AMBM @ MY LNAKebajikan @ My LNAPertahanan @ My LNA

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran Atm Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023

142

SABAH, 10 Mac 2023 – Mejar Jeneral Zambery Jefry bin Haji Darus, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM peringkat negeri Sabah bertempat di Kampung Mangi – Pangi, Tambunan, Sabah. Pada majlis tersebut, Mejar Jeneral Zambery Jefry bin Haji Darus telah menandatangani plat perasmian dan menyerahkan replika kunci rumah kepada Puan Rosalia Kuling, balu veteran mendiang Taddeus Konduhulu.

Ini merupakan program yang pertama beliau dalam menyantuni Veteran ATM di Sabah setelah menerajui JHEV. Tiga penerima Inisiatif Perumahan bagi negeri Sabah yang turut hadir ialah veteran Encik Ali bin Tamban, Encik Abu Chik bin Rahmat dan Puan Noraisah bt Mohd Yaakub, balu kepada Allahyarham Sapari bin Asmalia. Pada kunjungan kali ini, Ketua Pengarah juga berkesempatan menyantuni empat orang veteran dan menyampaikan peralatan pesakit berupa kerusi roda bagi memudahkan pergerakan veteran serta mengadakan sesi dialog bersama veteran yang hadir.

Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM merupakan salah satu strategi inisiatif Peningkatan Kualiti Hidup di bawah Pelan Strategik MINDEF dalam Teras 7. Strategi ini memberi penekanan dalam usaha membantu Veteran ATM yang berpendapatan rendah atau miskin dengan menyediakan tempat kediaman yang lebih kondusif dan selesa. Ianya merangkumi dua skop kerja iaitu membina kediaman baharu dan membaikpulih rumah Veteran ATM mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Program ini merupakan kerjasama erat di antara Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) ini diwujudkan oleh SPNB bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM 3,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa. Veteran ATM boleh membuat permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di mana rumah akan dibina atas tanah sendiri dengan kos yang lebih rendah berbanding projek perumahan lain. Melalui kuota program ini, Veteran ATM akan menerima dua peringkat bantuan iaitu subsidi dibawah Skim Rumah Mesra Rakyat yang dikawal selia oleh SPNB berjumlah RM 20,000.00 dan peringkat kedua bantuan perumahan JHEV ATM berjumlah RM65,000.00 di Semenanjung Malaysia dan RM75,000.00 di Sabah & Sarawak. Manakala kos siling baik pulih rumah sebanyak RM17,000.00 seunit.

Pada tahun 2023, Kementerian Pertahanan telah memperuntukkan sebanyak RM5.746 juta bagi menampung pembinaan 40 rumah baharu dan 170 baik pulih rumah Veteran ATM. Sehingga 1 Mac 2023, Mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan dan Pendidikan JHEV (JKKP) telah meluluskan 121 permohonan Baik Pulih dan 24 permohonan Bina Baharu. Kriteria pemilihan Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM terbuka kepada Veteran ATM atau balu yang mana pendapatan isi rumah di bawah jadual Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan. Bagi permohonan baik pulih ialah rumah yang didiami adalah rumah sendiri atau pusaka dan bukan rumah yang disewa. Skop bantuan baik pulih hanya melibatkan komponen-komponen asas rumah sahaja seperti bumbung, dinding, lantai, tingkap yang tidak melibatkan struktur asal rumah. Manakala bagi permohonan bina baharu pemohon mestilah belum memiliki rumah atau mendiami rumah yang terlalu uzur, tidak selamat diduduki, dan tidak ekonomi untuk dibaiki serta memiliki tanah sendiri.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Mej Nor Khairi bin Abd Rahman, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Sabah, En Mohd Hafiz bin Abdullah, Pengarah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Cawangan Sabah, Pegawai Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi JHEV ATM, dan persatuan – persatuan Veteran ATM disekitar Negeri Sabah.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di KKB Boleh Jadi Satu Kesalahan Pilihan Raya

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Wasatiyyah kunci rumah terbuka Aidilfitri lestari

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Barangkali, Malaysia merupakan antara negara Islam paling...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Membawa Generasi Z kembali ke akar tradisi Aidilfitri

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria Tradisi hari...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...