Oleh: Prof Madya Dr Mohd Edil Abd Sukor
Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengekalkan ramalannya bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang dalam julat 4% hingga 5% pada 2023, sesetengah pakar ekonomi berpendapat bahawa beberapa cabaran dan ketidaktentuan ekonomi seperti kesan kenaikan kadar faedah, rasionalisasi subsidi, ketidaktentuan politik dan prestasi global yang perlahan mungkin menjejaskan prospek perbelanjaan jangka pendek pengguna di Malaysia pada separuh kedua 2023. Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan sektor peruncitan dan ekonomi yang dipacu pengguna, tahap perbelanjaan pengguna memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan kestabilan negara.
Pada 3 Mei 2023, BNM telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25% kepada 3%. Ini adalah kali pertama tahun ini OPR dinaikkan selepas dikekalkan pada kadar 2.75% sebanyak dua kali dalam bulan Januari dan Mac. Kadar faedah yang meningkat ini akan memberi tekanan kepada peminjam untuk membayar hutang sedia ada mereka selain menjejaskan kemampuan mereka untuk berbelanja seperti biasa. Kesan jangka pendek bagi situasi ini ialah sektor runcit dan perniagaan yang bergantung kepada permintaan dan perbelanjaan pengguna akan terkesan.
Selain itu, cadangan rasionalisasi subsidi yang diumumkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini yang berhasrat untuk mengenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan juga dijangka boleh memberi kesan negatif jangka pendek kepada perbelanjaan domestik pengguna. Ini kerana secara umumnya, sebarang pengurangan dalam subsidi akan meningkatkan inflasi dan mengurangkan kuasa beli pengguna. Keadaan ini hanya boleh dielakkan jika langkah tersebut dilakukan secara beransur-ansur dan cekap seperti mengekalkan subsidi bersasar kepada golongan yang berpendapatan rendah serta kurang bernasib baik,
Permintaan dan prestasi global semasa yang perlahan dijangka memburukkan lagi perbelanjaan pengguna dalam masa terdekat. Dilaporkan bahawa nilai eksport Malaysia pada empat bulan pertama tahun 2023 telah menguncup sebanyak 2.6 peratus dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga hujung tahun 2023. Situasi ini akan menyebabkan penurunan pendapatan bagi syarikat perniagaan yang terlibat dan mereka mungkin akan bertindak balas dengan melaksanakan langkah penjimatan kos seperti mengecilkan saiz syarikat melalui pengurangan pekerja atau membekukan kenaikan gaji. Ini boleh mengakibatkan pekerja mereka mengalami ketidakpastian atau penurunan dalam pendapatan yang sekaligus menjejaskan perbelanjaan harian mereka.
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri (Selangor, Negri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan) yang dijangka berlaku pada bulan Jun nanti juga boleh menjadi faktor kepada ketidaktentuan dalam perbelanjaan jangka pendek pengguna. Ini kerana, pilihan raya tersebut akan menjadi barometer utama dalam mengukur sokongan rakyat kepada kerajaan perpaduan sedia ada dan memastikan kestabilan politik berterusan selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Kestabilan politik dalam sesebuah negara adalah penting untuk memastikan sektor perniagaan, tawaran pekerjaan dan pendapatan rakyat sentiasa berkembang maju. Kesemuanya ini boleh menyumbang kepada peningkatan dan perbelanjaan pengguna.
Secara keseluruhannya, corak perbelanjaan pengguna pada separuh kedua 2023 dijangka merosot disebabkan pelbagai faktor dalaman dan luaran yang disebutkan tadi. Beberapa langkah untuk memastikan keyakinan dan perbelanjaan pengguna dapat berkembang dengan baik seperti kawalan inflasi, insentif cukai, program bantuan tunai seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta polisi-polisi lain yang mampu mengekalkan kestabilan harga barangan dan kuasa beli pengguna wajar dilaksanakan. Ini bagi memastikan negara yang dipacu ekonominya oleh pengguna seperti Malaysia ini mampu menyediakan landskap perbelanjaan pengguna yang mampan.
……
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdedil@um.edu.my
- It’s green here too
- Woh Hup Celebrates 88 Years of Bringing Asian Flavours to the World
- OneConnect Releases Q3 2024 Results with Net Profit attributable to Parent Company Reaching RMB110 million
- Sheffield Green Opens Offshore Wind Training Centre in Taiwan Chiayi
- Eude Technology Establishes Strategic AI Research Partnership with Nanyang Technological University
Leave a comment