BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Wakaf Tandan Felda: suri teladan baharu bagi pemain wakaf korporat tanah air

100
Inisiatif-wakaf-oleh-Felda-membolehkan-peneroka-menyumbang-kepada-institusi-wakaf.-Gambar-hiasan-oleh-Peter-Nijenhuis-di-Openverse

Oleh: Dr Mohd Zaidi Md Zabri

Pada 11 Mei lalu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah memperkenal inisiatif Wakaf Tandan Sawit bagi membolehkan warga peneroka menyumbang kepada institusi wakaf di bawah pengawasan FELDA iaitu WAQAF FELDA.

Menariknya, inisiatif ini merupakan inisiatif organik yang diinspirasikan dari peneroka FELDA sendiri di mana para peneroka FELDA Kerteh 6, Terengganu telah mewakafkan tandan sawit dan nilai jualannya disalurkan ke WAQAF FELDA.

Inisiatif wakaf tandan ini dilaksanakan melalui permohonan wakaf yang dikemukakan oleh peneroka kepada pihak FELDA dengan menyatakan bilangan tandan sawit segar sebelum dihantar ke kilang. Bilangan tandan sawit yang masak kemudiannya bakal diasing, ditimbang dan jumlah nilai daripada tandan tersebut akan dipindahkan ke akaun WAQAF FELDA bagi pihak peneroka.

Pihak WAQAF FELDA menyasarkan kutipan kutipan hampir RM20 juta setahun (RM19.2 juta) dari inisiatif wakaf tandan FELDA ini.

Umum mengetahui bahawa kelestarian kewangan merupakan cabaran utama bagi institusi wakaf di Malaysia.

Permasalahan ini sering berpunca daripada pendapatan yang dijana daripada aset wakaf selalunya tidak mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan, projek pembangunan, dan program kemasyarakatan. Selain itu, jalur pelaburan terhad dan strategi pelaburan konservatif menghasilkan pulangan yang tidak optimum ke atas aset wakaf yang kemudiannya menyekat pertumbuhan dan pelaksanaan inisiatif wakaf.

Di Malaysia, wakaf korporat merujuk kepada penubuhan aset wakaf oleh syarikat atau perniagaan untuk menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. Wakaf korporat juga membolehkan syarikat korporat turut sama menggembleng sumber mereka, sama ada kewangan, aset fizikal atau kepakaran, untuk manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.

Bentuk wakaf ini memastikan keuntungan yang dijana oleh wakaf disalurkan kepada pelbagai tujuan kebajikan, seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pembasmian kemiskinan, dan pembangunan masyarakat.

Untuk rekod, inisiatif wakaf korporat di Malaysia ini telah dipelopori oleh Johor Corporation (JCorp) melalui Pengurusan Klinik Waqaf An-Nur Berhad. Untuk makluman, JCorp merupakan sebuah konglomerat milik Kerajaan Johor yang telah melaksanakan model wakaf korporat untuk menggabungkan aktiviti perniagaan dengan usaha dermawan.

Pendapatan yang dijana dari pelaburan saham-saham berkualiti dan sewaan premis komersial kemudiannya digunakan untuk pelbagai tujuan kebajikan selari dengan prinsip Islam, seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pembangunan masyarakat.

Sejak penubuhannya pada 2000, aset Wakaf An-Nur kini telah menghampiri RM1 bilion iaitu RM834 juta.

Wakaf korporat berpotensi besar dalam menggalakkan pembangunan sosial yang mampan. Asbab sifat wakaf korporat yang mempunyai sumber kewangan yang lestari, inisiatif sebegini ini boleh memberi kesan yang berkekalan kepada masyarakat dengan mewujudkan peluang, memperbaik keadaan hidup dan memperkasakan komuniti terpinggir.

Selain itu, kelestarian kewangan wakaf korporat juga memudahkan para pewakaf korporat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan dan keadaan masyarakat. Fleksibiliti dalam pengurusan dan penggunaan aset wakaf dapat memastikan kerelevanan dan keberkesanannya dari semasa ke semasa.

Oleh demikian, inisiatif wakaf korporat mampu menyahut cabaran yang muncul dan menangani isu-isu sosial dan ekonomi yang berkembang untuk kekal mampan dalam jangka masa panjang.

Sebagai contoh, disebabkan desakan ekonomi pada masa kini, kita berhadapan dengan cabaran sosio-demografi yang memerlukan kedua-dua ibu bapa untuk mencari nafkah. Ini menyebabkan anak-anak pulang ke rumah yang kosong tanpa pengawasan orang dewasa. Sebagai langkah proaktif, dana wakaf korporat dapat digembleng untuk menyediakan program makanan sihat dan program lepas sekolah di projek-projek perumahan rakyat bagi memastikan anak-anak B40 terutamanya tidak ketinggalan dari segi pelajaran dan nutrisi.

Selain itu, kelestarian pendanaan wakaf korporat juga boleh membantu para pemain korporat untuk terus memberikan komitmen jangka panjang kepada projek-projek tanggungjawab sosial mereka.

Kelestarian pendanaan ini berpunca daripada sifat wakaf korporat yang direka bentuk untuk menjadi endowmen yang berterusan melalui pemeliharaan prinsipal dan hanya pulangan yang dijana digunakan untuk tujuan amal.

Pulangan dana wakaf korporat yang lestari menyediakan kestabilan dan kebolehramalan, membolehkan pihak korporat untuk merancang dan melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial dalam jangka panjang. Kelestarian sebegini juga membolehkan mereka membuat keputusan strategik dan memperuntuk sumber dengan berkesan, dengan mengetahui bahawa dana bakal tersedia secara konsisten.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) juga memerlukan pelaburan dan komitmen berterusan untuk memberi impak yang bermakna. Dengan sumber pembiayaan yang lestari dari wakaf korporat, organisasi boleh memastikan kesinambungan program mereka sekali gus boleh mengelakkan pemberhentian inisiatif berimpak tinggi dek kekangan kewangan. Kelestarian sumber dana ini juga dapat membantu mengekalkan momentum inisiatif dan memberikan manfaat yang berterusan kepada komuniti dan pihak berkepentingan.

Pendanaan wakaf korporat yang lestari juga membolehkan inisiatif CSR dipertingkat dari segi jangkauan dan impak. Sekiranya sesuatu inisiatif berjaya dilaksanakan dalam skala yang kecil, sumber pendanaan yang lestari dari wakaf korporat membolehkan pihak korporat untuk meluaskan skop program mereka agar menjangkau lebih ramai penerima manfaat selain daripada menangani cabaran sosial dan alam sekitar yang lebih luas. Selain itu, sumber pembiayaan yang mampan membolehkan sesebuah organisasi mencapai matlamat yang bercita-cita tinggi dan melaksanakan projek berskala lebih besar yang memungkinkan pemacuan perubahan positif pada skala yang lebih besar.

Di samping itu, sifat pendanaan wakaf korporat yang lestari bakal memperkasakan organisasi untuk melabur dalam inovasi dalam inisiatif CSR mereka. Wakaf korporat memberikan fleksibiliti kewangan kepada pihak korporat untuk meneroka pendekatan, teknologi dan strategi baharu yang boleh meningkatkan keberkesanan dan kecekapan program. Hal ini juga membolehkan organisasi menyesuaikan diri dengan keperluan masyarakat yang berubah-ubah, mendakap aliran baharu, dan mencari penyelesaian inovatif kepada cabaran yang kompleks.

Selain itu, pendanaan wakaf korporat yang mampan bakal memperkukuh akauntabiliti dan ketelusan dalam inisiatif CSR. Pihak korporat boleh memperuntukkan sumber kepada sistem pemantauan, penilaian dan pelaporan yang mantap yang menjejaki kemajuan dan hasil program mereka. Ketelusan sebegini membolehkan mereka menunjukkan penggunaan dana yang berkesan dan impak yang dicapai, dan membina kepercayaan pihak berkepentingan.

Justeru, kesemua pihak berkepentingan dalam ekosistem wakaf (termasuklah pewakaf, pentadbir wakaf, penerima manfaat wakaf, Majlis Agama Islam Negeri, agensi kerajaan berkait hal ehwal wakaf, ahli akademik, institusi kewangan dan masyarakat terbanyak) haruslah menggembleng tenaga untuk mendukung agenda besar wakaf sebagai salah satu wahana utama bagi menjayakan aspirasi Malaysia Madani.

……
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan Setiausaha Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE). Beliau boleh dihubungi di zaidizabri@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Isu keciciran dalam pelajaran perlu ditangani bersama

Oleh: Dr. Samsul Farid Samsuddin Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya Wong...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNA

Gen Z Percaya Pempengaruh untuk Cadangan Tulen

71% Gen Z Guna Strim Langsung seperti Shopee Live untuk Pembelian Bijak...