BM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Tiada lambakan jika mahu pandang ke hadapan

205
Kerjaya sebagai graduan pendidikan bukan hanya bergantung kepada KPM semata-mata - Gambar Hiasan oleh Element5 Digital di Unsplash

Oleh: Prof. Madya Dr. Zawawi Ismail

Saya teruja untuk memberi respon kepada laporan muka hadapan Berita Harian pada Sabtu 27 Mei 2023 yang bertajuk “Lambakan graduan perguruan.” Bukan kerana isinya yang mengandungi kesalahan fakta, namun terdapat keperluan untuk berkongsi keunikan yang ada di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).

Di UM, terdapat dua jenis program ijazah sarjana muda Pendidikan (ISMP), sama ada dilaksanakan oleh Fakulti Pendidikan sendiri, atau dilaksanakan secara kerjasama dengan fakulti lain. Program-program yang diadakan di Fakulti Pendidikan ialah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak, dan Sarjana Muda Kaunseling. Manakala program yang diadakan secara Kerjasama ialah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (dengan Fakulti Sains), dan Sarjana Muda Pendidikan Islam (dengan Akademi Pengajian Islam).

Prof. Madya Dr. Zawawi Ismail

Keunikan program ISMP UM

Pertamanya, kesemua graduan dari program ISMP dipersiapkan untuk memasuki pasaran terbuka, yang tidak hanya bergantung kepada penjawatan guru di Kementerian Pendidikan (KPM) semata-mata. Graduan UM telah dilatih dengan kebolehan dan kemahiran abad ke-21 yang lebih berdaya saing. Mereka bukan hanya mampu mengisi keperluan ikhtisas perguruan di dalam sektor pendidikan, malah juga di dalam sektor-sektor lain seperti perkhidmatan, kebajikan, dan penyiaran di syarikat-syarikat media massa. Graduan kami turut menyumbangkan bakti sebagai pegawai kaunseling di pelbagai agensi dan institusi, termasuklah Jabatan Penjara Malaysia, Pusat Kebajikan Masyarakat, hospital-hospital kerajaan dan Institut Jantung Negara. Graduan ISMP dalam Pendidikan Islam turut terlibat di dalam pengurusan masjid di bawah Majlis Agama Islam Negeri. Di dalam sektor pendidikan juga, graduan UM turut mengisi keperluan sekolah swasta dan antarabangsa di dalam dan luar negara, termasuklah di Singapura, Australia dan Jepun.

Keduanya, kesemua pelajar ISMP dilengkapi dengan kemahiran keusahawanan. Graduan ISMP dilatih bukan hanya untuk bekerja dengan majikan, namun juga mampu berperanan sebagai pencipta ruang kerjaya dengan membangunkan diri mereka sebagai seorang usahawan. Sedari awal, mereka telah dibekalkan dengan kemahiran membuka dan mengusahakan tadika atau taska mereka sendiri. Latihan pembangunan tadika dan taska ini telah dilaksanakan melalui program ‘living lab’ di Fakulti Pendidikan dan program TATIH (sebuah model tadika yang dibangunkan bersama Bank Rakyat khusus untuk latihan mahasiswa ISMP UM).

Ketiganya, graduan kami juga berpeluang meneroka keperluan kepakaran dan ikhtisas pendidikan di peringkat pra-universiti, asasi, dan matrikulasi, di pelbagai pusat pengajian tinggi di seluruh negara. Penyediaan graduan pendidikan untuk bertugas di peringkat ini juga perlu dilatih dengan latihan pendidikan khusus kerana ianya juga adalah keperluan perkhidmatan dan pembangunan pendidikan yang lebih berkualiti. Fakulti Pendidikan telah menerima pelajar dari Pusat Asasi UPM, UM dan Matrikulasi KPM yang telah menghantar bakal pensyarah mereka untuk dilatih di dalam Program Pelajar Cemerlang (PPC), yang menjadi penanda aras kerjasama strategik antara UM dan Bahagian Matrikulasi KPM.

Ketiga-tiga aspek ini membolehkan graduan pendidikan UM tidak hanya bergantung kepada KPM dalam memulakan kerjaya mereka di dalam industri pendidikan dan perkhidmatan yang luas. Selain itu, dalam usaha kami mengorak langkah ke pasaran global, Fakulti Pendidikan juga turut memberi perhatian kepada pembangunan program pascasiswazah dan professional. Penekanan yang diberi adalah berorientasikan teknologi terkini, dan pengajaran berbentuk ‘experiential learning’ dan ‘action learning’ yang mencabar minda dan intelek mereka. Saya percaya kelebihan yang dibekalkan ini mampu mengisi kelompongan keperluan industri, serta berpeluang merangka ruang untuk mencorakkan masa depan pendidikan negara dan dunia.

Fakulti juga telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara. Tumpuan diberikan kepada kerjasama dengan industri seperti Bank Rakyat, Perkeso, Majlis Agama Islam Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Sindrom Down, Bank Negara, MARA, Khazanah Nasional, Finas, Institut Sukan Negara, dan lain-lain agensi untuk melebarkan cakupan keperluan pendidikan negara.

Pada 2022, di dalam kerangka kerjasama dua hala antarabangsa, seramai 18 orang pegawai Kementerian Pendidikan dari Maldives telah terpilih untuk mengikuti program Sarjana Pengurusan Pendidikan di Fakulti. Kesemua mereka bakal bergraduasi di Isitadat Konvokesyen UM penghujung tahun ini. Dalam masa terdekat, seramai 200 orang guru Filipina pula telah pun terpilih bagi mengikuti bengkel pembangunan diri di Fakulti. Dan paling terkini, University Helsinki, Finland pula menyatakan hasrat berkerjasama untuk projek latihan mengajar di peringkat sarjana bersama UM.

Tidak terkecuali adalah kerjasama bersama institusi-institusi pengajian asing di luar negara yang melibatkan pembangunan pendidikan dan pertukaran kepakaran dalam pelbagai bidang pendidikan. Ini termasuklah Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Universitas Negeri Malang, dan Universitas Negeri Semarang di Indonesia; National Chung Cheng University, National Chengchi University, Southern Taiwan University of Science and Technology, dan National Taiwan Normal University di Taiwan; dan beberapa universiti di Thailand, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, dan lain-lain.

Horizon baharu

Fakulti Pendidikan UM melihat hala tuju kerjaya pendidikan seorang graduan bukanlah hanya penempatan di sekolah-sekolah, dan bergantung sepenuhnya dengan Kementerian Pendidikan Malaysia. Kerjaya setiap daripada mereka boleh ditempa dengan lebih kaya, jika horizon pendidikan yang lebih lebar dan luas digunapakai, melangkaui sektor pendidikan yang konvensional.

Kepakaran dan ikhtisas pendidikan sebenarnya turut diperlukan dalam semua sektor kerjaya, selagi mana elemen pembangunan manusia itu diperlukan; baik di sektor perladangan, pembuatan, perkhidmatan, dan lain-lain. Ini adalah kerana proses pembangunan manusia di dalam sesebuah organisasi memerlukan penterjemahan elemen pendidikan yang baik dan saling melengkapi. Kemahiran sebeginilah yang telah pun diterapkan di dalam setiap graduan kami.

……
Penulis merupakan Dekan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di zawawiismail@um.edu.my

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

CHARM terima RM80,000 daripada KBS

KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh...

AMBM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

Dua kertas pertimbangan dibentang dalam mesyuarat JKPS

PUTRAJAYA, 18 April 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH mahu perbicaraan pengampunan Najib dibuat secara terbuka

KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Syawal ceria apabila adab dijaga

Oleh: Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin Syawal merupakan bulan kemenangan...