak stabil dalam keterjaminan makanan. Berdasarkan Indeks Makanan Keterjaminan Global (GSFI), pada tahun 2022 Malaysia menduduki tempat ke-41 daripada 113 negara iaitu penurunan sebanyak tujuh tangga berbanding kedudukan tahun 2021.

Oleh demikian, demi mengatasi masalah di atas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah menjenamakan semula Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Untuk menangani isu keterjaminan makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan dua dasar iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030.

Kedua-dua dasar di atas menekankan tiga aspek penting yang boleh meningkatkan keterjaminan makanan Malaysia yakni mengurangkan tahap import dan eksport makanan, meningkatkan pertanian domestik dan meningkatkan pengeluaran komoditi.

Walaupun Malaysia melaksanakan dua dasar yang komprehensif untuk menangani masalah keterjaminan makanan, Malaysia masih mengalami penurunan tujuh anak tangga daripada tahun sebelumnya dalam penarafan GSFI.

Justeru, terdapat tiga aspek penting untuk menambah baik GSFI Malaysia dan mengurangkan isu keterjaminan makanan.

Strategi pertama ialah mengurangkan import makanan pada produk terpilih. Sebagai contoh, produk ayam. Nisbah sara diri (SSR) telur ayam Malaysia adalah lebih daripada 100%, dan hampir 100% untuk daging ayam.

Meskipun mempunyai SSR yang tinggi, jumlah ayam yang diimport meningkat sebanyak 30% daripada 7,800 tan pada Mei kepada 10,200 tan pada Jun 2022 selepas permit kebenaran import dimansuhkan. Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia makan ayam lebih dari yang sepatutnya.

Urusniaga import akan melibatkan mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) dan mata wang asing. Alhasil, kadar pertukaran mata wang bakal meningkat. Apabila Malaysia aktif melakukan urusniaga import, pertukaran mata wang yang tinggi juga berlaku, dan aliran mata wang Ringgit Malaysia keluar adalah lebih tinggi. Perkara ini akan mengakibatkan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia secara berperingkat berbanding semua mata wang lain.

Dalam majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Seri Dr Zahid Hamidi juga ada menyatakan kebergantungan kepada import makanan pada jangka masa yang panjang akan menjadikan Malaysia bankrap.

Strategi kedua ialah mengurangkan eksport makanan. Padi adalah penting untuk keterjaminan makanan Malaysia kerana nasi merupakan makanan ruji bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Menurut Institut Penyelidikan Khazanah, rakyat Malaysia mengambil purata 2.5 pinggan nasi setiap hari. Akibatnya, dari tahun 2000 hingga 2016, pengeluaran beras meningkat sebanyak 1.6%. Walau bagaimanapun, penggunaan beras Malaysia sentiasa mengatasi pengeluaran beras. Untuk rekod, nisbah SSR bagi beras di Malaysia juga menunjukkan penurunan, iaitu 62.90% pada tahun 2022 berbanding 71.60% pada tahun 2014.

Meskipun begitu, Malaysia masih mempunyai jumlah eksport padi yang tinggi, USD41.6 juta. Ketika Malaysia memperkenalkan Rancangan Malaysia Ke-8 yang memberi tumpuan kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan, arah aliran pengurangan pengeluaran padi menjadi lebih ketara. Ini mengakibatkan keterjaminan makanan berada di paras yang kurang memuaskan, dan Malaysia terpaksa mengurangkan eksport untuk meningkatkan pengeluaran padi bagi memenuhi penggunaan tempatan.

Strategi ketiga tertumpu kepada sistem bandar dan teknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti makanan. Berdasarkan GSFI, Singapura berada di kedudukan ke-28 walaupun keluasan tanahnya yang jauh kecil berbanding Malaysia.

Sebagai perbandingan, keluasan Singapura hanyalah 719 km persegi iaitu lebih kecil dariada keluasan negeri Perlis yang mempunyai keluasan 819 km persegi.

Pada 2019, mereka melancarkan kempen 30 hingga 30. Ini adalah satu usaha untuk meningkatkan kapasiti sektor makanan pertanian bagi memenuhi 30% permintaan pemakanan global secara mampan menjelang 2030.

Matlamatnya adalah untuk menubuhkan pusat teknologi pertanian bandar. Antara strategi dalam inisiatif 30 hingga 30 adalah pencahayaan LED berbilang tingkat dalaman dan sistem akuakultur peredaran semula, Ladang Ikan Terapung Pintar Teknologi Akuakultur Singapura yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan pertumbuhan dan kesihatan ikan, dan Sky Greens yang menggunakan sistem berasaskan peringkat berputar yang mengoptimumkan penyerapan cahaya dan air untuk menghasilkan sayur-sayuran berdaun. Dengan adanya sistem bandar berteknologi tinggi ini boleh meningkatkan pengeluaran agromakanan.

Malaysia turut meluncurkan inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran agromakanan mengunakan teknologi tinggi. Di majlis peluncuran Ekonomi Madani, PMX telah menyatakan komitmen kerajaan untuk menyediakan geran sebanyak RM200 juta melalui Agrobank bagi membantu menyediakan kemudahan pembiayaan khususnya bagi aplikasi teknologi moden pertanian.

Selain itu, baru-baru ini, Khazanah Nasional Bhd menganjurkan Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023 yang bertemakan, “Menangani Cabaran Iklim demi Keterjaminan Makanan di Malaysia”. Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd berkata melalui KIIC 2023 ini, Khazanah Nasional dapat menawarkan sokongan yang diperlukan dan ini merupakan salah satu platform bagi menarik modal untuk menjana penyelesaian yang inovatif dan mampan.

Kesimpulannya, untuk menangani isu keterjaminan makanan di Malaysia, kerajaan harus mengkaji semula dasar keterjaminan makanan semasa dan mempertimbangkan bagaimana import, eksport dan sistem teknologi tinggi bandar boleh membantu.

Sebagai tambahan kepada tiga aspek utama, adalah penting untuk menarik pakar yang juga komited mengenai sektor pertanian. Tanpa pakar, pelaburan untuk setiap sektor akan gagal, sama seperti pelaburan yang lain.

Oleh itu, kerajaan perlu memberi inspirasi dan menarik minat generasi muda supaya mereka bekerja bersama dan mengenali potensi sektor pertanian. Apabila lebih ramai petani mendapat keuntungan daripada operasi pertanian mereka, mereka akan meningkatkan produktiviti pertanian dan seterusnya menangani masalah keterjaminan makanan.

……

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendidikan @ My LNASekuriti Makanan @ My LNASukarelawan @ My LNAUTAMA

Mahasiswa UM menyelamat sayur dan buah-buahan

Menurut laporan dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia...

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAUTAMA

Formula Surcaj Lewat Bayar Bil Elektrik TNB Yang Tular Adalah Salah

Oleh : JomCheck Tular di media sosial tuduhan bahawa Tenaga Nasional Berhad...