BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPendapat @ My LNA

Pemberian elaun pelajar LI oleh GLC langkah wajar

435
Pembayaran elaun pelajar latihan industri oleh syarikat GLC adalah langkah yang baik. Bethany Legg - Unsplash.

Oleh: Dr. Elya Nabila Abdul Bahri

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri untuk menetapkan jumlah elaun perantisan minimum kepada pelajar latihan industri (LI) pada kadar RM800 sebulan baru-baru ini menunjukkan keprihatinan kerajaan selaras dengan konsep Malaysia Madani. Sebelum ini, ada cadangan jumlah elaun pelajar LI sekitar RM600 hingga RM800 bagi kawasan luar bandar, dan antara RM800 ke RM1,000 untuk kawasan bandar. Jika elaun ini tidak diberikan, pelajar akan berasa tertekan dan berada dalam dilema di antara tuntutan bergraduat dan hak untuk kelangsungan hidup di luar kampus.

Dr. Elya Nabila Abdul Bahri

Memandangkan pemberian elaun ini akan meningkatkan kos buruh sesebuah syarikat, maka pemberian elaun diwajibkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai peneraju perlaksanaan merupakan suatu permulaan yang wajar. Sebagai syarikat yang kukuh, perlaksanaan pemberian elaun perantisan di kalangan GLC adalah dilihat dalam skop kemampuan industri. Malahan, ada sesetengah syarikat yang mampu memberikan jumlah elaun perantisan melebihi dari kadar minimum RM800 tersebut. Diharapkan agar perlaksanaan pemberian elaun perantisan oleh GLC ini dapat diteladani oleh syarikat-syarikat swasta lain yang bersaiz besar, kecil dan sederhana.

Perlaksanaan pemberian elaun perantisan di kalangan GLC akan menarik minat lebih ramai pelajar untuk menjalani LI atau praktikal di syarikat berkenaan. Maka syarikat GLC boleh membuat tapisan untuk memilih pelajar yang berpotensi untuk memberikan perkhidmatan cemerlang berdasarkan kuota yang ada dalam sesebuah syarikat. Persaingan sihat ini akan mendorong pelajar untuk memberikan prestasi yang terbaik dalam pelbagai perkara dari awal mula masuk ke institusi pengajian tinggi. Walau pun elaun perantisan RM800 ini dikatakan meningkatkan kos buruh syarikat, namun tahap kesukaran kerja bagi pekerjaan yang memerlukan kepakaran ijazah sarjana muda atau diploma, ianya dapat menandingi kesukaran kerja bagi pekerja asas yang meraih gaji minimum RM1,500.

Ada pelajar yang melihat LI bukan sekadar untuk bergraduat, tetapi lebih daripada itu. Untuk jangka sederhana, LI juga dilihat sebagai suatu platform perancangan kerjaya, di mana pelajar mengharapkan agar mereka dapat diserap masuk sebagai pekerja sepenuh masa di dalam organisasi tempat mereka menjalani LI setelah tamat tempoh pengajian. Ini kerana mereka sebenarnya sedang meletakkan ‘sebelah kaki’ graduan dalam pasaran kerja sebenar. LI adalah jambatan untuk menyerlahkan potensi diri atau dilihat sebagai tempoh perkenalan dan percubaan sebelum pihak majikan ingin menyerap pelajar tersebut untuk terus bekerja di syarikat berkenaan.

Oleh yang demikian, lokasi LI adalah mustahak, dan bukan sekadar ‘tangkap muat’. Ada pelajar meletakkan matlamat untuk dapat belajar di industri dengan pengalaman dan pendedahan kerja yang komprehensif di syarikat berprestij atau bertaraf antarabangsa. Namun begitu, syarikat yang kukuh dan besar seperti GLC dan syarikat multinasional (MNC) kebanyakannya terletak di kawasan bandar atau pinggir bandar. Maka elaun LI yang diberikan kepada pelajar sedikit sebanyak membolehkan pelajar bertahan untuk hidup selesa di kawasan bandar, lebih-lebih lagi di kawasan Lembah Klang. Ada pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar perlu berhijrah ke kawasan bandar dan terpaksa menyewa bilik semasa tempoh LI. Tambahan pula, kos sara hidup di bandar jauh lebih tinggi berbanding luar bandar. Lantaran itu, wang yang diperoleh daripada pinjaman pendidikan atau biasiswa hanya dapat bertahan dalam tempoh yang singkat dalam satu semester setelah ditolak dengan yuran pengajian sekiranya pelajar menjalani LI. Justeru, bagaimanakah untuk menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi tanpa perisai?

Maka elaun perantisan ini adalah perlu untuk pelajar menampung kos perjalanan, kos penginapan, kos makan, kos teknologi maklumat dan komunikasi, serta kos luar jangka yang lain sepanjang tempoh menjalani LI. Ini kerana pelajar perlu berada di luar kampus di mana kos sara hidupnya adalah lebih tinggi berbanding di dalam kampus. Namun, jumlah minimum elaun RM800 ini sebenarnya sekadar ‘cukup makan’ bagi kelangsungan hidup pelajar yang tinggal di kawasan bandar serta yang tidak tinggal bersama keluarga. Bagi kawasan Lembah Klang, ada segelintir pelajar yang memerlukan sekitar RM30 hingga RM50 sehari untuk perbelanjaan makan dan pengangkutan harian tidak termasuk penginapan. Aktiviti harian mereka adalah seperti orang bekerja walaupun mereka bukan pekerja. Kos menjalani LI di luar kampus jauh berbeza dengan kos menghadiri kuliah di dalam kampus. Maka pelajar LI perlu bijak menguruskan wang yang ada.

Pemberian elaun ini diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan dan meringankan beban kepada pelajar untuk menjalani LI terutamanya di kawasan bandar. Ini dapat mengelakkan pelajar mendapat dua tekanan, iaitu tekanan kerja semasa di industri, ditambah dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi terutamanya bagi pelajar yang kurang berkemampuan. Maka dengan pemberian elaun perantisan ini, pelajar hanya perlu fokus kepada pembelajaran dan bekerja di industri tanpa perlu mengikat perut atau berjalan kaki atau menumpang di rumah kawan, sebaliknya mampu untuk makan, pergi ke tempat kerja dengan selamat, dan menyewa bilik yang sekadarnya untuk menginap sepanjang tempoh LI.

Pelajar LI biasanya dalam tahun terakhir pengajian merupakan bakal graduan dan juga bakal pekerja yang akan mengisi kekosongan dalam pasaran buruh bagi kategori buruh berkemahiran tinggi. Dengan kelulusan ijazah yang bakal diperoleh, mereka juga merupakan bakal perintis kepimpinan negara mahu pun bakal mengetuai kepimpinan sesebuah syarikat suatu masa nanti. Maka jalan penyelesaian secara ‘menang-menang’ adalah perlu dirai.

……

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di elyanabila@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAHak Asasi @ My LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mereka perlukan sokongan, bukan kejian

Oleh: Dr. Mohd Salim Mohamed Baru-baru ini satu drama mengenai khunsa telah...

AMBM @ MY LNAJenayahPengguna @ My LNA

KPDN serbu stor haram tempat simpan LPG

PUTRAJAYA, 9 Mei 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Salahkah tayang bahagia di media sosial?

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor Pada suatu ketika dahulu, ramai...

Biz @ My LNABM @ MY LNA

AGM Globetronics Ke-27 berjaya dengan Semua Resolusi Utama Diluluskan

PULAU PINANG, 8 Mei 2024 – Globetronics Technology Bhd  (“GTB” atau “Kumpulan”), pemain yang terkenal...