AMBerita @ My LNABM @ MY LNAEditor's ChoiceUTAMA

Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) iktiraf jasa dan pengorbanan 545 Veteran ATM

412

Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Bin Tengku Ibrahim telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan PJM kepada 545 orang Veteran ATM, balu serta wakil waris di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu, Terengganu.

Majlis penganugerahan PJM telah dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM yang telah bermula pada 3 Mac 2004. Penganugerahan pingat ini merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan mereka semasa berhadapan dengan ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu.

Sehingga hari ini, seramai 38,559 warga Veteran ATM telah menerima PJM. Kejayaan bekas anggota tentera membanteras ancaman komunis selain memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti berikut, telah melayakkan mereka dianugerahkan dengan PJM:

a. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau,

b. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) atau,

c. Telah terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau pengganas Parti Komunis Kalimantan (PKKU) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.

Pada majlis tersebut, Panglima Medan Barat Tentera Darat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima PJM pada hari ini.

Katanya Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal Veteran ATM. Malah, aspek kesejahteraan Veteran ATM telah menjadi salah satu teras utama dalam pelan strategik kementerian ini. Sehubungan itu, JHEV ATM yang diketuai oleh YBhg Mej Jen Zambery Jefry bin Haji Darus akan meneruskan skim-skim bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan dan perumahan sedia ada serta terus menambahbaik perkhidmatan dalam agenda memperkasakan kebajikan Veteran ATM.

Katanya usaha perlu diteruskan untuk mencari pendekatan terbaik dalam meningkatkan taraf kehidupan Veteran ATM khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang meningkat.

Tambah beliau, penganugerahan tersebut merupakan kurniaan atas sikap keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara.

Katanya lagi, sesuai dengan tarafnya sebagai “campaign medal” yang berlandaskan pengorbanan dan perjuangan yang tidak berbelah bahagi semasa darurat dahulu, PJM telah dimartabatkan sebagai pingat yang lebih kanan dalam susunannya berbanding dengan anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya seperti Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS).

Tambah beliau, pengurniaan PJM tersebut adalah refleksi terhadap suatu pengorbanan yang amat besar, yang diiktiraf oleh rakyat dan negara dalam menggalas tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan negara dengan penuh taat setia. Masyarakat haruslah menghargai jasa dan pengorbanan para pahlawan negara ini sehingga negara dapat mengecapi keamanan yang dinikmati pada hari ini.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu JHEV ATM kerana telah berjaya menganjurkan Majlis Penganugerahan PJM pada hari ini.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendidikan @ My LNA

Universiti Malaya Meraih Juara Pertandingan Debat Bahasa Cina Antara Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Empat Kali Berturut-turut

Pasukan Debat Universiti Malaya telah menunjukkan prestasi yang cemerlang, memenangi juara di...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...

AMBM @ MY LNAHak Asasi @ My LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mereka perlukan sokongan, bukan kejian

Oleh: Dr. Mohd Salim Mohamed Baru-baru ini satu drama mengenai khunsa telah...